Demonstrasi teknologi 'V-Grooving' untuk mengubah batang buluh dari bentuk silinder kepada kepingan rata bagi kegunaan pembuataan papan buluh laminasi. |
SERDANG: Universiti Putra Malaysia
(UPM) memperkenalkan kaedah baru untuk mengubah batang buluh dari
bentuk silinder kepada kepingan rata bagi kegunaan pembuatan papan
buluh laminasi dan inovasi baru itu merupakan yang pertama seumpamanya
di dunia.
Penyelidik Jabatan Pengeluaran Prof Madya Dr Edi
Suhaimi Bakar berkata, teknologi itu dinamakan sebagai ‘V-Grooving’
(Pengaluran bentuk V) yang merupakan alternatif bagi menangani masalah
bekalan kayu dalam industri kayu di negara ini.
“Saya yakin
bahawa buluh mempunyai ciri-ciri yang sama, atau kadang-kadang lebih
baik daripada kayu. Buluh dijadikan sebagai bahan alternatif kepada
kayu.
“Biasanya papan buluh laminasi menggunakan kaedah
‘splitting-squaring’ (membahagikan kepada empat segi) tetapi ia tidak
praktikal dan melibatkan 13 proses yang mengambil masa.
Dr Edi menunjukkan perbandingan antara kepingan buluh yang sudah diratakan dan sekeping lagi yang hampir diratakan. |
“Namun
kaedah V-Grooving hanya melibatkan antara tujuh dan lapan proses
sahaja menjadikannya sebagai kaedah yang lebih efisien untuk memudahkan
operasi,” katanya pada sidang media sempena Putra Cipta Siri Tujuh
2012 di Fakulti Perhutanan, UPM di sini, Selasa.
Turut hadir
ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Datuk
Ir Dr Mohd Saleh Jaafar, Dekan Fakulti Perhutanan, Prof Datin Dr
Faridah Hanum Ibrahim dan Timbalan Pengarah Bahagian Promosi,
Penyelidikan dan Inovasi Putra Science Park, Prof Madya Dr Samsilah
Roslan.
Dr Edi berkata, buluh dijadikan bahan alternatif kayu
kerana ia cepat tumbuh, mesra alam, kuat dan mempunyai nilai estetika
yang tinggi.
“Antara kelebihan lain bagi kaedah V-Grooving ialah
ia menjimatkan kos pengeluaran dan bahan mentah serta menghasilkan
produk berkualiti dan bahan hijau.
“Inovasi baru ini juga
meningkatkan pulangan bagi isi padu buluh yang telah diratakan dari 65
peratus ke 85 hingga 90 peratus,” katanya.
Protaip bagi teknologi 'V-Grooving' yang kini sedang menunggu pihak yang berminat untuk membangunkannya kepada skala yang sebenar. |
Menurut
Dr Edi, kaedah V-Grooving dapat menghasilkan mesin pemprosesan ringkas
untuk operator separuh mahir serta usahawan kecil dan sederhana.
“Pengenalan mesin ini bukan sahaja memberikan peluang pekerjaan tetapi juga menjana pendapatan baru untuk masyarakat,” katanya.
Sementara
itu, Dr Mohd Saleh berkata, sebenarnya banyak teknologi yang berkaitan
dengan perkayuan dan salah satu daripadanya ialah ‘V-Grooving’.
“Kami melakukan penyelidikan-penyelidikan yang berimpak tinggi dan UPM meneraju pembangunan dan penyelidikan dalam perkayuan.
“Produk ‘V-Grooving’ merupakan sesuatu yang unik. Jika tidak, ia tidak dipatenkan pada awal tahun,” katanya.
Dr Mohd Salleh. |
Mengenai
mengkormersialkan teknologi itu ke peringkat antarabangsa berikutan ia
merupakan yang pertama seumpamanya di dunia, Dr Mohd Saleh berkata,
“Itulah hasrat kita sebenarnya tetapi kita sebagai sebuah universiti
tidak boleh beroperasi sebagai entiti perniagaan.
“Bagaimanapun, kita amat berharap agar produk ini disasarkan untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa,” kata beliau.
Menurut
Dr Mohd Saleh, setakat ini lebih 10 pihak yang berminat untuk
mengadakan kerjasama dengan UPM melibatkan teknologi ‘V-Grooving’.
“Pada
masa ini, ia masih dalam peringkat perbincangan untuk pelesenan. Ia
(pelesenan) merupakan langkah yang penting dalam teknologi yang
dihasilkan sebelum ia boleh dibangunkan sebagai produk berskala yang
sebenar,” katanya.
Mengenai buluh sebagai bahan alternatif kayu,
Dr Mohd Salleh berkata, ia merupakan aspek yang amat penting
berdasarkan kemapanan dalam industri perkayuan.
Dr Edi (kiri) bersama seorang lagi penyelidik, Prof Madya Dr Zaidon Ashaari bersama pengiktirafan teknologi 'V-Grooving' yang mendapat Pingat Emas pada Pameran Reka Cipta Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) UPM 2012. |
“Produk-produk yang berpotensi untuk kemapanan dalam industri harus diketengahkan. Ini yang kita dapat lihat pada potensi buluh.
“Kita
perlu menambah nilai kepada sesuatu produk. Salah satu kemampuan
produk (V-Grooving) adalah menambah nilai buluh,” katanya.
Beliau
menambah, buluh mempunyai ketahanan yang sesuai untuk digunakan dalam
pembinaan bangunan selain untuk bahan membuat perabot dan perhiasan.
Selain
Dr Edi, teknologi 'V-Grooving' dilakukan oleh sekumpulan penyelidik
iaitu Prof Madya Dr Zaidon Ashaari, Prof Madya Mohd Zin Jusoh dan
Dzafarin Saharani, masing-masing daripada Fakulti Perhutanan UPM.
Inovasi V-Grooving mendapat pengiktirafan Pingat Emas pada Pameran Reka Cipta Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) UPM 2012.
sumber- MStar
0 comments:
Post a Comment