Raja Azmi |
NAMA Raja Azmi Raja Sulaiman sememangnya tidak lekang daripada kontroversi. Selepas disahkan bercerai dengan Jalani Sidek Jun lalu, dia didakwa menjalin hubungan istimewa dengan orang kenamaan.
Menjawab dakwaan itu, Raja Azmi menjelaskan: “Saya tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan VIP yang dimaksudkan, sebaliknya saya hanya berkawan sahaja dengan dia.”
“Saya hanya mengganggapnya sebagai kawan lelaki, sama seperti rakan-rakan saya yang lain,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Sebelum ini kecoh apabila dikatakan dia dihimpit orang kenamaan sebaik sahaja ikatan perkahwinan dengan Jalani berakhir.
Ketika ditanya adakah dia serik untuk bercinta lagi, Raja Azmi memberitahu, “saya tidak merasa serik.”
“Sebaliknya jika ada jodoh pada masa akan datang, saya terima tetapi buat masa sekarang saya memang masih solo,” kata pengarah filem ini.
Dia juga berkata ketika ini tumpuannya lebih terarah kepada perkembangan seni syarikat produksinya, Akid Productions dalam merangka pelbagai program untuk terbitan syarikat itu.
Selepas 28 tahun melayari bahtera perkahwinan, Jalani, bekas jaguh badminton kebangsaan dan Raja Azmi bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur penghujung Jun lalu.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23 dan Megat Deli, 18.
Bagaimanapun Raja Azmi tidak mahu mengulas mengenai hubungan antara bekas suaminya dengan seorang usahawan wanita seperti yang dilaporkan sebuah akhbar mingguan, baru-baru ini.
“Saya tidak mahu beri sebarang komen mengenai hubungan mereka,” katanya lagi.
Laporan media menyebut Jalani semakin mesra dengan usahawan berkenaan, Zaleha Mohd Khalid dan anak-anaknya.
Selain itu, Zaleha turut berkongsi dua keping gambar melalui laman Facebooknya yang memaparkan kemesraan di antara mereka berdua menyambut 1 Syawal bersama-sama, dua minggu lalu.
Zaleha, 47, turut menjelaskan dia dan Jalani, 49, sudah dua tahun meraikan hari lebaran bersama-sama cuma bezanya tahun lepas Raja Azmi turut bersama, tapi tidak tahun ini.
Bercakap mengenai perkembangan seni, Raja Azmi mengatakan syarikat produksinya kini akan menerbitkan telemovie berjudul Akar yang mengisahkan kehidupan seorang anak Terengganu yang berhijrah ke Bali, Indonesia.
“Buat masa ini, saya akan menerbitkan Akar yang dibintangi pelakon baru, Khairil Anhar yang merupakan abang kepada pelakon Zahiril Adzim dan masih dalam proses untuk mencari pelakon wanita Indonesia sebagai heroinnya,” katanya.
Menurutnya lagi, telemovie ini akan memulakan penggambarannya bulan depan.
Sementara itu, Raja Azmi turut dalam perbincangan untuk menerbitkan sebuah program bual bicara yang mengetengahkan isu-isu semasa selain terdapat kelainan di mana semua tetamu yang dijemput akan menunjukkan kebolehan masing-masing kala berada di dapur.
“Program bual bicara ini seakan-akan konsep rancangan Oprah Winfrey Show tetapi kelainannya adalah semua tetamu yang dijemput harus memasak di set. Itu adalah kelainan yang saya fikir boleh menarik minat penonton”.
“Saya turut menyimpan hasrat untuk menjemput isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk bersama-sama tampil dalam program itu kelak,” katanya teruja.
Raja Azmi sebelum ini menjadi seorang di antara 16 peserta Masterchef Selebriti Malaysia musim pertama yang dimenangi penyanyi dan pakar motivasi, Datuk Fazley Yaakob.
0 comments:
Post a Comment