Monday, December 3, 2012

Derya Sert tetap mahu jadi ibu

LONDON  - Wanita pertama di dunia yang berjaya menjalani pembedahan pemindahan rahim, Derya Sert bakal menjalani pembedahan persenyawaan tabung uji (IVF) bagi meneruskan hasratnya untuk mendapatkan anak.

Derya Sert
Derya Sert ketika menjalani rawatan selepas pembedahan pemindahan rahim pada Ogos tahun lalu. - AGENSI
Namun, beberapa pakar kesihatan Britain memberi amaran, wanita dari Turki itu berdepan risiko kehilangan nyawa, sekiranya meneruskan hasratnya itu untuk menjadi seorang ibu.

Menurut pakar, Derya berpotensi menghadapi komplikasi yang boleh membawa maut jika mengandung dan terpaksa melahirkan anak melalui pembedahan.

Ogos tahun lalu, wanita berusia 22 tahun itu menjalani pembedahan rahim yang dilakukan oleh pakar bedah Turki, Prof. Omer Ozkan.

Minggu lalu, pula Omer mengumumkan pada sidang media bahawa Derya akan menjalani ujian IVF di sini anjuran Imperial College London, yang bersedia memberi rawatan yang sama dalam tempoh dua tahun kepada beribu-ribu wanita Britain.

Omer berkata, tiga lagi wanita telah bersetuju menjalani pembedahan pemindahan rahim di kliniknya.

"Proses IVF akan menentukan sama ada rahim baharu Derya mampu berfungsi dengan baik atau tidak dan ia akan mengambil masa selama tiga bulan.

"Keadaan kesihatan Derya ketika ini sangat baik dan kami sentiasa memastikan pesakit memberi maklum balas kepada kami pada setiap masa," jelasnya.

Kira-kira 15,000 wanita Britain dilahirkan tanpa rahim atau telah membuang rahim mereka akibat penyakit kanser atau masalah kesihatan yang lain.

Wanita yang kehilangan rahim mereka akibat kanser memerlukan masa sekurang-kurangnya lima tahun untuk bebas sepenuhnya daripada penyakit tersebut sebelum boleh menjalani pembedahan pemindahan rahim.

Namun, pakar kesihatan mengkritik pembedahan berkenaan yang didakwa tidak selamat dan boleh membawa maut dengan risiko penolakan rahim baharu dan kesan sampingan daripada pengambilan ubat semasa hamil. 

sumber- AGENSI

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...