Saturday, September 8, 2012

Anak disangka tidur rupanya meninggal dunia

meninggal ketika tidur
Bapa mangsa menyiram pusara anaknya di Tanah Perkuburan Islam Keratong 8.
PERANTAU DAMAI – "Insya-Allah. Kami dah siap makan."

Demikian mesej terakhir dikirimkan seorang gadis menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ibunya sebelum dia ditemui mati di dalam sebuah kereta di Felda Keratong 9, di sini, kelmarin.

Bapa mangsa, Abd Halim Mat Arshad, 48, berkata, sebelum kejadian, anaknya, Nur Zulaykha, 19, keluar bersama seorang kawan lelaki dengan menaiki kereta Perodua Viva kira-kira jam 10 malam selepas sepanjang hari berada di rumah.

Menurutnya, dalam tempoh itu, beberapa kali anaknya menghantar SMS kepada ibunya dan mesej terakhir dikirimnya pada jam 1 pagi sebelum dia ditemui terbaring di dalam kereta terbabit.

“Kami tunggu Nur Zulaykha kerana dia masih tidak balik ke rumah walaupun sudah lewat malam. Kami cuba menghubunginya beberapa kali, namun telefon bimbitnya tidak berjawab,” katanya.

Sangka anak tertidur

Abd Halim yang juga pemangku Ketua Umno Cawangan Keratong 8 berkata, pada jam 4 pagi, rakan Nur Zulaykha menghubunginya menyatakan anaknya tertidur di dalam keretanya.

Menurutnya, rakan anaknya datang ke rumah dan memberitahu Nur Zulaykha tertidur di dalam keretanya di Keratong 9, lalu dia terus ke tempat dinyatakan untuk mengejutkan anaknya yang mungkin kepenatan untuk pulang ke rumah.

"Pada awalnya, saya menyangka Nur Zulaykha mungkin tertidur kerana kepenatan. Namun selepas itu, saya bersama isteri, Marima Mohd Isa, 44, dan anak lelaki sulung terus membawa dia ke Hospital Muadzam Shah.

“Saya tidak sangka dia meninggal dunia di dalam kereta itu kerana sepanjang perjalanan, dia tidak sedarkan diri. Kami sekeluarga sangka dia pengsan atau tertidur. Namun ketika di hospital, doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Tiada kesan kecederaan

Abd Halim berkata, dia juga tidak menyangka anaknya meninggal dunia memandangkan tidak terdapat sebarang kesan kecederaan semasa dia mengangkat Nur Zulaikha untuk dialihkan ke dalam keretanya.

Menurutnya, dia hanya menyedari anaknya itu meninggal dunia selepas doktor di Hospital Muadzam Shah mengesahkan perkara tersebut.

“Alangkah hibanya hati saya apabila mengetahui Nur Zulaykha sudah meninggal dunia semasa kami membawanya ke hospital.

“Isteri saya memangku arwah di bahagian tempat duduk belakang. Dia cuba mengejutkan arwah, namun masih tak bangun-bangun. Isteri saya juga sempat mengingatkannya supaya mengucap, namun tidak berbalas,” katanya.

Serah pada polis

Abd Halim berkata, sebaik sahaja mengetahui anaknya meninggal dunia, dia cuba menghubungi kawan lelaki Nur Zulaykha untuk mendapatkan punca sebenar kematian anaknya itu.

“Saya ada hubungi kawannya itu, namun dia memberitahu tidak mungkin Nur Zulaykha meninggal dunia dan tidak percaya anak saya sudah tiada lagi.

“Saya terus ke rumahnya di Felda Keratong 9, namun lelaki itu sudah menghilangkan diri bersama keretanya,” katanya.

Menurutnya, susulan kejadian itu, dia menyerahkan kes tersebut kepada polis untuk mengambil tindakan lanjut supaya dalang sebenar kejadian dapat dibawa ke muka pengadilan.

Menurutnya, kes itu masih dalam siasatan polis dan dia sedia memberi kerjasama sepenuhnya untuk memastikan mana-mana individu terbabit dapat dikenakan hukuman setimpal di atas kesalahan jenayah tersebut.

“Jika benar ada unsur-unsur jenayah dalam kes ini, saya minta polis buat siasatan menyeluruh. Hanya undang-undang dapat memberi pengajaran ke atas pelaku jika terbukti ia adalah kes jenayah,” katanya.

Ada unsur jenayah

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi berkata, pihak hospital melaporkan hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati terdapat unsur jenayah.

Menurutnya, polis kini sedang memburu seorang suspek untuk membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan hospital mendapati mangsa dibunuh. Namun, kami masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini,” katanya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...