KULIM - “Cepat, baca surah Yasin!, ada benda sebelah aku ni,” jerit seorang rakan yang berada dalam kereta Perodua Kancil Sinar Harian cemas apabila merasakan ada lembaga wanita duduk di sebelahnya di bahagian tempat duduk kerusi belakang.
Kejadian itu berlaku Khamis lalu apabila wartawan Sinar Harian bersama seorang anggota polis berpangkat koperal dan seorang rakan melalui jalan Bukit Lengkok kira-kira jam 4 pagi, Khamis lalu.
Ketika melalui di satu selekoh dalam keadaan hujan lebat, semua mereka ternampak batu nisan setinggi setengah meter di tepi jalan tetapi masing-masing hanya diam dan tidak mengendahkannya.
Keadaan mula cemas apabila rakan mereka itu menjerit meminta membaca surah Yasin dengan segera.
Bagaimanapun, anggota polis cuba menenangkannya dan membaca beberapa potong ayat al-Quran barulah rakannya itu tenang dan perjalanan pun diteruskan.
Setelah melepasi jalan Sungai Lengkok mereka kemudiannya berhenti di tepi Jalan Air Merah dan mula membuka cerita mengenai batu nisan tadi. Ternyata, mereka semua mengaku ternampak imej batu nisan yang dimaksudkan.
Bagaimanapun misteri terbabit tidak berhenti di situ saja apabila kelmarin kira-kira jam 12.30 pagi, seorang rakan wartawan terbabit telah merakam gambar kereta Kancil berkenaan dan mendapati ada imej lembaga wanita berambut panjang di dalamnya dan dipercayai lembaga itu hilang selepas azan Subuh berkumandang.
Sementara itu. seorang pemandu van kilang yang tinggal di Taman Selasih dan tidak mahu dikenali berkata, kejadian seumpama itu sering berlaku di Jalan Bukit Lengkok.
Menurutnya, beberapa tahun lalu polis ada menemui mayat seorang wanita dipercayai dibunuh dan mayatnya dibuang ke dalam gaung berhampiran.
“Ramai pengguna jalan itu menjadi mangsa gangguan lembaga berkenaan. Lembaga itu pernah duduk di belakang penunggang motosikal, saya juga pernah nampak lembaga itu berada di atas bumbung kereta yang datang dari arah bertentangan.
Sememangnya jalan itu tidak dilalui oleh kenderaan pada lewat pagi terutama ketika hujan renyai atau lebat,” katanya.
Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) Khor Eng Khim juga tidak menafikan kewujudan lembaga itu yang sering mengganggu pengguna jalan raya yang melalui jalan Bukit Lengkok menjelang lewat pagi.
“Jalan itu tidak sesuai digunakan pada waktu Subuh terutama ketika hujan. Ini kerana terlalu banyak kejadian kemalangan berlaku di sekitar kawasan itu disebabkan keadaan jalan di situ sempit dan bengkang-bengkok.
"Saya menasihatkan pengguna supaya menggunakan lebuh raya Butterworth Kulim Express (BKE) untuk pergi ke Pekan Kulim dan jangan mengunakan jalan Bukit Lengkok sebagai jalan pintas walaupun ia lebih dekat,” katanya.
sumber- Sinar
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete