Keadaan kereta dipandu seorang wanita hingga meragut dua nyawa yang sedang bertugas di lokasi kebakaran melibatkan stor penyimpanan barang lusuh di Batu 13, Jalan Kapar, Sungai |
KAPAR - Malang tidak berbau apabila dua pekerja Telekom maut manakala dua lagi cedera selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika kesemua mangsa sedang berehat sebaik selesai membaiki kabel telekom yang rosak akibat kebakaran sebuah stor penyimpanan barang lusuh dan plastik di Batu 13, Jalan Kapar, Sungai Serdang, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, mangsa yang maut dikenali Hasim Kuntana, 27, dan Edi Sugianto, 38, manakala mangsa yang cedera pula dikenali Agus Sugiharto, 26, dan Muhammad Soleh, 28. Kesemua mangsa adalah warga Indonesia.
Dalam kejadian itu juga, pemandu kereta yang berusia 27 tahun turut cedera parah di muka dan dia dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.
Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, kemalangan berlaku di lokasi kebakaran yang melibatkan stor penyimpanan barang lusuh.
“Ketika orang awam dan pihak berkuasa sedang menjalankan tugas masing-masing di tempat kejadian, tidak semena-mena sebuah kenderaan yang dipandu seorang wanita dipercayai terbabas lalu merempuh empat pekerja Telekom tersebut yang sedang berehat di lokasi pembaikian kecemasan kabel telekom.
“Kesemua mangsa yang tidak menyedari kenderaan tersebut menuju ke arah mereka gagal mengelak dan menjadi mangsa rempuhan.
“Berikutan itu, dua daripadanya maut di lokasi kejadian manakala dua lagi tercedera,” katanya.
Dalam kejadian yang sama, menurutnya, pemandu turut mengalami kecederaan parah selain kenderaannya remuk teruk pada bahagian hadapan.
Beliau berkata, keadaan di lokasi agak gelap tanpa lampu bagaimanapun pihak berkenaan telah meletakkan papan tanda amaran serta kon keselamatan berlampu dalam jarak lebih kurang 60 meter dari kedudukan mangsa.
“Peralatan berkenaan memang diletakkan sebagai peringatan kepada semua pengguna jalan raya namun begitu kita tidak sangka kejadian yang tidak dijangka tetap berlaku,” katanya.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment