Wednesday, July 25, 2012

Mengaku tetak ibu hingga parah

Mengaku tetak ibu hingga parah
Mohd Sufian mengaku di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, menetak ibu kandungnya dengan sebilah parang.
KUALA TERENGGANU - Seorang anak mengaku menetak kepala ibu kandungnya dengan sebilah parang sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Tertuduh, Mohd Sufian Ahmad, 32, mengaku di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, di sini semalam, melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata tajam kepada ibunya, Meriam Embong, 66.

Bagaimanapun, Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris mengarahkan Mohd Sufian yang memiliki rekod pesakit mental sebelum ini dihantar menerima rawatan mental di Hospital Tampoi sehingga menunggu tarikh sebutan semula pada 29 Ogos depan.

Sebelum itu, Mohd Sufian yang tidak memiliki pekerjaan itu mengaku dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan parah terhadap ibunya di tanah lapang di Kampung Bukit Bayas, Padang Nanas, Mengabang Telipot, di sini, pada 13 Julai lalu antara jam 3 petang dengan menggunakan sebilah parang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, akhbar menyiarkan berita mengenai seorang ibu memiliki empat anak lelaki yang mengalami masalah mental menerima nasib malang apabila ditetak dengan sebilah parang di kepala oleh salah seorang anaknya.

Siasatan awal mendapati, anak kepada warga emas malang itu mengalami masalah mental dan memiliki kad rawatan pesakit mental.

Kejadian dipercayai berpunca selepas dia kehabisan ubat penenang memandangkan dia kini masih bergantung pada ubat.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...