Wednesday, October 10, 2012

Lelong motor curi di facebook

Lelong motor curi di facebook

JOHOR BAHRU: Satu sindiket curi motosikal dianggotai empat lelaki menggunakan laman sosial facebook (fb) untuk mempromosi dan menjual motosikal serta komponennya ke seluruh negara sejak Februari lalu.

Dengan menggunakan nama Man LC Company di fb, sindiket terbabit sudah mengaut keuntungan mencecah RM63,000 sejak beroperasi.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket terbabit yang dianggotai individu berusia 22 dan 25 tahun itu berakhir pada jam 6 petang, 3 Oktober lalu, apabila sebuah rumah yang dijadikan bengkel meleraikan komponen dan menyimpan motosikal curi berkenaan di Taman Murni, Kluang, diserbu polis.

Mendedahkan kegiatan sindiket terbabit, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata sindiket itu memaparkan gambar motosikal dan komponen untuk dijual pada laman FB berkenaan.

“Sindiket terbabit hanya menyasarkan motosikal Yamaha LC untuk dicuri dan dijual. Harga yang ditawarkan pula lebih 50 peratus murah berbanding harga asal iaitu kira-kira RM7,500.

“Pada masa sama, ahli sindiket itu turut memaparkan nombor telefon untuk dihubungi individu berminat,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, semalam.

Menurut Mokhtar, selepas selesai berbincang, pelanggan yang bersetuju dengan harga ditawarkan diminta memasukkan bayaran ke dalam akaun milik anggota sindiket terbabit.

Mokhtar berkata, motosikal atau komponen yang sudah dibayar kemudiannya dihantar kepada pelanggan dengan menggunakan perkhidmatan bungkusan berdaftar.

“Seorang daripada ahli sindiket bekerja sebagai mekanik dan menggunakan kepakaran itu untuk meleraikan komponen motosikal dicuri. Tiga lagi anggotanya bertugas sepenuh masa untuk mencuri motosikal,” katanya.

sumber- HMetro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...