Monday, December 3, 2012

Ubi keledek gergasi

PASIR GUDANG – Seorang penduduk terkejut sebaik melihat ubi keledek yang ditanam di Kampung Desa Pingitan Sungai Penderang Kong Kong, di sini, mengeluarkan hasil bersaiz luar biasa.

Mohd Barijan Jurimi, 65, berkata, pada mulanya ubi keledek yang mula timbul di permukaan tanah selepas ditanam sekitar lima hingga enam bulan lepas disangka cendawan tanah.

Bagaimanapun selepas digali, ternyata ubi keledek yang ditanam bersama ubi kayu itu bersaiz gergasi.

ubi keledek
Mohd Barijan (dua, kiri) bersama rakan-rakannya menunjukkan ubi keledek gergasi yang ditemuinya.
“Saya tanam ubi keledek ini bersama ubi kayu untuk dimakan, bukan untuk dijual, tapi telah dirosakkan oleh sekumpulan babi hutan sehingga menampakkan ubi keledek yang terkeluar di permukaan tanah.

“Pada mulanya saya sangkakan cendawan tanah, tapi terkejut sebaik digali ia adalah ubi keledek yang bersaiz gergasi. Saiznya sangat besar daripada ubi keledek biasa,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohd Barijan berkata, ubi keledek seberat 14 kilogram itu telah menarik perhatian penduduk kampung dan rakan-rakannya yang baru pertama kali melihat ubi keledek bersaiz sebegitu.

Disebabkan keunikan itu, dia tidak berhasrat untuk menjual atau memasak ubi keledek itu, sebaliknya akan disimpan dan dipamerkan untuk tontonan orang ramai.

“Sepanjang hidup saya tidak pernah melihat ubi keledek sebesar ini. Biasanya paling besar pun bersaiz tujuh hingga lapan kilogram sahaja.

“Buat sementara ini, saya akan simpan ubi keledek ini selagi masih ada yang ingin melihatnya secara dekat dan tidak berniat menjualnya,” katanya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...