Monday, August 27, 2012

11 kematian pelakon ketika penggambaran

Kematian tidak mengenal masa dan bila-bila masa saja nyawa seseorang boleh ditarik. Bagi para pelakon ini pula, sama ada kemalangan di set penggambaran atau di luar, mereka tidak sempat menghabiskan filem mereka sebelum ajal menjemput.

kematian pelakon ketika penggambaran
Bruce Lee & "Enter The Dragon"
Ketika dia berada di Hong Kong untuk melakukan kerja alih suara untuk filem "Enter The Dragon" pada tahun 1973, Bruce Lee telah dimasukkan ke Hospital Baptist Hong Kong kerana pengsan di dalam bilik air. Doktor mengesahkan Lee meninggal dunia akibat edema serebrum dan tidak sempat menghabiskan proses alih suara.

kematian pelakon ketika penggambaran
Heath Ledger & "The Imaginarium Of Dr. Parnassus"
Ledger pernah menyatakan bahawa watak The Joker dalam "The Dark Knight" menyebabkan dia sukar untuk tidur dan dia memerlukan bantuan pil preskripsi untuk mendapatkan rehat yang secukupnya. Dia mati dalam tidurnya di pangsapurinya di New York akibat pengambilan dos berlebihan ketika masih lagi dalam proses penggambaran filem "The Imaginarium of Dr. Parnassus", mayatnya ditemui oleh tukang kemas yang diupahnya. Demi menyiapkan filem yang tidak sempat disudahkan oleh Ledger, Terry Gilliam meminta bantuan tiga rakan karib Ledger, Johnny Depp, Jude Law dan Colin Farrell untuk menyudahkan filem tersebut.

kematian pelakon ketika penggambaran
Vic Morrow & "Twilight Zone: The Movie"
Vic Morrow dan dua orang pelakon kanak-kanak, Myca Dinh Le (7 tahun) dan Renee Shin-Yi Chen (6 tahun) maut dalam satu kemalangan membabitkan helikopter di set penggambaran. Insiden tersebut berlaku apabila helikopter yang digunakan terbang terlalu rendah dan tidak dapat mengelak letupan yang digunakan di set. Letupan tersebut memusnahkan rotor ekor helikopter tersebut, menyebabkan bilah kipasnya memenggal Morrow dan Le, sementara Chen pula maut apabila dihempap helikopter tersebut. Kemalangan tersebut menyebabkan perubahan pada undang-undang dalam pengambilan pelakon kanak-kanak di set penggambaran dan memutuskan persahabatan antara pengarahnya John Landis dan penerbit, Steven Spielberg.

kematian pelakon ketika penggambaran
John Candy & "Wagons East"
Pelakon komedi John Candy meninggal dunia pada malam yang sama dia menamatkan penggambaran untuk filem "Wagons East" pada tahun 1994 akibat serangan jantung. Selepas tamatnya sesi penggambaran, Candy pulang dan memasak untuk meraikan pengakhiran penggambaran buat para pembantunya, menghubungi para pelakon lain untuk mengucapkan tahniah dan terus masuk tidur. Itulah kali terakhir dia dilihat masih bernafas. Dia berusia 43 tahun ketika kematiannya.

kematian pelakon ketika penggambaran
Brandon Lee & "The Crow"
Seperti bapanya Bruce Lee, Brandon juga mengalami nasib yang sama apabila dia tidak sempat melihat filem lakonannya ditayangkan di pawagam. Pada tahun 1993, ketika sedang melakonkan satu babak filem "The Crow", Brandon Lee telah ditembak mati oleh Michael Massee yang tidak sedar ada peluru hidup di dalam pistolnya. Dia hanya mengikut skrip filem yang memerlukan dia menembak Lee selepas watak lakonan Lee yang bernama Eric Draven menyaksikan tunangnya diperkosa oleh beberapa orang samseng. Selepas kematiannya, pihak produksi menggunakan pelakon lagak ngeri Lee, Chad Stahelski untuk menamatkan filem ini.

 kematian pelakon ketika penggambaran
Natalie Wood & "Brainstorm"
Pada tahun 1981, Natalie Wood telah menerima tawaran untuk berlakon dalam filem "Brainstorm". Tiada siapa sangka pada 29 November tahun yang sama, dia akan mati lemas ketika pergi berlayar bersama suaminya Robert Wagner dan pelakon Christopher Walken. Laporan polis mengatakan, Wood telah menaiki kapal layar bersama suaminya dan Walken di pesisir luar California Selatan. Dia kemudiannya telah bergaduh dengan Wagner dan terjatuh dari kapal tersebut sejurus selepas itu. Wood tenggelam sebelum sempat diselamatkan. Selepas kematiannya, pihak penerbit "Brainstorm" mengalami masalah untuk mencari dana bagi menyiapkan filem tersebut. Malangnya, ia tidak mendapat sambutan hangat dari penonton. Ada spekulasi mengatakan Wagner dan Walken cuba menyembunyikan kebenaran di sebalik kematian Wood.

kematian pelakon ketika penggambaran
Marilyn Monroe & "Something's Got To Give"
Marilyn Monroe tidak sempat menamatkan penggambaran filemnya, "Something's Got to Give" bersama Dean Martin dan Cyd Charisse apabila dia menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1962 akibat pengambilan barbiturat yang berlebihan. Selepas kematiannya, filem tersebut tidak diteruskan. Pada tahun 2001, sebahagian filem itu dimasukkan ke dalam dokumentari bertajuk "Marilyn: The Final Days".

kematian pelakon ketika penggambaran
River Phoenix & "Dark Blood"
Abang sulung pelakon Joaquin Phoenix ini merupakan bintang muda yang sedang meningkat naik ketika dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dia tidak berjaya menamatkan filem "Dark Blood" yang sudah hampir selesai apabila dia maut akibat pengambilan kokain, morfin, marijuana, valium dan ubat demam yang berlebihan di sebuah kelab bernama The Viper Room pada tahun 1993. Dia berusia 23 tahun pada waktu kematian. Filem "Dark Blood" terpaksa dibatalkan akibat kejadian tersebut kerana masih ada beberapa babak penting yang perlu disiapkan Phoenix sebelum kematiannya. Malah ketika kematiannya, Phoenix telah ditawarkan watak dalam filem "Interview with the Vampire" yang akhirnya diambil alih oleh Christian Slater.

kematian pelakon ketika penggambaran
Oliver Reed & "Gladiator"
Dia memang terkenal dengan tabiat suka berparti dan suka bermabuk-mabuk. Jadi tiada siapa yang benar-benar terkejut apabila Reed dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung di sebuah bar di Malta selepas terlibat dalam perlawanan gusti lengan dengan beberapa orang tentera laut Diraja. Dia juga didapati telah meminum rum, wiski, bir dan cognac. Sekalipun kebanyakan babaknya telah pun disudahkan sebelum kematiannya, pengarah Ridley Scott terpaksa menambah bajet sebanyak 3 juta dolar demi menghasilkan semula wajah Reed untuk beberapa babak yang masih berbaki. Kemenangan "Gladiator" dalam Anugerah Academy menjadikan filem ini filem terulung dalam sejarah kerjaya Reed. Malangnya dia tidak ada untuk melihatnya.

kematian pelakon ketika penggambaran
Bela Lugosi & "Plan 9 From Outer Space"
Dia sangat terkenal di negara asalnya Hungary. Namun apabila Bela Lugosi berhijrah ke Amerika untuk menaikkan popularitinya, dia tidak berjaya melakukannya akibat seringkali dibayangi watak Count Dracula lakonannya. Dia diserang penyakit jantung pada tahun 1956 dan meninggal dunia ketika masih dalam proses penggambaran filem "Plan 9 From Outer Space". Namun begitu, pengarah filem ini, si aneh bernama Edward D. Wood tidak mengupah seseorang yang berwajah seiras dengan Lugosi untuk menyambung babaknya, tetapi mengupah kiropraktor Lugosi untuk mengambil alih tugas tersebut sedangkan lelaki itu tidak memiliki wajah seiras dengan Lugosi!

kematian pelakon ketika penggambaran
Roy Kinnear & "The Return Of The Musketeers"
Pelakon berkarakter British, Roy Kinnear meninggal dunia di Madrid, Sepanyol pada tahun 1988 pada usia 54 tahun. Tulang pelvis Kinnear patah akibat jatuh dari kuda yang ditunggangnya ketika sedang dalam penggambaran filem "The Return Of The Musketeers" dan dia telah dihantar ke hospital di Madrid. Malangnya Kinnear meninggal dunia keesokan harinya akibat serangan jantung. Keluarga Kinnear meminta siasatan rasmi dilakukan pada cara rawatan yang diberikan kepada Kinnear ketika dia berada di Sepanyol manakala pengarah filem tersebut, Richard Lester membuat keputusan untuk bersara dari dunia perfileman akibat kejadian tersebut.

sumber- Cinema Online

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...