Mayat mangsa ditemui marin sejauh tiga kilometer dari tempat kejadian. |
JERANTUT - Mayat penoreh getah yang lemas ketika menjala ikan di kawasan mesin penyedut pasir di Sungai Pahang berhampiran Kampung Paya Teh, kelmarin, ditemui dalam keadaan terapung di Kampung Jerantut Feri, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Azid Ismail berkata, mangsa, M Selvakumar, 21, ditemui polis marin dalam keadaan terapung ketika mengadakan rondaan.
“Mayat dijumpai pada jam 9.45 pagi semalam iaitu kira-kira tiga kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang.
“Badan mangsa mengalami sedikit kecederaan dipercayai kesan gigitan haiwan dan sudah disahkan keluarganya,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat dan diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang kelmarin, Selvakumar dari Taman Wira dan dua rakannya cuba menyeberangi sungai menuju ke sebuah pulau kecil untuk menjala ikan.
Mangsa dikatakan cuba menyelamatkan rakannya, M Maheswaran, 12, yang hampir lemas sebelum hilang dibawa arus.
“Saya berharap penduduk tidak menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan berhampiran mesin penyedut pasir kerana sangat bahaya,” katanya.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment