Monday, August 27, 2012

Penganut Syiah Mati Dan Cedera Di Indonesia

Penganut Syiah Mati Dan Cedera Di Indonesia

JAKARTA - Polis Indonesia menahan tujuh orang yang didakwa terbabit dalam serangan terhadap penganut Syiah di daerah Sampang, Pulau Madura, Wilayah Jawa Timur, pada Ahad.

Dua penganut Syiah dilaporkan terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam insiden itu yang berlaku di sub-daerah Omben.

"Setakat ini, tujuh orang ditahan sebagai suspek. Hanya selepas itu dalangnya yang hanya dikenali dengan huruf awalan R, ditahan. Ada tiga orang lagi yang masih belum ditahan.

"Harap-harap, kami dapat menahan mereka secepat mungkin," kata Ketua Polis Negara Jeneral Timur Pradopo yang dipetik oleh agensi berita Indonesia, Antara di sini pada Isnin.

Timur berkata kerajaan mengambil tindakan perundangan yang tegas dan sewajarnya dalam usaha mengelak insiden itu daripada berulang.

"Polis menugaskan lebih ramai pegawai di Sampang dengan bantuan Tentera Nasional Indonesia (TNI). Sementara itu, proses perundangan sedang dilaksanakan," katanya.

Sejumlah pengikut Syiah melarikan diri dari kampung halaman mereka selepas kumpulan perusuh daripada fanatik Islam menyerang dan membakar rumah mereka di Nangkernang, kampung Karanggayam, sub-daerah Omben, Sampang.

Sementara itu, dalam kenyataannya kepada media pada Isnin, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengkritik pejabat risikan tempatan di Sampang kerana gagal menjangka insiden itu yang mengorbankan nyawa dua pengikut Syiah.

Presiden Indonesia itu berkata memandangkan insiden serupa pernah berlaku pada Disember 2011, maka serangan terbaru itu sepatutnya sudah dijangka.

Yudhoyono menggesa pihak berkuasa tempatan supaya membantu menyelesaikan masalah di Sampang buat selama-lamanya.

Ketika ini, kira-kira 50 pelarian -- terdiri daripada wanita dan kanak-kanak dari Omben -- ditempatkan di Dewan Sukan Wijaya Kusuma di Sampang selepas serangan pada Ahad.

Serangan terhadap penganut Syiah di Nanggernang, kampung Karanggayam, sub-daerah Omben, Sampang, ini adalah yang kedua sejak dua tahun lepas.

Pada Disember 2011, sebuah kumpulan anti-Syiah menyerang sebuah masjid Syiah, sebuah sekolah berasrama penuh Islam dan sebuah rumah kepunyaan seorang pemimpin Syiah tempatan.

Lebih 200 pengikut Syiah dipindahkan ke tempat lebih selamat, dan pasukan gabungan pegawai polis serta tentera ditubuhkan sebagai pengantara konflik itu.

sumber- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...