JEMPOL - Pertengkaran mulut antara dua sahabat baik di sini, berakhir dengan tragedi apabila seorang daripadanya maut akibat ditusuk besi pengangkat buah sawit di ladang Felda Bukit Rokan Utara, Rompin sekitar jam 12 tengah hari, semalam.
Ketua polis daerah, Superintendan Hamzah Alias berkata, ketika kejadian, suspek berumur 40 tahun yang juga pekerja ladang bersama mangsa, Mohfiz Ali, 39, dan dua lagi pekerja lain mengangkat tandan kelapa sawit untuk dimasukkan ke dalam lori.
Kawasan ladang yang menjadi tempat pentengkaran dua sahabat baik itu. Gambar kecil: Mangsa parah di bahagian muka. |
Menurutnya, namun ketika mangsa sedang leka mengangkat tandan kelapa sawit, tiba-tiba ianya terjatuh lalu mengenai suspek yang berada di sebelahnya.
“Kemudian, berlaku pertengkaran mulut antara mereka apabila suspek berang dengan insiden itu.
“Dua lagi rakan sekerjanya bertindak melarikan diri apabila menyedari perkara itu sebelum memaklumkannya kepada majikan mereka,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.
Hamzah berkata, kemudian suspek bertindak memukul mangsa sebelum mengambil besi pengangkat sawit dan menusuk muka rakannya itu.
“Selepas itu, suspek pulang ke rumah dan menceritakan hal berkenaan kepada rakan majikannya.
"Kemudian rakan majikannya itu membawa suspek ke Pondok Polis Felda Bukit Rokan Utara untuk serah diri," katanya.
Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 302 kanun keseksaan.
Sinar Harian difahamkan, dua rakan baik terbabit sudah berada di negara ini hampir enam tahun. Namun baru tiga tahun bekerja dekat ladang berkenaan.
Mangsa juga dipercayai akan pulang ke kampungnya, Jessore, Bangladesh hujung Disember ini atau Januari depan untuk berjumpa keluarganya.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment