Friday, October 5, 2012

Suami isteri didakwa dera amah

Daeng Norulasyikin Bachok
Daeng Norulasyikin Bachok
JOHOR BAHRU - Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia dengan menggunakan pisau, kayu golf dan minyak panas, antara Julai hingga September lalu.

Tertuduh, Mohd Shukur Suradi, 28, dan bersama isteri, Daeng Norulasyikin Bachok, 27, turut didakwa memperdagangkan mangsa, Marsini, 21, di sebuah rumah di Taman D Utama Perling di sini.

Mohd Shukur, yang bekerja sebagai penjual kereta dan isterinya, seorang guru, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zamri Bakar.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tempat yang sama antara bulan Julai hingga 23 September lalu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Marsini dengan menggunakan satu alat untuk menikam iaitu sebilah pisau, selain alat yang boleh menyebabkan kematian iaitu kayu golf, penyangkut baju, tali pinggang, serta menggunakan benda hangat dan melecur iaitu air panas, minyak panas, senduk dan sudu panas.

Atas kesalahan itu, dakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mohd Shukur Suradi
Mohd Shukur Suradi
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Di bawah tuduhan kedua pula, pasangan suami isteri itu didakwa memperdagangkan Marsini bagi tujuan mengeksploitasi wanita itu dengan cara memaksa bekerja sebagai pembantu rumah di alamat yang sama 23 September  lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikenakan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Zamri membenarkan pasangan suami isteri tersebut diikat jamin RM20,000 dengan masing-masing seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport sebagai syarat jaminan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 16 Oktober ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Chuah Shyue Chien, Norashikin Ibrahim dan Jasmee Hameeza Jaafar yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM50,000 bagi dua pertuduhan yang dihadapi oleh Mohd Shukur dan Daeng Norulasyikin.

Peguam Noordin Hussin yang mewakili Mohd Shukur manakala Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Daeng Norulasyikin memohon jumlah itu dikurangkan memandangkan pasangan tersebut mempunyai seorang anak berusia sembilan bulan.

Pada 26 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan seorang pembantu rumah dipukul majikannya dengan menggunakan kayu golf kerana hanya lambat membuat kerja rumah.

Mangsa, Marsini, 21 ditemui orang awam kira-kira jam 12.15, 23 September lalu ketika sedang merayau-rayau di sekitar kawasan kedai Taman Perling selepas melarikan diri dari rumah pasangan majikan guru dan penjual kereta itu.

Mangsa dikatakan datang ke Malaysia Januari lalu dan bekerja dengan kedua-dua mereka sejak Februari yang didakwanya telah dipukul di kepala, belakang badan dan diseterika di dada sehingga melecur.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...