KUALA LUMPUR - Seorang pesara berumur 72 tahun mati ditembak dari jarak dekat dalam kereta oleh seorang lelaki tidak dikenali, yang memakai topeng di Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini, hari ini.
Mangsa, Foong Yen Chong, ketika kejadian, kira-kira jam 9.10 pagi itu, baru keluar dari rumahnya di Jalan Desa Permai dan menaiki kereta jenis Perodua Myvi, bersama isteri dan pembantu rumahnya.
Ketua Polis Daerah Brickfileds, ACP Wan Bari Wan Abdul Khalid, berkata, sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna silver telah menghalang kereta mangsa sebelum melepaskan lima das tembakan yang salah satunya mengenai bahagian bawah telinga kanan mangsa.
Akibat daripada tembakan itu, mangsa yang merupakan pesara syarikat insurans mati di tempat kejadian
Anggota polis menjalankan siasatan di tempat kejadian pesara berusia 72 tahun ditembak mati. |
Menurutnya, suspek dipercayai telah menunggu dan memerhatikan mangsa sebelum bertindak demikian.
"Mangsa ditembak dari jarak dekat iaitu bersebelahan kereta mangsa. Isteri mangsa mengalami cedera, luka di bahagian kening setelah terkena serpihan kaca dan kini sedang menerima rawatan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, jiran mangsa yang enggan namanya disiarkan, dipetik Bernama berkata, dia terdengar bunyi tembakan dan sebaik keluar rumah dia melihat kereta jirannya itu telah terbabas.
"Saya dengar bunyi tembakan dalam empat atau lima kali... saya keluar rumah tengok kereta mangsa sudah terbabas di tepi," katanya dan menurutnya mangsa sekeluarga telah menetap di rumah itu lebih 20 tahun.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment