Semua ahli keluarga Ruslan yang mendaftar sebagai penderma organ menunjukkan kad ikrar penderma organ milik mereka. |
TEMERLOH - Jika pasangan suami isteri diduga dengan kematian anak pasti mereka akan meratap sedih dengan pemergian insan tercinta.
Namun berlainan pula bagi Ruslan Awang, 53, kerana dua anak lelakinya yang kembali ke Rahmatullah membanggakan mereka sekeluarga kerana menjadi penderma organ untuk membantu mereka memerlukan.
Menurutnya, kematian anak memang menyedihkan. Tetapi mereka perlu kuat dan menganggap anak itu sebagai pinjaman daripada ALLAH agar tidak berasa sedih dengan pemergian mereka.
Katanya, mereka sekeluarga kini merupakan pengikrar derma organ kerana sedar bahawa organ itu boleh dimanfaatkan orang lain.
“Saya mula menjadi penderma organ pada 1992. Kisahnya bermula apabila saya membaca artikel dalam akhbar di mana seorang bayi yang menghidap penyakit kronik, tetapi saya sudah lupa penyakit yang dihidapi.
Bayi itu memerlukan bantuansama ada organ atau darah daripada orang ramai.
“Saya terbuka hati untuk membantu bayi itu dan apabila sampai di hospital berdekatan saya membatalkan niat itu. Namun selepas beberapa hari saya pergi ke Kuala Lumpur untuk mendaftar sebagai penderma organ,” katanya.
Ruslan berkata, ketika itu dia bersama isterinya, Simuntina Sinos dan dua anaknya yang masih kecil berusia empat dan dua tahun mendaftar sebagai penderma.
Menurutnya, ketika itu dia merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan ahli keluarga lain.
“Rahsia itu hanya diketahui apabila anak sulung saya, Mohammad Rasyidin ketika itu berusia 18 tahun meninggal dunia dalam kemalangan pada Oktober 2007.
“Apabila mengetahui perkara itu mereka menentang dengan alasan salah di sisi agama. Saya faham perasaanmereka ketika itu, namun saya terpaksa menghubungi salah seorang doktor di Kuala Lumpur untuk datang bagi menerangkan kedudukan sebenar kepada ahli keluarga yang lain.
“Setelah berbincang mereka faham bersetuju mendermakan semua organ arwah anak saya itu kecuali mata,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), dekat sini.
Dugaan keluarga Ruslan tidak terhenti di situ apabila dia diuji dengan kematian seorang anak keempatnya, Lukmanul Hakim, 17, yang terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan pergi ke sekolah, pagi semalam.
Menurutnya, apabila anaknya selamat dilahirkan, dia terus mendaftarkan anaknya itu sebagai penderma organ dan kini anak bongsunya gembira menjadi penderma organ.
“Ketika arwah anak sulung saya berusia 12 tahun, saya memberitahunya bahawa dia telah didaftar sebagai penderma organ. Apa yang membanggakan saya apabila dia gembira dan rela menjadi penderma.
“Kami sekeluarga seramai lapan orang sudah menjadi penderma organ. Selain itu, adik-beradik dan anak saudara saya juga sudah mendaftar sebagai penderma organ. Kini kami berjumlah 15 orang.
“Bukan itu sahaja, malah seramai 12 orang penduduk di kampung saya turut mempunyai kesedaran sama untuk menjadi penderma organ,” katanya.
Ruslan berkata, dia teringin berjumpa dengan mereka yang menerima organ daripada anaknya itu dan apabila doktor memberitahu mereka kini sudah sihat saya berasa gembira kerana dapat memanfaatkan organ yang dianugerahkan ALLAH itu.
Dalam hal ini, Ruslan mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan agama sebagai alasan atau penghalang untuk tidak menderma organ, sebaliknya pandanglah dalam konteks lebih luas.
“Mereka beranggapan apabila menderma organ bimbang akan bangkit pada hari kiamat dalam keadaan tidak sempurna. Itu merupakan pemikiran sempit kerana kita semua adalah ciptaan ALLAH.
“Jika kita memberikan organ pada mereka memerlukan pastinya kita turut mendapat ‘saham’ atau pahala sehingga penerima organ itu meninggal dunia,” katanya.
Ruslan berkata, dia tampil untuk memberikan penerangan ini bukan untuk mencari publisiti, tetapi mahu menyedarkan masyarakat untuk menjadi penderma organ.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment