Monday, December 3, 2012

Nekad langgar polis kerana susu tepung

PUCHONG – Sekumpulan lelaki yang dipercayai mendalangi satu sindiket mencuri susu tepung bayi di sebuah pasar raya dalam pusat beli-belah terkenal di sini dikatakan bergiat aktif sejak beberapa bulan lalu.

Terbaru, sindiket itu dikatakan membawa lari beberapa tin susu tepung dari pasar raya itu.

curi susu tepung
Papan tanda dilanggar kenderaan dinaiki geng curi susu tepung dan gambar suspek yang berjaya dirakam melalui CCTV di pusat beli-belah terkenal baru-baru ini
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang kelmarin, pihaknya menerima maklumat daripada Bahagian Keselamatan pasar raya berkenaan memaklumkan mengenai kejadian itu.

Menurutnya, empat lelaki dikenal pasti suspek sindiket geng curi susu tepung masuk ke dalam pasar raya dan tindak tanduk mencurigakan disedari pihak keselamatan yang mengekori mereka.

Abd Razak berkata, pihak keselamatan kemudian menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

Jelasnya, ketika anggota polis tiba di lokasi kejadian, kumpulan suspek itu dikatakan dalam pergerakan keluar dari kawasan pasar raya menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa.

“Bimbang diberkas, suspek kemudian memecut laju kenderaan menghala keluar dari kawasan pusat beli-belah dan melanggar besi palang serta tiang papan tanda di tepi jalan,” katanya.

Kata Abd Razak, dua anggota polis yang berada di laluan keluar dilanggar kenderaan suspek menyebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan kecil.

“Usaha mengesan suspek masih dijalankan dan kita meminta orang awam yang menpunyai maklumat boleh menghubungi  Balai Polis Puchong Jaya di talian 0380762222,” katanya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...