Ular sawa berjaya ditangkap pasukan JPAM Alor Gajah kurang 10 minit. |
ALOR GAJAH - Kebimbangan pekerja di sebuah tempat mencuci kereta reda selepas tiga ular sawa yang menghuni bahagian bawah sebuah jambatan berjaya ditangkap sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah, dekat sini tengah hari semalam.
Difahamkan, kewujudan tiga ular berkenaan disedari pemilik bengkel mencuci kenderaan, M Skumaran, 33, kira-kira jam 12 tengah hari ketika dia bekerja sebelum melihat sekumpulan remaja memancing ikan di bawah jambatan.
Menurutnya, ketika itu saya secara tidak sengaja terlihat ular sawa di bahagian bawah jambatan berkenaan.
"Setelah diamati lebih dekat, bukan seekor tetapi ada tiga ekor ular sawa dewasa sepanjang 1.5 meter sedang bergumpal di celahan kayu dan batu di bawah jambatan dipercayai dalam proses bersalin kulit.
"Terkejut melihat ular itu, saya terus menjerit mengarahkan lima remaja terbabit beredar dari kawasan berkenaan kerana dibimbangi mengganggut habitat reptilia itu yang dipercayai sudah beranak pinak melebih lima ekor," katanya.
Skumaran berkata, bimbang perkara buruk berlaku, dia terus menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah untuk menangkap ular berkenaan yang menghuni di bawah jambatan berkenaan.
"Lebih membimbangkan kawasan berkenaan yang lembap dan sejuk selain dipenuhi semak samun tidak mustahil menjadi tempat membiak utama reptilia berkenaan dan menjadikan jambatan sebagai tempat berlindung.
"Saya juga bimbang kerana berdekatan jambatan itu juga terdapat sebuah rumah didiami sepasang suami isteri warga emas yang uzur," katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi JPAM Daerah Alor Gajah, Ismail Zulkifli berkata, tiga anggota ditugaskan ke lokasi setelah menerima maklumat lengkap daripada pengadu kira-kira jam 12.05 tengah hari bagi melakukan kerja menangkap ular.
“Setibanya di tempat kejadian, kami sukar mengesan kedudukan ular berkenaan yang berada di satu sudut di bawah jambatan namun dengan kemahiran ada kami berjaya menangkap ular itu dalam tempoh kurang 10 minit,” katanya.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment