Sunday, September 2, 2012

Beruang hitam juga bijak

beruang hitam yang bijak

MICHIGAN 1 Sept. - Beruang hitam didapati mampu menyelesaikan kiraan mudah dan memiliki kebijaksanaan menyamai haiwan primat, menurut satu kajian terkini.

Kajian yang dijalankan pakar psikologi dari Universiti Oakland, Michigan itu mendapati, beruang hitam mampu menyelesaikan tugasan berangka, termasuk membezakan bilangan titik pada sesuatu imej.

"Kajian tersebut menunjukkan beruang dan beberapa haiwan mamalia lain juga mempunyai kebolehan yang hampir dengan manusia," kata penyelidik bersama, Jennifer Vonk.

Tiga ekor beruang hitam yang tinggal di sebuah zoo terlibat dalam kajian tersebut yang menggunakan komputer dengan skrin sentuh.

Apabila beruang tersebut menghampiri komputer, skrin akan memaparkan dua imej yang terdiri daripada satu set imej mengandungi titik-titik besar dan satu lagi imej yang lebih kecil, yang mana kedua-duanya diwarnakan secara rawak hitam atau merah.

Beruang tersebut yang sudah dilatih menyentuh komputer dengan hidung atau tapak tangan, akan melakukannya bagi memilih imej tersebut.

Sekiranya menyentuh imej yang tepat, komputer tersebut akan mengeluarkan bunyi dan beruang itu akan mendapat makanan sebagai balasan.

Keputusan menunjukkan beruang-beruang itu mampu memilih imej yang tepat untuk mendapatkan makanan dan kemampuan itu hampir menyamai kebolehan mengira, kata Vonk.

Satu lagi eksperimen lanjutan menunjukkan, seekor daripada beruang tersebut yang bernama Brutus, mampu membezakan nombor. 

sumber- AGENSI

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...