Program penanaman semula getah bakal menyebabkan pengurangan eksport sebanyak 150,000 tan. [Gambar hiasan] |
Kuala Lumpur: Harga getah di pasaran tempatan dijangka pulih dalam tempoh terdekat dengan gred SMR20 diunjurkan kembali meningkat ke paras RM10 sekilogram pada akhir September atau Oktober ini.
Penganalisis berkata, ini susulan keputusan drastik yang diambil pakatan negara pengeluar utama komoditi itu, iaitu Malaysia, Thailand dan Indonesia untuk melaksanakan langkah baru bagi membantu memulihkan harga.
Ini termasuk penarikan balik 300,000 tan getah asli daripada pasaran; dan mempercepatkan program penanaman semula seluas 100,000 hektar.
Program penanaman semula itu bakal menyebabkan pengurangan eksport sebanyak 150,000 tan.
Pasaran tidak menentu
“Pasaran getah yang sejak kebelakangan ini tidak menentu akibat dihimpit masalah penurunan harga serta kelembapan ekonomi global, akan bertindak balas secara positif dengan hasil kesepakatan yang dicapai tiga pengeluar utama dunia ala OPEC itu apabila dagangan kembali dibuka minggu depan dan ini seterusnya akan meningkatkan kembali minat belian.
“Semua peserta pasaran, dari pekebun kecil, peniaga sehinggalah kepada pihak berkepentingan dalam industri getah asli kini boleh bernafas lega,” katanya ketika dihubungi BH di Kuala Lumpur.
Malaysia, Indonesia dan Thailand dalam satu kenyataan bersama semalam berkata pelaksanaan dua langkah baru itu bertujuan memulihkan kembali harga getah yang kini berada pada paras kira-kira RM7 sekilogram.
Kenyataan itu berkata, ketiga-tiga negara itu bimbang mengenai penurunan harga getah asli yang memberi kesan langsung kepada pendapatan pekebun kecil masing-masing.
Harga dijangka kekal stabil
Sementara itu, seorang penganalisis lain turut melihat harga gred SMR20 boleh meningkat dan dijangka kekal stabil pada paras RM10 sekilogram sepanjang tiga bulan terakhir tahun ini.
Katanya, harga komoditi itu berkemungkinan boleh meningkat sehingga RM17 atau RM18 sekilogram tahun depan, sekali gus mencatatkan paras tertinggi baru.
“Permintaan getah asli daripada syarikat pengeluar kereta di Jepun diunjurkan kukuh dalam separuh kedua tahun ini walaupun berdepan peningkatan kebimbangan ketidaktentuan ekonomi global.
“Ini sejajar dengan pemulihan beransur-ansur industri automotif Jepun dan perkembangan ini sudah tentu akan membantu melonjakkan kembali harga,” katanya sambil menambah beberapa pengeluar kereta utama dunia seperti Nissan kini sedang dalam proses meningkatkan pengeluaran unit keretanya susulan pelancaran model barunya.
Harga getah gred SMR20 pernah mencecah paras tertinggi dalam sejarahnya, iaitu RM17.245 sekilogram pada Februari tahun lalu, tetapi menjunam beberapa bulan berikutnya akibat meningkatnya kebimbangan terhadap permintaan susulan ketidaktentuan ekonomi global yang dicetuskan oleh ketegangan di Asia Barat serta masalah kewangan di Amerika Syarikat dan Eropah.
Pada penutupan pasaran semalam, harga getah gred SMR20 berada pada paras RM7.75 sekilogram, naik 14 sen daripada RM7.61 sekilogram sebelumnya.
Penganalisis berkata, selain pelaksanaan dua langkah baru oleh tiga negara pengeluar utama getah dunia itu, kekangan penawaran berikutan faktor cuaca turut akan menyokong harga komoditi itu untuk melonjak pada paras yang tinggi.
sumber- BH
0 comments:
Post a Comment