KUALA TERENGGANU - Tidak pernah serik! Walaupun sebelum ini sudah beberapa kali dipenjarakan kerana kesalahan mencuri, seorang buruh dilihat seolah-olah menjadikan jenayah mencuri ‘kerjaya’ sambilan bagi mendapatkan wang dengan mudah.
Ini terbukti apabila sekali lagi, tertuduh, Mohd Normi Ismail @ Mohd Nor, 35, dengan lagak selamba mengaku bersalah mencuri tujuh tin sardin dan dua kotak cakera video digital (DVD) milik Pasar raya Mydin Mall, di sini, di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Sebagai pembalasan dengan perbuatan yang dilihat tidak pernah serik itu, Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman tiga bulan penjara dan denda RM1,500 atau penjara lagi sebulan sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.
Mohd Normi dipenjara tiga bulan dan denda RM1,500 selepas mengaku bersalah mencuri tujuh tin sardin pelbagai jenama dan dua kotak DVD. |
Mohd Normi yang beralamat dari Kampung Ladang Hospital, di sini, mengaku mencuri kesemua barang yang bernilai RM128.67 milik Pasaraya Mydin Mall, pada Sabtu lalu, iaitu 13 Oktober lalu lebih kurang jam 4.53 petang hingga 7.10 petang.
Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman boleh sampai sepuluh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna manakala Mohd Normi tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, tindak tanduk mencurigakan Mohd Normi dikesan oleh pekerja yang bertugas di bilik kamera rakaman litar tertutup (CCTV) sebelum memaklumkan kepada pengawal keselamatan bertugas, Ibrahim Mat Piah, 33.
Tindakan Mohd Normi yang mencuri beberapa jenis barang di dalam kedai Mymart Mydin Mall dengan memasukkan ke dalam beg dapat dilihat menerusi rakaman CCTV tersebut sebelum dia ditahan di kawasan parkir di hadapan kedai itu oleh pengawal keselamatan yang bersedia menunggunya di situ.
Hasil pemeriksaan di badannya mereka berjaya menjumpai tujuh tin sardin pelbagai jenama dan dua kotak DVD di dalam beg dibawanya sebelum diserahkan kepada polis yang bertugas di pondok polis komuniti berhampiran.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment