Dari kiri: Fadzry Tan, Abu Talib dan Baba bersama keratan akhbar mengenai kemalangan yang meragut nyawa anak mereka. |
MELAKA - Keluarga tiga mangsa kemalangan maut bas di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara - Selatan, berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah dua tahun lalu, masih mengharapkan pampasan setimpal berikutan kehilangan nyawa anak masing-masing dalam kejadian berkenaan.
Menurut mereka, pampasan RM10,000 sebagai ganti rugi kesedihan, selain RM3,000 untuk kos belanja pengebumian ditawarkan syarikat, ditolak kerana tidak setimpal dengan nyawa anak mereka.
Bapa kepada mangsa, Fadzry Tan Abdullah, 47, dari Taman Semabok Jaya berkata, kemalangan itu menyebabkan anaknya, Sharene Sofia, 18, yang dalam perjalanan menemui rakannya di Klang, Selangor, meninggal dunia.
“Saya bukannya mahukan sangat wang pampasan tetapi hanya keadilan kerana kemalangan itu menyebabkan saya hilang orang disayangi. Saya pernah temui Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam awal tahun ini bagi menyatakan masalah ini, tetapi masih buntu,” katanya.
Bagi Baba Ibrahim, 51, dari Jalan Pokok Mangga, dia reda dengan pemergian anaknya, Nurshapika, 19, tetapi berharap sekurang-kurangnya kejadian itu dapat pembelaan sewajarnya.
"Saya masih sedih dengan kehilangan anak kedua yang ketika itu menuntut di tahun akhir jurusan kejururawatan di sebuah institusi pengajian tinggi di negeri ini," katanya.
Kemalangan itu turut meragut nyawa rakan satu universiti yang juga menuntut dalam jurusan sama, Muhamad Farizuddin Abu Talib, 19, dari Balai Panjang.
Bapanya, Abu Talib Ali, 50, berkata, pampasan ditawarkan sebelum ini seolah-olah menunjukkan nyawa anaknya tidak bernilai.
Sementara itu, firma guaman dipertanggungjawab membuat tuntutan kes itu, T.G Koh, Nazarilah & Song ketika ditemui Sinar Harian menjelaskan, ketiga-tiga kes itu terikat di bawah Akta Undang-Undang Sivil 1956.
Menurut Perunding Guamannya, Koh Tiam Guan, dalam kes berkenaan, pihaknya dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Negeri Melaka untuk mengambil 11 tuntutan, di mana enam membabitkan kematian, manakala lima lagi membabitkan kecederaan.
"Kesemua kes telah menerima pampasan masing-masing berjumlah RM8,000 dan RM95,000 kecuali tiga kes ini.
“Di dalam akta berkenaan, mengikut Seksyen 7 (3D) mangsa yang terlibat tidak layak menerima pampasan berikutan masih belum bekerja dan tiada sebarang tanggungan," katanya.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment