Wednesday, September 12, 2012

Shakira disaman bekas kekasih

Shakira
Shakira
BOGOTA - Penyanyi terkenal dari Colombia, Shakira disaman bekas kekasih yang juga ejennya ekoran beberapa kontrak tertunggak selepas hubungan mereka berakhir, kata peguam bintang pop itu kelmarin.

Menurut peguam Ezequiel Camerini dalam satu kenyataan, Antonio de la Rua memfailkan saman tersebut pada Julai lalu dan menuntut aset-aset bank dibekukan.

Camerini tanpa memberi butiran lanjut berkata, permohonan Antonio untuk pembekuan aset bank itu ditolak, tetapi kes asas masih berjalan.

Minggu lalu, media Colombia melaporkan Antonio menuntut saman berjumlah AS$250 juta (RM767.55 juta) dan harta sepencarian yang dikongsi mereka selama 11 tahun bersama.

Antonio, 38, merupakan anak bekas Presiden Argentina, Fernando de la Rua yang berkhidmat dari tahun 1999 hingga 2001.

Beberapa hari kemudian, seorang peguam Antonio menafikan terdapat sebarang tindakan saman diambil.

Menurutnya, pasangan tersebut hanya membubarkan sebuah syarikat yang pernah mereka miliki bersama.

Namun, Camerini kelmarin menafikan terdapat sebarang usahasama sedemikian antara Shakira dan Antonio.

Penyanyi berusia 34 tahun itu kini menjalin hubungan dengan bintang bola sepak pasukan Barcelona, Gerard Pique.

Shakira pernah menjadi penyanyi lagu Waka Waka yang menjadi lagu tema pertandingan bola sepak Piala Dunia 2010. 

sumber- AFP

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...