Saturday, September 15, 2012

Gambar separuh telanjang isteri Putera William tersebar

Gambar separuh telanjang Kate Middleton
PUTERA WILLIAM dan isterinya semasa mereka berada di Istana Presiden di Singapura pada 11 September lalu.
LONDON - Pewaris kedua takhta diraja Britain, Putera William dan isterinya Kate Middleton berang semalam selepas sebuah majalah Perancis menyiarkan gambar separuh bogel wanita berkenaan.

Perbuatan tersebut membangkitkan kembali insiden gangguan yang dilakukan oleh pihak media terhadap ibu William, mendiang Puteri Diana.

Middleton memakai gelaran Duchess of Cambridge selepas berkahwin dengan William.

Beberapa pegawai Istana St James di sini berkata, pasangan diraja berkenaan yang kini berada di Malaysia sedang berunding dengan beberapa peguam berhubung tindakan majalah Closer versi Perancis itu.

Mereka menyifatkan perbuatan majalah itu sebagai pencerobohan privasi yang melampau.

Gambar eksklusif itu menunjukkan Catherine, 30, memakai seluar dalam manakala William menyapu krim matahari pada belakang badannya ketika isterinya sedang berbaring.

"Pasangan diraja berkenaan amat sedih dan marah kerana satu penerbitan Perancis dan seorang jurugambar menceroboh privasi mereka secara melampau dan tanpa sebarang justifikasi," kata kenyataan Istana St James.

"Insiden itu mengimbau kembali perbuatan melampau media cetak dan jurugambar paparazi semasa Diana masih hidup," tambah kenyataan tersebut.

Foto separuh bogel Middleton itu yang dirakamkan dari jauh disiarkan oleh majalah berkenaan semalam.

Penerbitan tersebut mendakwa gambar itu dirakamkan di atas sebuah rumah rehat di selatan Perancis semasa Middleton dan William bercuti pada bulan ini.

Penyiaran gambar kontroversi itu merupakan cabaran getir pertama yang dicetuskan oleh media cetak terhadap pasangan diraja itu selepas Diana mati dalam satu kemalangan kereta di Paris ketika beliau dikejar beberapa paparazi.

Gambar itu disiarkan selepas portal hiburan dan akhbar The Sun di Britain menyiarkan gambar bogel adik William, Putera Harry baru-baru ini.

Harry berbogel dengan seorang wanita semasa mereka berada di dalam sebuah bilik hotel di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Sementara itu, William semalam mengaku bahawa beliau bukan peminat durian selepas merasa raja buah itu semasa lawatan beliau ke Malaysia.

William dan isterinya dihidangkan dengan buah durian semasa menghadiri majlis makan tengah hari bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak setibanya pasangan itu di Malaysia untuk lawatan tiga hari kelmarin.

Namun, semasa menghadiri satu lagi majlis makan tengah hari bersama sejumlah eksekutif perniagaan di ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur semalam, bakal Raja Britain itu memberitahu: "Saya cuma mahu menyatakan betapa sedapnya makan tengah hari ini dan saya gembira kerana durian tidak terkandung dalam menu kali ini."

"Selepas merasa buah ini (durian) semalam, saya bimbang akan keselamatan mereka yang saya temui selepas itu," katanya.

Ucapan lucu William disambut dengan gelak ketawa para hadirin yang terdiri daripada lebih 1,000 ahli perniagaan.

Durian popular di Malaysia dan beberapa negara jirannya kerana rasa buah berkenaan yang lazat dan unik.

Namun, ramai tidak tahan dengan bau buah itu.

William dan Kate sedang dalam rangka lawatan ke seluruh dunia pada tahun ini bagi meraikan pemerintahan 60 tahun nendanya, Ratu Elizabeth II.

sumber- Agensi

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...