Saturday, December 8, 2012

Kaki Si Jelita dibaham buaya

dibaham buaya

PERTH: Percutian seorang pelayan kapal mewah di Australia Barat baru-baru ini ternyata meninggalkan ‘kesan mendalam’ kepadanya apabila dia diserang buaya. Bagi Tara Hawkes, 23, dia sangat bersyukur kerana terselamat walaupun serangan reptilia ganas sepanjang tiga meter itu menyebabkan dia mengalami parut di pahanya.

Kata Tara, dia sedang mengayuh sampan di kolam air tawar di Dugong Bay ketika serangan berlaku.

“Tanpa disedari, buaya itu membaham paha kiri dan menarik saya ke dalam air.

“Saya tak mampu berbuat apa-apa dan buaya itu memperlakukan saya seperti anak patung mainan,” katanya.

Menyangka nyawanya akan melayang, Tara menjerit meminta tolong sekuat hati tetapi rakannya tidak berbuat apa-apa pada peringkat awal.

Sementara itu, rakan Tara, Al Sartori, berkata dia menyangka kejadian itu adalah antara helah Tara untuk mengenakannya.

“Hanya selepas ternampak air bertukar merah, barulah saya sedar Tara dalam bahaya,” katanya. Bersama seorang lelaki lain, Sartori berenang ke arah Tara.

Kata Sartori, dia terpaksa bergelut dengan buaya berkenaan sebelum kaki Tara dilepaskan dan wanita itu ditarik ke tebing.

Disebabkan hilang terlalu banyak darah, Tara terpaksa diterbangkan dengan helikopter ke hospital berhampiran.

Doktor menghabiskan masa selama empat jam untuk menyelamatkan kaki Tara. 

sumber- TS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...