Tuesday, November 6, 2012

Budak dua tahun maut diserang anjing liar

PITTSBURGH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas terjatuh ke dalam kurungan yang menempatkan sekumpulan anjing liar bertompok Afrika yang kemudiannya menyerang dan membaham mangsa di sebuah zoo di sini, semalam.

Presiden Zoo Pittsburgh dan Akuarium PPG, Barbara Baker berkata, mangsa yang mengunjungi zoo itu bersama ibu dan kawan-kawannya, dipercayai terjatuh melepasi pagar sebelum tergelincir setinggi 4.3 meter ke kurungan berkenaan.

Seorang pengawal keselamatan menutup pintu pagar Zoo Pittsburgh, selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut terjatuh dan diserang sekumpulan anjing liar bertompok Afrika di Pittsburgh, Amerika Syarikat, kelmarin. - AP
Baker berkata, punca kematiannya bagaimanapun masih belum dapat disahkan sama ada berpunca daripada kecederaan akibat jatuh atau dibaham haiwan liar tersebut.

Jelas beliau, polis kini sedang menyiasat bagaimana budak lelaki itu boleh memanjat melepasi pagar besi setinggi 1.5 meter tersebut.

Katanya, ketika kanak-kanak itu jatuh, beberapa pelawat lain bertindak pantas memaklumkan hal itu kepada kakitangan zoo yang turut bekerjasama dengan polis Pittsburgh untuk menyelamatkan kanak-kanak malang tersebut.

Jelasnya, penjaga zoo terpaksa menghalau anjing-anjing yang menyerang budak lelaki itu dan 10 daripadanya menjauhi mangsa.

"Hanya seekor anjing liar berkenaan tidak melepaskan gigitan terhadap kanak-kanak tersebut dan polis terpaksa menembak mati haiwan itu.

"Kejadian itu menunjukkan kanak-kanak berkenaan secara jelasnya diserang oleh anjing-anjing liar tersebut, namun punca sebenar kematian mangsa tidak dapat dipastikan," katanya.

Anjing-anjing liar Afrika yang menyerang kanak-kanak terbabit sebesar saiz anjing tempatan yang bersaiz normal dengan ketinggian 0.6 meter hingga 0.75 meter dan seberat 17 kilogram hingga 36 kilogram.

Haiwan tersebut turut dikenali dengan nama anjing pemburu, anjing pengesan dan serigala bertompok. 

sumber- AGENSI

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...