Tuesday, September 18, 2012

Nelayan mati lemas tergelincir dari bot

Nelayan mati lemas tergelincir dari bot
Orang ramai mengerumuni lokasi kejadian untuk melihat kerja mencari dan menyelamat oleh Unit Selam Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam satu kejadian lemas petang kelmarin.
KUALA TERENGGANU - Seorang nelayan warga Thailand mati lemas selepas tergelincir dari sebuah bot dalam satu kejadian di Pelabuhan Perikanan Chendering, di sini, petang kelmarin.

Mayat mangsa, Ma Esor, 38, berasal dari Narathiwat berjaya ditemui oleh Unit Selam Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat berhampiran lokasi mangsa dilaporkan terjatuh kira-kira jam 7.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa bersama rakannya sibuk memunggah pukat sebelum tergelincir lalu jatuh.

“Kami menerima maklumat kira-kira jam 5.30 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama pasukan bomba dan penyelamat untuk memulakan kerja mencari mangsa.

“Dengan kecekapan dan kepantasan Unit Selam Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat, kita mengambil masa lebih kurang hampir dua jam mencari mangsa walaupun dalam cuaca hujan yang agak lebat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Zamri berkata, mayat mangsa ditemui tidak jauh dari lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut serta tiada sebarang unsur jenayah.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada majikannya untuk urusan pengebumian dan kami difahamkan mangsa mungkin tidak dihantar balik ke negara asalnya, Thailand,” katanya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...