Friday, July 27, 2012

JAIP gempur kaki ponteng puasa

Ahmad Raffli memeriksa pemberitahuan yang dilekatkan oleh pemilik premis pandu lalu yang mengandungi peringatan kepada pelanggan Islam
KUANTAN – Tiada rasa malu atau sebarang reaksi bersalah ditunjukkan seorang kaki ponteng puasa apabila dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) ketika sedang merokok di sebuah siber kafe, di pelabuhan di sini, semalam.

Ketika premis itu diserbu, lelaki berusia lingkungan 30-an berkenaan leka dengan permainan komputer sambil merokok sehingga tidak sedar kedatangan kakitangan Jaip yang sebelum itu membuat serbuan di sebuah kedai makan bersebelahan.

Terkejut dengan kehadiran anggota Jaip, lelaki berkenaan bertindak mencampakkan puntung rokok di bawah meja tetapi hanya tersengih-sengih apabila ditanya mengapa tidak berpuasa.

Manakala, serbuan di sebuah kedai makan bersebelahan siber kafe berkenaan menyaksikan sekumpulan lelaki bertempiaran lari bagi mengelak dicekup Jaip.

Sebaik sahaja kenderaan Jaip berhenti di hadapan premis, kaki ponteng puasa yang sedang menjamu selera atau mengambil makanan bertindak melarikan diri melalui pintu belakang.

Mereka tidak mempedulikan makanan di pinggan dan lari dengan keadaan tangan tidak dicuci serta meninggalkan kenderaan begitu sahaja.

Sebelum Jaip membuat serbuan, Sinar Harian turut melakukan tinjauan di sekitar kedai makan berkenaan dan didapati kenderaan tidak putus- putus berhenti di kedai makan itu dan selang beberapa ketika pelanggan yang beragama Islam keluar membawa bungkusan makanan.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, sebuah kedai makan milik peniaga India di Pelabuhan menjadi “port” bagi kalangan ponteng puasa membeli makanan.

Menurutnya, kedai berkenaan beroperasi pada awal pagi dan pelanggannya yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk orang Islam turut membeli makanan bermula awal pagi walaupun ketika bulan puasa.

“Kedai ini memang beroperasi seperti biasa memandangkan pelanggannya ramai bukan Islam tetapi bila tiba bulan puasa ramai pula orang Islam yang mengunjunginya.

“Dari awal pagi hinggalah jam 6.00 petang memang pelanggan tidak putus-putus datang dan memang ramai orang Islam keluar masuk ke kedai ini.

“Biasanya mereka tidak makan di situ tetapi hanya membeli makanan dalam bungkusan untuk di makan di tempat lain,”katanya.

Ops Pandu lalu

SELEPAS Pelabuhan, Jaip meneruskan misi memburu golongan ponteng puasa di restoran makanan segera di Teluk Cempedak.

Tiba sahaja di lokasi, kelihatan kereta bersusun panjang menunggu giliran untuk membeli makanan di kaunter perkhidmatan pandu lalu.

Apabila diperhatikan rata-rata pelanggan ialah orang Islam yang tanpa segan silu membeli makanan.

Alasan yang diberikan apabila di soal penguat kuasa Jaip, makanan yang dibeli adalah untuk anak dan isteri di rumah.

Dalam serbuan di kedai 24 jam pula, seorang lelaki yang sedang merokok dan membeli makanan turut dicekup.

Ketua Penguatkuasa Jaip, Ahmad Rafli Abd berkata, sebanyak sembilan premis perniagaan termasuk kedai makan, kedai 24 jam dan restoran makanan segera yang menggunakan perkhidmatan pandu lalu diserbu sempena operasi itu.

“Sebanyak empat kumpulan dipecahkan untuk membuat serbuan dan pemantauan secara berasingan di beberapa lokasi di Kuantan.

“Kita sebenarnya menerima banyak aduan mengenai kegiatan kaki ponteng dan anggota Jaip turun padang ke lokasi-lokasi dimaksudkan.

“Beberapa orang “kaki ponteng” berjaya ditangkap ketika serbuan di pelabuhan dan mereka telah diberikan notis untuk memberikan keterangan lanjut di Pejabat Jaip.

“Paling banyak aduan diterima ialah gejala kaki ponteng menggunakan perkhidmatan pandu lalu dan ketika operasi di salah sebuah restoran makanan segera dalam masa 45 minit terdapat kira-kira 20 kenderaan orang islam yang membeli makanan.

“Apa yang mencurigakan mereka membeli makanan seawal jam 12.00 tengahari tetapi untuk kali ini kita hanya memberi peringatan dan nasihat.

Kata beliau, kerjasama pemilik premis makanan segera yang menyediakan perkhidmatan pandu lalu juga amat penting bagi membanteras gejala ponteng puasa.

“Sesiapa yang menjual atau membeli untuk tujuan dimakan serta-merta, makan, minum atau menghisap atau bersubahat boleh dituduh dengan kesalahan tidak berpuasa di bulan Ramadan.

“Jika sabit kesalahan , pesalah boleh dikenakan denda RM500 atau 3 bulan penjara atau kedua-duanya iaitu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 137 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dalam bulan Ramadan,” katanya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...