Keadaan kereta mangsa yang rentung selepas terbakar kira-kira jam 4.30 pagi semalam |
ALOR GAJAH - Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini terkejut apabila mendapati kereta Proton Saga BLM miliknya terbakar di hadapan rumahnya, di Taman Kasa Height, dekat sini, awal pagi semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa, Mohd Khairulanwar Abdul Mutalib, 22, sedang tidur di ruang tamu sebelum dikejutkan seorang rakan yang mendakwa terhidu bau hangit dari luar rumah.
Menurut Mohd Khairulanwar, dia terkejut melihat kereta yang baru dibeli dua tahun lalu mengeluarkan asap tebal dan terdapat letupan kecil pada bahagian enjin.
“Kami cuba memadamkan api dengan menyiram air, namun api terus menyambar dengan marak menyebabkan kami segera menghubungi pasukan penyelamat untuk mendapat bantuan,” katanya.
Katanya, sebelum kejadian berlaku dia bersama lima rakannya keluar makan malam di pekan dan terus pulang ke rumah pada jam 12.30 tengah malam.
“Saya tidak pasti sama ada kejadian ini berunsurkan khianat atau terdapat masalah pendawaian. Oleh itu, saya serahkan kejadian ini kepada pihak berkenaan untuk siasatan,” katanya yang mengalami kerugian hampir RM30,000.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Alor Gajah, PBK 2 Suhairi Supian berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kejadian kira-kira jam 4.47 pagi.
Menurut Suhairi, sembilan anggota membabitkan sebuah jentera dan tiga motosikal dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengawal kebakaran.
“Setibanya di lokasi kejadian, kami dapati api marak hampir keseluruhan kereta namun api dapat dipadamkan kurang lima minit dan setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian juga masih belum ditafsirkan.” katanya pagi semalam.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment