gambar hiasan |
PARIT BUNTAR - Seorang pemuda dijumpai mati dalam keadaan tergantung di bilik sebuah rumah di Taman Seri Tenggara, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, mayat Tan Yong Jing, 28, ditemui tergantung pada sebuah kipas di dalam bilik tidurnya dan keadaan itu disedari bapanya kira-kira jam 8 pagi.
Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai pendandan rambut di sebuah salun rambut di sini dipercayai mati sejak malam tadi antara jam 12 tengah malam hingga pagi sewaktu ditemui.
“Bapanya menyedari kelibat tubuh mangsa tergantung melalui tingkap bilik sewaktu bapanya keluar ke pekarangan rumah pada waktu pagi.
“Bapa mangsa segera meluru ke dalam rumah untuk membuka pintu bilik mangsa tetapi berkunci. Dia terus memanggil mangsa, bagaimanapun tiada jawapan balas sehingga menyebabkan pintu dipecahkan dan ketika itu, keluarganya menyedari mangsa sudah tidak bernyawa,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di sini, semalam.
Mat Fauzi berkata, punca sebenar kejadian itu masih disiasat, bagaimanapun pihaknya tidak menolak kemungkinan ia melibatkan masalah peribadi.
Mangsa juga mempunyai sejarah terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan masih dalam pengawasan polis di bawah Akta Rawatan dan Pemulihan Dadah.
“Mangsa yang masih bujang dan tinggal bersama keluarga itu terus dikejarkan ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut kerana tidak melibatkan unsur jenayah,” katanya.
Sementara itu, salah seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memberitahu, mangsa merupakan seorang yang ceria dan tidak mempunyai masalah.
“Mangsa juga sudah tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah sejak lebih setahun lalu dan kini berusaha mendapatkan pekerjaan tetap.
“Kami sedih dengan kehilangannya memandangkan mendiang seorang anak dan adik yang baik,” katanya.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment