Selamat Datang Ke blog-ketegaq.blogspot.com

Blog terbaik yang menyediakan pelbagai cerita dan artikel menarik dari seluruh dunia. Like kami di facebook tanda sokongan anda dan untuk mendapat update artikel terkini dari kami.

Isu Semasa

Artikel-artikel terkini mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Segalanya dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Pelik

Segala fakta dan artikel mengenai perkara-perkara yang pelik boleh diperolehi di sini. Semua artikel adalah berdasarkan sumber dan kesahihannya anda sendiri tentukan.

Herba Dan Botani

Artikel mengenai tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Alam Ghaib

Himpunan artikel mengenai alam ghaib yang sukar diperjelaskan dengan mata kasar. Admin mengalukan sumbangan artikel, gambar-gambar atau video untuk dikongsi bersama dalam blog ini.

Friday, August 31, 2012

Wanita rempuh mati 9 individu dipenjara

awek mabuk
Afriyani Susanti dalam bulatan
JAKARTA 30 Ogos - Seorang wanita, Afriyani Susanti, 29, yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan sembilan orang awam terbunuh awal tahun ini, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun.

Keputusan Hakim Mahkamah Negeri Jakarta menjatuhkan hukuman itu semalam, bagaimanapun mendapat tentangan daripada keluarga mangsa yang berpendapat tempoh itu terlalu ringan.

Semasa keputusan dibacakan Ketua Hakim, Antonius Widyatono, Afriyani disifatkan memandu dalam keadaan lalai sehingga menyebabkan sembilan orang terbunuh sementara tiga orang lagi mengalami kecederaan.

Ketika kejadian, Afriyani memandu di bawah pengaruh ubat terlarang dan dalam keadaan mabuk.

Selesai pembacaan keputusan itu juga, mahkamah kecoh apabila keluarga kesemua mangsa kecelakaan itu membantah hukuman yang dikenakan ke atas Afriyani.

Beberapa ahli keluarga mangsa kecelakaan jalan raya itu menjerit menyatakan rasa tidak puas hati ke arah Antonius.

Pada 22 Januari lalu, Afriyani merempuh 12 pejalan kaki di sekitar Tugu Tani, Jakarta Pusat selepas menghabiskan masa di sebuah kelab malam.

Kesemua sembilan mangsa yang menjadi korban nahas itu ialah Firmansyah, Buhari, Wawan Hermawan, Muhammad Huzaifah, Nur Alfih Fitriasih, Yusuf Sigit Prasetyo, Nani Riyanti, Suyatmi dan Akbar. 

sumber- Utusan

Ngeri! Kepala dipenggal sebelum dibakar

gambar paling ngeri
Anggota polis mengangkat mayat seorang lelaki yang dibunuh dan dibakar.
NIBONG TEBAL - Mayat lelaki dalam keadaan mengerikan dengan kepalanya terputus dipercayai dipenggal manakala kedua-dua kaki serta lengannya dikerat ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Parit Paya Kemian, Jalan Sungai Kechil di sini, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Nasir Salleh berkata, mayat lelaki yang turut dibakar itu dipercayai berusia lingkungan 30-an ditemui oleh orang awam pada jam 9.45 pagi semalam.

Beliau berkata, orang awam yang melalui kawasan berkenaan ternampak unggun api di tepi lorong ladang terbabit dan menghampirinya sebelum ternampak mayat yang telah dikerat itu.

"Lelaki itu dipercayai dibunuh dan mayatnya dikerat di tempat lain sebelum dibawa ke ladang yang terletak kira-kira 50 meter dari jalan besar untuk dilupuskan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Menurutnya, lelaki itu dibunuh dengan kejam apabila kepalanya dipenggal manakala kedua-dua kakinya dipotong dari aras lutut dan tangannya dikerat dari aras siku sebelum dibakar.

“Mayat yang telah dikerat itu dikumpul di dalam plastik hitam sebelum dibawa ke lorong itu dan kemudiannya dibakar,” katanya.

Mohd Nasir berkata, tiada pengenalan diri ditemui bersama mayat berkenaan kerana hampir keseluruhan badannya terbakar.

“Mayat itu dikenal pasti sebagai lelaki kerana kemaluannya tidak hangus dan dua jari mangsa juga tidak terbakar,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan oleh Pakar Patologi Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh mengesahkan lelaki itu meninggal dunia kira-kira tujuh jam sebelum ditemui.

Katanya, siasatan awal polis menemui tiga tin berisi bahan bakar yang dipercayai digunakan untuk membakar mayat mangsa berhampiran kawasan kejadian.

“Kita juga percaya lebih daripada seorang suspek terlibat dalam kejadian ini dan mereka membuat persiapan teliti untuk melupuskan mayat mangsa,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan atau balai polis berhampiran.

sumber- Sinar

Ladang sarang dadah diserbu

Ladang sarang dadah diserbu
Antara penagih dadah yang berjaya ditahan.
MERBAU PULAS - Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim diketuai Inspektor Mohd Amin Mat Yassin, menahan lebih 10 lelaki di sekitar kawasan ladang kelapa sawit di Bikan, di sini kerana terlibat dalam penagih dadah.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, operasi bermula kira-kira jam 12 tengah hari  dan berakhir jam 3 petang.

Menurutnya, selain ladang kelapa sawit, penagih dadah turut menjadikan rumah tinggal serta pondok bua-tan sendiri sebagai tempat menghisap dadah.

Polis merampas sembilan motosikal digunakan oleh suspek sepanjang operasi dijalankan.

“Polis membuat serbuan ini setelah membuat pemantauan di kawasan itu seminggu lalu. Serbuan akan diteruskan untuk memastikan permasalahan ketagihan dadah sebegini dapat dibanteras.

Ladang sarang dadah diserbu
Anggota polis mengangkat motosikal yang ditinggalkan penagih dadah ketika melarikan diri.
"Daripada tangkapan dibuat, didapati kesemua mereka terlibat berusia antara 20 hingga 50 tahun. Lebih mengecewakan ada kalangan penagih membawa anak mereka yang masih kecil masuk ke tempat menghisap dadah untuk mengaburi pandangan polis,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan mendapati ada kalangan penagih bermotosikal yang cuba merempuh anggota polis semata-mata untuk melarikan diri daripada ditahan.

Kesemua suspek yang ditahan dibawa ke IPD Kulim untuk menjalani ujian saringan air kencing dan kesemua mereka didapati positif dadah.

Difahamkan suspek akan ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983.

Ghuzlan berkata, kerjasama orang ramai memberikan maklumat tentang perlakuan penagihan dadah di kawasan mereka sangat digalakkan.
Menurutnya, dengan cara itu jumlah penagihan dadah dapat dikurangkan.

"Operasi pencegahan akan diteruskan dari masa ke semasa dan polis turut memantau pergerakan pengedar dadah yang aktif di kawasan ini sebelum membuat serbuan," katanya.

sumber- Sinar

Mak nyah cabar JHEAINS

pondan melayu
Rakan kepada mak nyah terbabit memegang sepanduk di luar Mahkamah Tinggi Seremban, semalam.
SEREMBAN – Keputusan empat mak nyah yang sebelum ini mendapat kebenaran mahkamah untuk mencabar perintah undang-undang Syariah yang menghalang mereka berpakaian seperti wanita, akan diketahui 11 Oktober depan.

Dalam prosiding mendengar permohonan semakan kehakiman yang berlangsung semalam, Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad berkata, pihaknya akan meneliti kes tersebut dengan mendalam sebelum membuat sebarang keputusan.

Mereka, Muhamad Juzaili Mohd Khamis, 24, Shukor Jani, 25, Wan Fairol Wan Ismail, 27, dan Adam Shazrul Mohd Yusoff, 25, yang bekerja sebagai juruandam menamakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Pengarahnya, Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah, Ketua Pendakwa Raya Syariah dan Kerajaan Negeri sebagai responden.

Terdahulu, empat lelaki itu meminta Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 tidak mempunyai kesan dan tidak terpakai, kepada mereka yang secara psikologi adalah wanita atau mempunyai kecelaruan identiti jantina.

Mereka juga mendakwa seksyen itu juga melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, berhubung hak kebebasan terutama dari segi kebebasan memilih.

Menurut peguam pemohon, Aston Paiva, keempat-empat anak guamnya itu mempunyai laporan perubatan dari Hospital Kuala Lumpur yang mengesahkan bahawa mereka ini secara psikologi mempunyai sifat kewanitaan lebih berbanding lelaki.

Responden diwakili Peguam Datuk Ishak Sahari dan Mohd Fairuz Iskandar.

sumber- Sinar

Banjir minyak, lori terbalik

Banjir minyak, lori terbalik
Tumpahan minyak enjin yang memenuhi dua lorong termasuk lorong kecemasan
BUKIT TAGAR - Tiga kelindan cedera di muka, tangan dan kaki setelah lori muatan minyak enjin dinaiki terbabas dan terbalik merentangi jalan di Kilometer 420.1 Lebuhraya Utara Selatan arah Ipoh sebelum susur keluar Plaza Tol Bukit Tagar di sini.

Salah seorang mangsa, A Selvam, 22, berkata, ketika kejadian lori dipandu abangnya, A Logeswaran, 32, dalam perjalanan ke Pulau Pinang sebelum terbabas di laluan berkenaan kira-kira jam 5.07 petang, semalam.

“Kami dalam perjalanan ke balik Pulau Pinang selepas ambil muatan minyak enjin.

“Ketika sampai di laluan itu, spring penyerap hentakan patah dan abang saya gagal mengawal lori lalu terbabas dan terbalik,” katanya yang cedera di kaki kanan.

Menurutnya, lori mereka terbalik sehingga menghalang dua lorong lebuhraya manakala muatan minyak enjin berterabur dan tumpah di atas jalan.

"Dua lagi kelindan, M Barathan, 19, cedera di muka dan dua belah tangan sementara seorang lagi, D Suresh, 28, turut cedera di dua belah tangan.

"Bagaimanapun, abang saya tidak mengalami sebarang kecederaan dan terus membuat laporan di balai polis berhampiran," katanya.

Sementara itu, Selvam berkata, dalam menahan kesakitan dan masih terkejut dengan kejadian itu, ada di kalangan pengguna jalan raya mengambil kesempatan mencuri muatan minyak enjin yang berterabur."Kami rasa teraniaya, sudahlah ditimpa kemalangan, orang lain pula sibuk mencuri muatan menyebabkan kerugian yang lebih besar.

“Kalau tolong bersihkan dan alihkan ke tepi jalan tidak mengapa, tapi tidak,  sebaliknya mereka mencurinya,” katanya sambil menerima bantuan pernafasan di dalam ambulan bersama dua kelindan lain.

Difahamkan, mereka yang tercedera dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Malim, Perak untuk menerima rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Slim River.

sumber- Sinar

Pencuri lembu yang 'dilembukan'

Dua lelaki yang dicekup ketika leka memasang perangkap menjerat lembu di kandang milik Kannan.
Dua lelaki yang dicekup ketika leka memasang perangkap menjerat lembu di kandang milik Kannan.
SEPANG – Perangkap sudah dipasang, dedak juga ditabur bagi menarik perhatian lembu masuk ke jerat mereka namun dua pencuri tidak sempat melarikan haiwan ternakan itu apabila mereka terlebih dahulu masuk dijerat pemilik ternakan itu, di Pulau Meranti Jaya, di sini lewat petang kelmarin.

Difahamkan, kedua-dua lelaki terbabit dikatakan menggunakan tali yang dipasang antara laluan kandang ke padang ragut untuk menjerat ternakan berkenaan.

Mereka dikatakan turut menggunakan alat suntikan pelali dan sumpit buatan sendiri diperbuat daripada batang paip PVC untuk menyuntik serta melemahkan lembu berkenaan dipercayai bagi memudahkan kerja mengangkutnya menggunakan lori.

Bagaimanapun, tindak-tanduk kedua-duanya yang diperhatikan pemilik ternakan itu dari jauh membawa padah apabila mereka berjaya dicekup.

Pemilik kandang, V Kannan, 43, berkata, tertekan apabila haiwan ternakannya pernah tiga kali dicuri sehingga mengakibatkan kerugian lebih RM70,000 sebelum ini, dia terpaksa membuat kawalan keselamatan bergilir-gilir bersama adik dan rakannya.

Jerat yang digunakan suspek untuk memerangkap lembu.
Jerat yang digunakan suspek untuk memerangkap lembu.
Katanya, kali terakhir 10 lembu miliknya hilang seminggu sebelum sambutan Hari Raya menyebabkan dia resah apabila kejadian mencuri ternakan berleluasa di kandangnya.

Kannan berkata, ketika membuat kawalan di kawasan kandang itu, petang kelmarin, dia terserempak dua lelaki dalam keadaan mencurigakan dengan seorangnya membawa tali manakala seorang lagi membawa guni berwarna putih.

Gerak-geri kedua-dua lelaki itu diperhatikan dari jauh dan Kannan terkejut melihat lelaki itu memasang tali, mengorek lubang dan menabur dedak dipercayai menarik lembu ke jerat mereka.

Dia yang bersembunyi di sebalik kawasan semak kemudian menghubungi beberapa rakan dan menceritakan kejadian berlaku.

“Kami kemudian memberkas lelaki itu dan bertanya apa yang dilakukan di kawasan kandang milik saya, mula-mula mereka tidak mahu mengaku mahu mencuri lembu.

“Namun apabila pemeriksaan dilakukan dan mendapati terdapat makanan lembu, alat suntikan dan juga tali mereka akhirnya mengaku pernah mencuri lima lembu saya sebelum ini,” katanya yang  turut menemui sebilah parang bersama lelaki terbabit.

Kannan berkata, sebelum ini tujuh lembu susu yang diternaknya di bawah jambatan Lebuhraya Elite pernah hilang namun pencurinya gagal dikesan.

Tidak sanggup berdepan kerugian lagi, Kannan berkata, dia memasang perangkap dengan mengawal kawasan kandangnya 24 jam sehari.

“Beberapa hari lalu, saya ada menemui tali biasanya digunakan untuk mengikat lembu di kawasan padang ragut dan percaya ada lagi lembu yang akan dicuri.

“Risikan yang dilakukan berhasil apabila berjaya mencekup si pencuri,” katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan di Balai Polis Putra Perdana, lewat malam kelmarin.

Kannan berkata, pihaknya menyerahkan kedua-dua lelaki bersama peralatan dan sebuah kereta Pajero yang dibawa lelaki itu kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

sumber- Sinar

Bayi malang ditinggalkan dicari waris

JKM cari waris bayi dijumpai di rumah kosong
JKM giat mencari waris bayi yang ditemui ini.
GEORGETOWN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Timur Laut sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada bayi berusia hampir dua bulan yang kini berada bawah jagaan mereka.

Bayi lelaki itu ditinggalkan di sebuah rumah kosong di Lorong Kulit dekat sini pada 12 Julai lalu dan dijumpai oleh seorang penggembala lembu di rumah lama tinggalan keluarganya beberapa tahun lalu.

Waris mahupun orang ramai yang mengenali bayi ini diminta menghubungi Pelindung Kanak-Kanak JKM Daerah Timur Laut, Rossilawati Aminuddin di talian 04-2264531 atau 04-2277413.

Difahamkan, bayi itu berada dalam jagaan JKM melalui perintah jagaan sementara mengikut Seksyen 25 (2) Akta Kanak-Kanak 2001 sebelum dikemukakan di Mahkamah Kanak-Kanak Georgetown bagi mendapatkan perintah tetap.

sumber- Sinar

Khasiat luar biasa Manjakani

khasiat manjakani

Kajian menunjukkan bahawa manjakani adalah kaya dengan tannin, asid tanik, antioksidan, vitamin (terutama vitamin A dan C), kalsium, besi, serat, protein dan karbohidrat. Selain itu ia juga mengandungi unsur-unsur seperti astringen, anti-microbial dan anti-radang. Kandungan taninnya yang tinggi menyebabkan manjakani digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional, terutama untuk penggunaan selepas bersalin bagi mengetatkan rahim dan otot vagina yang mungkin kendur ataupun longgar akibat proses bersalin. Kajian membuktikan bahawa unsur astringen dalam manjakani dapat membantu mengencangkan otot dinding vagina dan mengembalikan keanjalan.

Berikut adalah antara kegunaan manjakani dalam pengubatan:-
  • Awet Muda : Antioksidan dalam manjakani boleh melambatkan proses penuaan sel.
  • Pencegahan Kencing Manis : Asid galik boleh mencegah kencing manis dan lelah.
  • Pencegahan barah payudara dan rahim : Antioksidan dalam manjakani boleh mencegah barah buah dada dan barah rahim.
  • Pencegahan bau yang tidak diingini : Oleh kerana manjakani bersifat astringen, ia boleh membasmi bakteria dan kuman yang mengakibatkan bau yang tidak selesa pada faraj.
  • Merawat otot-otot di dalam faraj : Tannin yang terdapat di dalam manjakani mempunyai sifat menegangkan semula otot-otot dalam faraj dan menyebabkan faraj menjadi sempit semula.
  • Mengawal lendir dan lelehan faraj : Astringen juga mampu menyerap segala lendir dan lelehan pada faraj yang boleh menyebabkan bau yang tidak selesa.
  • Membersihkan lelehan haid dan nifas : Astringen juga mampu menyerap lebihan darah haid dan nifas.
  • Mengecutkan semula tisu-tisu : Astringen juga mengecutkan semula tisu-tisu di dalam faraj terutamanya selepas bersalin.
  • Menegangkan dan mencantikkan kulit : Astringen dalam manjakani boleh mencantikkan kulit dan mencegah jerawat.
  • Mata yang sihat : Astringen terbukti dapat memberikan penglihatan yang jelas kerana ia mengecutkan tisu-tisu pada mata.
  • Rawatan payudara : Oleh kerana manjakani mempunyai sifat-sifat menegangkan kembali otot-otot, maka amalan meminum minuman bermanjakani dapat memperbaiki payu dara yang telah hilang kekenyalannya.
  • Gigi dan tulang : Kalsium dalam manjakani boleh membantu menguatkan gigi dan tulang.
  • Mulut : Astringen dalam manjakani mengekalkan kebersihan mulut.
  • Kulit kering dan berminyak : Astringen juga dapat mengawal kulit kering dan berminyak.
  • Perawatan kronik ulser : Amalan meminum minuman manjakani juga boleh merawat kronik ulser.
  • Pelbagai khasiat makanan : Disebabkan manjakani mempunyai serat makanan ia dapat melawaskan pembuangan air besar. Vitamin dan zat galian serta karbohidrat dan protein boleh memupuk kesihatan.
Khasiat Manjakani 1.
Ramai wanita akan risau apabila melihat kulit mula mengendur. Mereka bimbang jika perhatian suami akan mula beralih arah. Antara cara untuk melambatkan masalah kulit kendur bukan sahaja di bahagian muka, tetapi juga seluruh badan ialah dengan menggunakan buah manjakani. Buah ini bukan sahaja baik untuk tujuan merapatkan otot vagina wanita tetapi juga berguna untuk petua kecantikan lain.

Cara:
Dapatkan buah manjakani dengan cara dibeli di pasar atau kedai-kedai perubatan tradistional. Rebus beberapa biji buah manjakani sehingga lembut. Anggaran cukup untuk kegunaan seluruh badan. Apabila sudah lembut dan bila dipicit, ia akan mengeluarkan lendir atau getahnya, lumurkan getah itu diseluruh muka, dan anggota badan lainnya seperti buah dada, perut, paha dan lengan. Biarkan sehingga kering. Kemudian bolehlah mandi. elok diamalkan setiap hari sama ada sebelah pagi sebelum mandi atau sebelah petang.

Khasiat Manjakani 2
Ini adalah tambahan petua bagi mengeratkan hubungan suami isteri, mengikut nasihat orang lama, biji majakani dimasukan ke dalam nasi yang sedang ditanak. Apabila nasi telah betul-betul masak, keluarkan biji tersebut, kupaskan kulitnya yang telah lembut, digentelkan dan ditelan. Buat selama tiga hari berturut-turut. Insyaallah anda akan merasakan perubahan yang ketara dalam hubungan suami isteri.

Khasiat Manjakani 3
Untuk ibu selepas bersalin. Semasa didalam pantang, biasanya manjakani direbus lama dalam air dan dibuang kulitnya. Selepas tu dikepal-kepal isinya kedalam nasi. Boleh juga masukkan ke dalam kapsul ubat. Airnya pula diminum sekali teguk sahaja. Untuk sapuan pada luka bersalin, manjakani kering diasah dan serbuknya disapu pada luka tersebut. Tetapi sila pastikan manjakani dan alatan yang digunakan bersih takut berlakunya jangkitan.

sumber- rubbertapperz

Dua beranak terjun 10 meter

HANGUS...bangunan yang dibina sekitar tahun 1940-an terbakar.
HANGUS...bangunan yang dibina sekitar tahun 1940-an terbakar.
KUALA LUMPUR: Dua beranak sempat terjun melalui tingkap setinggi 10 meter untuk menyelamatkan diri selepas kediaman mereka di bangunan tiga tingkat di Jalan Tun HS Lee, di sini, terbakar, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.50 petang itu, anak lelaki mangsa berusia 40-an terjun dahulu sebelum meminta bantuan orang ramai menyelamatkan ibunya berusia 60 tahun.

Saksi kejadian, Lee Kok Siang, 24, berkata, dia kebetulan melalui kawasan berkenaan untuk ke sebuah bank sebelum ternampak api dan asap tebal dari bangunan berkenaan.

“Saya nampak seorang wanita berusaha untuk terjun manakala beberapa orang lagi sedang meletakkan kusyen untuk dijadikan alas di bawah bagi membolehkan warga emas itu terjun dengan selamat,” katanya.

Katanya, sebaik kedua-dua mangsa diselamatkan, orang ramai menghubungi ambulans untuk menghantar mereka ke hospital.

CEDERA...keadaan mangsa selepas terjun dari tingkat dua.
CEDERA...keadaan mangsa selepas terjun dari tingkat dua.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.52 petang sebelum jentera pertama tiba sembilan minit kemudian.

“Ketika pasukan bomba dan penyelamat tiba, kedua-dua mangsa yang terperangkap sudah diselamatkan dengan bantuan orang ramai dan difahamkan mereka cedera ringan serta dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Katanya, api marak dengan pantas berikutan struktur bangunan tiga tingkat yang dibina sekitar 1940-an itu diperbuat daripada kayu dan papan yang mudah terbakar.

“Pasukan bomba mengambil masa setengah jam untuk mengawal api daripada merebak ke bangunan berhampiran dan api dipadamkan sepenuhnya jam 4.30 petang.

“Siasatan mendapati kebakaran bermula dari tingkat dua yang menempatkan kediaman mangsa,” katanya.

Katanya, punca sebenar kebakaran bangunan yang menempatkan kediaman, restoran dan kedai menjual cakera padat digital (VCD) itu masih disiasat dan kerugian dianggarkan mencecah RM3 juta.

Menurutnya, 10 jentera bomba dan penyelamat dari Balai Hang Tuah, Pudu, Chow Kit, Sentul dan Pantai dikejarkan ke tempat kejadian bersama bantuan bomba sukarela Bukit Bintang, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

sumber- HMetro

10 kawasan berhantu di White House

White House merupakan ikon Amerika Syarikat dimana ianya berfungsi sebagai kediaman rasmi serta pejabat untuk Presiden mereka. Terdapat pelbagai tinggalan sejarah oleh tokoh kenamaan terdahulu dan White House juga turut dikatakan berhantu serta penuh misteri. Berikut adalah merupakan kawasan-kawasan yang diklasifikasikan sebagai berhantu di White House.

10. LOTENG

kawasan berhantu di White House
Kisah William Henry Harrison terlalu misteri dimana beliau merupakan Presiden yang memegang tampok pemerintahan terpendek dan yang pertama meninggal di pejabat ekoran serangan pneumonia sebulan selepas menerima perlantikan. Ramai berpendapat bahawa roh Harrison masih berlegar di loteng White House dan mencari sesuatu yang tidak diketahui. Beberapa presiden selepasnya pernah terdengar bunyi yang tidak dapat diperjelaskan di atas loteng pejabat mereka.

Dari laporan, Harrison dikatakan tidak bersendirian. Seorang pengawal Truman-era mengatakan dia pernah terdengar suara berkata 'Saya David Burns' dari atas loteng pejabat Presiden. Pada tahun 1790, David Burns merupakan individu yang dipaksa menyerahkan tanahnya untuk pembinaan White House.

9. THE ROSE GARDEN

kawasan berhantu di White House
The Rose Garden adalah taman yang sering digunakan oleh Presiden untuk membuat pengumuman. Sebenarnya, tempat ini juga adalah cukup menyeramkan. Taman ini pada asalnya digubah oleh First Lady Dolley Madison ketika awal 1800an. Sekurun kemudian, apabila First Lady Ellen Wilson meminta agar tanah-tanah persekitaran taman ini digali, para pekerja melaporkan hantu Madison’s telah datang bagi menghalang mereka merosakkan tamannya. Sejak itu, mereka yang berada di White House sering menghidu haruman bunga mawar yang tidak dapat diterangkan dan ianya dikaitkan dengan hantu Madison.

8. BASEMENT

kawasan berhantu di White House
Ruang bawah tanah White House dikatakan terdapat sesuatu yang mengerikan. Tidak seperti tempat lain, White house dikatakan dihuni oleh roh sejarah Amerika.dan ruang bawah tanahnya menjadi tempat syaitan kucing. Terdapat cerita mengatakan pada mulanya ia menjelma sebagai kucing kecil dan apabila didekati, ia akan membesar menjadi raksasa bayangan. Berdasarkan lagenda, tiada siapa pernah melihat syaitan kucing tersebut tetapi apabila ia memunculkan diri, ia membawa malapetaka terhadap negara. Syaitan kucing pernah muncul sebelum kejatuhan pasaran saham pada tahun 1920an dan sebelum Presiden Kennedy dibunuh.

7. THE SECOND FLOOR HALLS

kawasan berhantu di White House
Tingkat dua White House merupakan kediaman rasmi keluarga Presiden. Terdapat terlalu banyak cerita yang dikeluarkan oleh Presiden serta keluarga mereka di kawasan ini. Salah satu cerita yang paling kerap dilaporkan ialah jelmaan hantu Presiden Abraham Lincoln dimana laluan di tingkat dua ini merupakan tempat kesukaan hantu tersebut. Lincoln sering dilihat dan didengari oleh penghuni di sini termasuklan First Lady Eleanor Roosevelt. Presiden Truman mendakwa beliau pernah terdengar bunyi tapak kasut melalui situ dan mengetuk pintu biliknya. Bukan Lincoln sahaja yang menghantui kawasan tersebut malah President William Howard Taft adalah orang pertama yang menyaksikan hantu First Lady Abigail Adams terbang menembusi pintu.

6. THE SECOND FLOOR BEDROOMS

kawasan berhantu di White House
Pelbagai bilik tidur di tingkat dua White House disediakan untuk keluarga Presiden dan tetamu lain. Sepasang suami isteri mendakwa pernah melihat hantu tentera British cuba membakar katil mereka. Ini dikaitkan dengan peristiwa sekumpulan tentera cuba membakar White House ketika Perang 1812. Selain itu, Lynda, anak kepada Presiden Lyndon B. Johnson mengatakan pernah terserempak dengan hantu anak kepada Lincoln iaitu Willie dimana beliau telah mati dalam bilik tersebut. Jeritan hantu yang dikaitkan dengan Isteri Presiden Grover Cleveland iaitu wanita pertama yang melahirkan bayi di White House turut kedengaran. Selepas dilakukan pengubahsuaian pada tahun 1952, perkara-perkara misteri tersebut mula berkurangan.

5. THE YELLOW OVAL ROOM

kawasan berhantu di White House
Ketika pemerintahan Lincoln, bilik ini merupakan perpustakaan peribadinya serta bilik kegemarannya di White House. Sebilangan pekerja White House mendakwa pernah melihat hantu Lincoln sedang merenung dari tingkap bilik tersebut. First Lady Grace Coolidge turut pernah melihat perkara yang sama. Ada yang mengatakan suara tanpa jasad David Burns datang dari bilik ini. First Lady Mary Todd Lincoln memberitahu bahawa beliau pernah terserempak dengan hantu President Thomas Jefferson dan Presiden John Tyler dalam bilik tersebut.

4. THE NORTH PORTICO

kawasan berhantu di White House
Pintu masuk White House dikatakan penuh dengan misteri kehadiran hantu. Hantu tentera British yang memegang obor pernah berdiri diluar pintu hadapan. Orang ramai pernah melihat jelmaan pengawal serta penjaga pintu yang telah lama meninggal dunia menjalankan tugas mereka. Antara hantu lain yang kerap muncul dikawasan ini ialah Anne Surratt, anak kepada Mary yang dihukum gantung pada tahun 1865 atas peranan besarnya membunuh Lincoln. Hantu Anne kelihatan bersedih dan merayu untuk ibunya dilepaskan. Hantu tersebut juga dilihat duduk di pintu hadapan setiap 7 Julai iaitu tarikh ulang tahun ibunya dijatuhi hukuman mati.

3. THE EAST ROOM

kawasan berhantu di White House
Bilik di sebelah timur ini dihantui oleh Abigail Adam. Sepanjang perkhidmatannya di White House, bilik ini menjadi tempat untuk dia menggantung basuhan. Dia sering kelihatan berjalan di laluan bilik ini dengan lengan yang senget seperti membawa raga pakaian dibasuh. Penampakan hantu ini berkurangan ketika pentadbiran Taft, tetapi pada tahun 2002 sekumpulan pelawat mendakwa terlihat Adam. Petanda kemunculan hantunya ialah terdapat bauan seperti sabun basuhan. Hantu Lincoln juga turut muncul disini kerana di bilik inilah beliau rebah ke bumi.

2. THE ROSE BEDROOM

kawasan berhantu di White House
The Rose Bedroom sering dikunjungi oleh bekas presiden Andrew Jackson. Sebilangan pekerja White House pernah melihat atau mendengar Jackson sedang ketawa dan marah. Mereka yang pernah menggunakan bilik ini mengatakan terasa dingin ketika berada di atas katil yang pernah digunakan oleh Jackson. Mary Todd Lincoln mengaku terdengar Jackson memarahi tukang jahit White House, Lilian Parks dan merasakan kehadirannya di situ. Sekali lagi Lincoln turut menjelma di sini. Apabila Queen Wilhelmina dari Belanda tinggal di bilik tidur ini, dia menjawab ketukan pintu pada lewat malam dan terkejut melihat hantu Lincoln berdiri disitu.

1. THE LINCOLN BEDROOM

kawasan berhantu di White House
Memandangkan kekerapan jelmaan Lincoln hampir di kesemua kawasan, tidak hairanlah jika bilik tidurnya juga turut berhantu. Winston Churchill seorang kenamaan menolak untuk tidur di bilik tersebut selepas bertembung kelibat hantu di alat pemanas. (Beliau dikatakan baru sahaja mandi dan bogel pada waktu tersebut). Maureen dan suaminya turut terjumpa Lincoln di tempat yang sama dilihat Churchill. Saksi mengatakan lampu adakalanya menyala sendiri dan terasa dingin hingga meremang.

Kemalangan bas rempuh kedai makan

Bas rempuh kedai makan, 10 pelajar nyaris maut
Sebuah Honda Civic yang berada di laluan sebelah kiri rosak teruk selepas dilanggar bas yang terbabas setelah hilang kawalan akibat mengalami masalah brek.
DUNGUN – Seramai 10 pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) yang sedang menikmati sarapan pagi ketika waktu rehat di sebuah kedai makan berdepan detik mencemaskan apabila secara tiba-tiba dirempuh sebuah bas yang terbabas di persimpangan lampu isyarat, dekat sini, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 11.25 pagi itu dipercayai berpunca apabila bas ekspres dalam perjalanan dari arah Kemaman menuju ke Dungun itu dikatakan menghadapi masalah brek.

Sebaik tiba di Kilometer 84.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di persimpangan lampu isyarat, hadapan PSMZA itu, bas berkenaan dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar sebuah kereta Honda Civic lalu merempuh sebuah Perodua Kembara yang berada di sebelah kiri.

Bas dinaiki 10 penumpang itu kemudiannya merempuh tiang konkrit sebuah kedai makan menyebabkan 10 pelajar PSMZA yang sedang bersarapan pagi di kaki lima hadapan kedai tersebut lari bertempiaran menyelamatkan diri.

Bagaimanapun empat daripada pelajar tersebut, Azizul Hakimi, 18; Muji Rahman, 18; Ainil Iqmal, 18; dan Shahrul Azwari, 18, cedera di beberapa bahagian badan dipercayai terkena serpihan kaca dan besi dalam usaha untuk menyelamatkan diri ketika dirempuh bas terbabit.

Bas rempuh kedai makan, 10 pelajar nyaris maut
Salah seorang mangsa kemalangan yang cedera sedang menghubungi ahli keluarga untuk memaklumkan kejadian menimpanya.
Pemandu kereta Honda Civic, Ahmad Qasimi Mohamed, 27 dan rakannya yang duduk di tempat duduk hadapan, Melcolm Wee, 25, berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui pintu sebelah kiri dan kedua-duanya dilaporkan cedera ringan.

Seramai 10 penumpang bas tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu bas, Zahari Muda, 39, dari Pengkalan Arang, Kuala Terengganu hanya cedera ringan.

Zahari kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Dungun manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Kereta Honda civic dan Perodua Kembara itu juga turut mengalami kerosakan selepas dihempap bumbung anjung kedai makan yang dirempuh bas ekspres berwarna kuning itu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan kes masih dalam siasatan pihaknya.

Lihat bas terbabas

"Ketika sedang menikmati sarapan pagi, tiba-tiba sebuah bas yang bergerak ke kiri dan kanan menghala ke arah kami lalu merempuh anjung kedai menyebabkan kami lari menyelamatkan diri.

"Kejadian berlaku sangat pantas, jika kami lambat beberapa saat kami pasti akan menjadi mangsa rempuhan bas itu,” kata Shahrul.

Shahrul bersama sembilan rakannya bagaimanapun bernasib baik hanya mengalami cedera ringan dalam usahanya menyelamatkan diri daripada dirempuh bas yang terbabas itu.

Menceritakan detik cemas itu Shahrul berkata, ketika itu dia baru sahaja tiba di kedai berkenaan untuk menikmati sarapan pagi bersama rakan sekuliahnya sebelum dikejutkan dengan rempuhan bas ekspres berkenaan.

“Jika saya dan rakan tidak melompat dan berlari keluar tentu kami semua akan cedera teruk,” kata Shahrul yang mengalami kecederaan pada bahagian lengan.

Ainil pula berkata, dia bersyukur kerana terselamat dalam kemalangan di hadapan PSMZA itu.

Katanya, dia sama sekali tidak menduga bas yang disangkanya akan berhenti di persimpangan lampu isyarat itu secara tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh kedai makan yang menjadi lokasi kegemarannya untuk menikmati sarapan setiap pagi itu.

“Yang pentingnya kami semua selamat walaupun mengalami luka kecil, kalau kena langgar bas yang besar itu, tak tahulah bagaimana nasib kami, mungkin dah kat hospital sekarang,” katanya.


Dengar bunyi brek dan dentuman kuat

Penumpang bas ekpres, Jamal Abdullah, 50, berkata, ketika kejadian, dia berada di tempat duduk paling hadapan di dalam bas tersebut.

Katanya, dia menyedari bas berkenaan tidak selamat selepas ia dalam keadaan tidak terkawal sebelum dikejutkan dengan rempuhan kuat ke arah kedai makan tersebut.

“Selepas rempuhan kuat itu saya berusaha menyelamatkan diri dengan keluar melalui pintu sebelah pemandu.

“Saya dan beberapa penumpang lain tidak cedera dan masing-masing bergegas keluar dari bas berkenaan,” katanya.

Seorang lagi penumpang, Sharifah Tuan Hussin, 42, berkata, dia menaiki bas tersebut untuk ke Kuala Terengganu.

Katanya, dia menyedari bas tersebut berlanggar setelah terdengar bunyi brek diikuti dengan dentuman kuat.

“Selepas berlakunya rempuhan itu, tanpa berfikir panjang saya terus keluar melalui pintu kecemasan di bahagian belakang bas.

“Bila turun saya dapati bas yang saya naiki telah merempuh sebuah kedai di tepi jalan, nasib yang lain saya belum pasti,” katanya yang juga seorang eksekutif pentadbiran.

sumber- Sinar

Duit raya warga emas dikebas

Duit raya warga emas dikebas
Kamariah menunjukkan beg duit yang menempatkan duit raya pemberian anak dan cucunya yang dilarikan dua lelaki, petang kelmarin.
LUBUK CHINA – Seorang warga emas tidak menyangka kunjungan dua lelaki berpakaian seragam seperti kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kediamannya adalah penyamun apabila wangnya dikesan hilang di Kampung Nerambai, dekat sini, petang kelmarin.

Warga emas berkenaan, Kamariah Derauh, 84, berkata, dia dikunjungi dua lelaki berkenaan kira-kira jam 3 petang dan tidak mengesyaki apa-apa memandangkan mereka telah menyamar sebagai kakitangan TNB serta mahu membaiki sistem pendawaian elektrik di kediamannya.

Menurutnya, dia kemudiannya membenarkan dua lelaki berkenaan memasuki kediamannya untuk melihat dengan lebih dekat meter elektrik yang terletak betul-betul di ruang tamu dan telah diminta untuk mengambil kad pengenalan sebagai rekod bagi tujuan baik pulih berkenaan.

“Selepas itu, salah seorang daripada lelaki berkenaan meminta mak cik menunjukkan meter elektrik, manakala seorang lagi memeriksa sistem pendawaian elektrik berhampiran tempat tidur yang turut menempatkan beg duit.

“Dua lelaki berkenaan membuat kerja dan pemeriksaan di rumah mak cik kira-kira setengah jam dan akhirnya meminta diri untuk pulang setelah selesai memeriksa sistem pendawaian elektrik,” katanya ketika ditemui di kediamannya, dekat sini, semalam.

Kamariah berkata, dia yang merasa tidak sedap hati mula memeriksa beg duit yang diletakkan di kabinet baju dan terkejut mendapati duit raya berjumlah RM450 telah hilang.

"Walaupun tidak diapa-apakan dua lelaki berkenaan, mak cik terkilan kerana duit raya pemberian anak dan cucu hilang begitu sahaja.

"Mak cik terus membuat laporan di Balai Bolis Kota berhubung kejadian," katanya. 

Walau bagaimanapun katanya, selepas menunaikan solat maghrib, dia memeriksa beg tangan yang diletakkan di atas katil yang tersimpan wang hasil jualan kelapa sawit berjumlah RM450 dan mendapati ia turut hilang.

"Selepas ini mak cik akan lebih berhati-hati memandangkan ini adalah kejadian kali kedua berlaku di mana kali pertama barangan kemas bernilai RM6,000 hilang selepas rumah makcik dipecah masuk beberapa tahun lalu," katanya.

sumber- Sinar

Pemandu 101 tahun langgar kanak-kanak

Pemandu 101 tahun langgar kanak-kanak
CARTER (tiga dari kanan) berbual dengan dua anggota polis di lokasi nahas apabila keretanya (kanan) merempuh sembilan kanak-kanak di luar sebuah sekolah di Los Angeles pada Rabu lalu.
LOS ANGELES - Sembilan orang kanak-kanak cedera empat daripada mereka parah apabila seorang pemandu lelaki berusia 101 tahun merempuh mereka di luar sebuah sekolah di sini, kata beberapa pegawai dan saksi.

Seorang jurucakap Jabatan Bomba Los Angeles, Erik Scott berkata, dua lagi orang dewasa turut cedera dalam nahas yang berlaku pada Rabu lalu.

Pemandu itu, Preston Carter berkata, dia hilang kawalan manakala brek keretanya gagal berfungsi.

"Saya minta maaf," katanya kepada seorang jurukamera stesen televisyen ABC7.

sumber- AFP

Geng Ah Chai tumpas

Ah Chai dan Mael Lambong, maharaja lawak 2012
ZAKARIA (tengah) menunjukkan parang dan barangan rampasan hasilpenangkapan ahli Geng Ah Chai di Sentul semalam.
KUALA LUMPUR – Sekumpulan penjenayah dikenali Geng Ah Chai yang aktif melakukan jenayah pecah rumah dan samun kenderaan sejak awal tahun ini tumpas dengan tertangkapnya tiga suspek di Damansara Damai dekat sini Selasa lalu.

Nama Geng Ah Chai tersebut diambil daripada gelaran salah seorang suspek yang dikenali sebagai Ah Chai.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, penangkapan bermula apabila polis mengesan salah seorang suspek berusia 26 tahun yang menggunakan kad kredit palsu untuk mengisi minyak di Damansara Damai pada pukul 12.30 tengah malam.

“Ekoran penangkapan lelaki itu, polis menahan pula dua lagi suspek iaitu seorang lelaki berusia 39 tahun dan teman wanita suspek pertama berusia 25 tahun setengah jam kemudian,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Zakaria berkata, polis kemudian menyerbu sebuah rumah didiami suspek di Damansara Damai dan menemui pelbagai peralatan untuk melakukan jenayah pecah rumah seperti parang panjang dan pengumpil pintu.

Beliau berkata, turut ditemui pelbagai barangan curi termasuk 30 keping kad kredit, pelbagai jenis kunci kereta, komputer riba, puluhan kad sim telefon dan barang kemas.

Jelas Zakaria, berdasarkan penemuan pelbagai jenis kunci kereta itu polis tidak menolak kemungkinan suspek juga giat melakukan jenayah mencuri kenderaan.

Katanya, hasil siasatan juga mendapati kesemua suspek dipercayai terlibat dalam 10 kes pecah rumah di sekitar Setiawangsa di sini sepanjang cuti Hari Raya Aidilfitri lalu.

Tambah beliau, dua suspek lelaki yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah serta pecah rumah dan mereka kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

sumber- Kosmo

Gunung berapi 140 juta tahun ditemui

Gunung berapi 140 juta tahun ditemui
GAMBAR yang disiarkan semalam menunjukkan tinggalan gunung berapi itu di Kepulauan Kwo Chai, Hong Kong.
HONG KONG - Sekumpulan ahli geologi Hong Kong semalam mendedahkan peta dan tinggalan gunung berapi gergasi yang meletus 140 juta tahun lalu.

Gunung berapi gergasi itu terletak di tenggara Hong Kong.

Diameter gunung tersebut ialah 18 kilometer dan ia dikenali sebagai Gunung Berapi Besar Pulau Tinggi.

Hakisan dan cuaca menyebabkan hanya sedikit tinggalan gunung itu dapat dilihat seperti di Kepulauan Kwo Chau.

Menurut agensi berita Bernama, Jabatan Pembangunan dan Kejuruteraan Sivil Hong Kong membuat pengumuman rasmi tentang penemuan itu semalam.

Seorang jurutera di jabatan itu, Denise Tang berkata, gunung tersebut pernah menghamburkan 1,000 kubik kilometer debu. 

sumber- Agensi

Thailand cipta rekod mengurut dunia

gadis urut
SEBAHAGIAN daripada 641 orang yang mengurut di pinggir Bangkok semalam.
BANGKOK - Seramai 641 tukang urut mengurut 641 orang secara serentak selama 12 minit di sini semalam sekali gus mencipta rekod baharu Guinness World Record.

Acara mengurut beramai-ramai itu dianjurkan Kementerian Kesihatan Awam Thailand bagi mempromosikan industri spa dan urut di negara ini.

Rekod lama dicatatkan di Australia pada tahun 2010 apabila 263 diurut serentak selama lima minit.

"Ia mudah kerana ini (mengurut) kami lakukan pada setiap hari untuk hidup," kata salah seorang tukang urut wanita, Chayanan Chanwuttisawan, 53, yang mengambil bahagian dalam acara tersebut.

"Saya tidak pernah menyangka kami mempunyai peluang untuk diiktiraf seperti ini," tambahnya.

Thailand memang terkenal sebagai 'ibu kota mengurut' di dunia.

Menteri Kesihatan, Wittaya Buranasiri berkata, dia mahu industri mengurut memberi lebih banyak pendapatan kepada negaranya. 

sumber- AP

Thursday, August 30, 2012

Bekas ketua balai dihukum penjara 9 bulan kerana kelucahan melampau

polis telanjang
gambar hiasan
KANGAR: Bekas ketua Balai Polis Arau, Sub-Inspektor Zaini Ahmad hari ini dikenakan hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap dua pemuda, lima tahun lalu. 

Hakim Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Zaini, 54, selepas membenarkan rayuan kali kedua oleh pihak pendakwaan. Bagaimanapun, Mohd Zaki mengarahkan hukuman itu berjalan serentak. 

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kangar membenarkan rayuan kali kedua pihak pendakwa terhadap keputusan Mahkamah Majistret Kangar yang membebaskan tertuduh pada 21 Oktober 2011. 

Kali pertama pihak pendakwaan membuat rayuan terhadap kes itu ialah selepas Mahkamah Majistret membebaskan tertuduh pada 2 Jun 2010 dan mengekalkan keputusannya selepas rayuan dibuat apabila membebaskan tertuduh pada 21 Oktober 2011. 

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun di sebuah pondok di tepi bangunan Balai Polis Arau antara jam 1 pagi dan 4.30 pagi 6 Januari 2007. 

Bagi pertuduhan kedua, Zaini didakwa melakukan kesalahan serupa dengan lelaki yang sama antara 4.30 pagi dan 5.30 pagi tarikh sama di dalam bilik maklumat, bangunan Balai Polis Arau. 
Bagi pertuduhan ketiga pula, dia didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap remaja lelaki berumur 18 tahun antara 11.30 pagi dan 3 petang di pejabat Ketua Polis Balai, Balai Polis Arau, pada tarikh yang sama. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry manakala tertuduh diwakili peguam K Mahendren. 

sumber- Bernama

9 remaja Israel serang penduduk Palestin didakwa

9 Israel serang penduduk Palestin didakwa
Sembilan remaja Israel termasuk lapan juvana didakwa kerana menyerang seorang remaja Palestin pada 17 Ogos lalu.
TEL AVIV - Sembilan remaja Israel termasuk lapan juvana didakwa, kelmarin selepas bertindak menyerang seorang remaja Palestin, Jamal Julani sehingga menyebabkan mangsa kritikal pada 17 Ogos lalu.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Keadilan, lapan daripada mereka akan dibicarakan di Mahkamah Baitulmaqdis atas tuduhan melakukan hasutan perkauman dan serangan ganas.

Manakala, suspek kesembilan iaitu seorang remaja perempuan akan dibicarakan di Mahkamah Majistret atas dakwaan melakukan hasutan perkauman dan keganasan .

Difahamkan, kesemua suspek dipercayai membuat kacau di Dataran Zion dan mengganggu pejalan kaki terutamanya penduduk Palestin yang melalui kawasan itu.  

Julani dan tiga saudaranya yang berada di kawasan tersebut turut dikejar oleh mereka sebelum dipukul sehingga cedera parah serta tidak sedarkan diri.

sumber- Sinar

Penumpang berpakaian seksi dilarang naik pesawat

awek melayu sexy

LAS VEGAS - Beberapa syarikat penerbangan Amerika Syarikat membuat peraturan baru iaitu melarang penumpang berpakaian seksi dan berunsur provokasi dari menaiki pesawat mereka.

“Penampilan penumpang memberi imej penting yang akan memberi reputasi baik kepada syarikat penerbangan,” kata Penasihat Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika (FAA) Kenneth Quinn.

Menurutnya, krew pesawat juga berhak untuk mengusir penumpang yang tidak mematuhi etika berpakaian ditetapkan.

"Kami pernah mengusir seorang remaja lelaki yang mengenakan t-shirt memparkan kata-kata lucah dan seluar londeh," katanya.

Minggu lalu, seorang wanita berang apabila dia bersama seorang lagi rakan dilarang menaiki pesawat Southwest Amerika kerana memakai pakaian yang menampakkan lurah buah dada.

sumber- Sinar

Gempar ratusan organ manusia ditemui dalam lokar

Gempar ratusan organ manusia ditemui dalam lokar

PENSACOLA - Hobi pelik seorang bekas pemeriksa kesihatan menyimpan koleksi organ dalaman manusia seperti otak, jantung dan paru-paru di dalam bekas makanan plastik akhirnya terbongkar, menurut pihak berkuasa di Florida, kelmarin.

Polis memaklumkan organ dalaman yang telah diawet dan dipercayai milik kira-kira 100 individu itu ditemui oleh seorang lelaki yang baru membeli lokar tersebut dalam satu sesi lelongan di Pensacola pada minggu lalu.

Pihak berkuasa turut menemui formaldehid, sejenis bahan kimia untuk tujuan pengawetan yang disimpan di dalam cawan minuman.

"Kami belum dapat memastikan tujuan utama individu itu menyimpan kesemua organ yang semakin mereput itu dan siasatan masih dijalankan," kata Pengarah Pejabat Pemeriksa Kesihatan, Jeff Martin.

sumber- Sinar

Lelaki didakwa jual ijazah palsu USM RM540

Lelaki didakwa jual ijazah palsu USM RM540
Lim Chuan Soon dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen.
GEOGETOWN - Seorang daripada tiga suspek yang ditahan pada hujung Jun lalu berhubung kes pemalsuan ijazah Universiti Sains Malaysia (USM), dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menjual ijazah palsu pada harga RM540.

Lim Chuan Soon, 26, bekas pemilik perniagaan permainan dalam talian mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Mengikut  pertuduhan, Chuan Soon itu didakwa menipu Tang Yong Peng, 23,  dengan mengambil RM540 sebagai bayaran bagi mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dari USM sedangkan sijil itu tidak sah laku.

Chuan Soon dari Taman Tokai Jaya,  Alor Setar, Kedah didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank, I- Avenue Bayan Baru, di sini  pada 25 Jun lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap Chuan Soon, kerana kes ini melibatkan kepentingan awam.

Chuan Soon yang tidak diwakili peguam memohon agar jumlah itu dikurangkan.

“Saya minta jaminan dikurangkan. Saya daripada keluarga miskin. Kedua ibu-bapa saya meninggal sejak saya kecil lagi. Disebabkan inisiden ini, saya kehilangan kerja, kawan-kawan dan saya tidak ada wang simpanan untuk membayar jaminan tinggi.

“Puan hakim, saya bertanggungjawab ke atas semua pertuduhan dihadapi di mahkamah. Saya bersumpah tidak akan melarikan diri daripada menghadiri prosiding mahkamah. Saya bersedia memberi sepenuh kerjasama sepanjang kes ini dibicarakan. Dengan ini, saya memohon wang jaminan dikurangkan," katanya.

Mengambil kira rayuan itu, Sitarun Nisa kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap Chuan Soon sementara menunggu sebutan semula kes pada 28 September ini.

Sementara itu, difahamkan  Chuan Soon menghadapi satu lagi kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk pertuduhan yang sama iaitu menipu Wan Noorhafiza Wan Hussin, 23, dengan mengambil RM14,500 sebagai bayaran mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perakaunan (Kepujian) USM sedangkan ia tidak sah laku.

sumber- Sinar

Mati dalam rumah tinggal

Mati dalam rumah tinggal
Mohd Azlan memeriksa mayat mangsa yang ditemui mati dalam rumah tinggal, semalam.
KULIM - Seorang lelaki warga emas ditemui mati dalam keadaan terlentang di dalam rumah tinggal di Kampung Kilang Sagu kira-kira jam 3 petang semalam.

Mangsa yang merupakan pengemis dipercayai tinggal di rumah itu sejak beberapa tahun lalu dan sering kelihatan di Pekan Kulim untuk meminta sedekah.

Ketua Balai Polis Kulim, Asisten Superintendan Mohd Azlan Abdul Kadir berkata, siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang penagih dadah.

Menurutnya, mangsa mempunyai waris tetapi mereka tidak mengendahkannya kerana tabiat buruk yang dilakukannya.

“Ketika mayat mangsa ditemui, ia masih baru dan saya percaya mangsa mati kira-kira dua jam sebelum mayatnya ditemui oleh orang ramai.

“Seorang kenalan mangsa ketika memberi kenyataan kepada polis berkata mangsa sering mengadu tidak sihat sejak beberapa minggu lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Azlan berkata, dari maklumat diperoleh, sehari sebelum kejadian, mangsa memberikan nombor telefon warisnya dan meminta kawannya itu menghubungi keluarganya sekiranya berlaku sesuatu terhadapnya.

Katanya, dari pemeriksaan dijalankan, tidak berlaku sebarang perlakuan jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa dan polis mengklasifikasikan mangsa sebagai mati mengejut.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

“Dari tinjauan dibuat mendapati kejadian ini merupakan kejadian kedua melibatkan pengemis dan saya meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membuat pemantauan dan menempatkan mereka terlibat di penempatan yang lebih baik untuk memastikan kesihatan serta kebajikan mereka lebih terjamin,” katanya.

sumber- Sinar

Dua 'Syaitan' didakwa bunuh kanak-kanak 4 tahun

gambar pembunuh kejam
(Gambar kiri) Parimala menutup mukanya diiringi di Mahkamah Majistret di sini, semalam (Gambar kanan) Kupertasan turut hadir atas dakwaan membunuh anak teman wanitanya.
IPOH - Seorang wanita mengandung lapan bulan bersama teman lelakinya dihadapkan di Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak berusia empat tahun di Kampung Tawas di sini, antara 7 hingga 14 Ogos lalu.

Tertuduh, T Parimala, 33, dari Kampung Tawas dan S Kupertasan, 27, dari Lunas, Kedah mengangguk faham selepas pertuduhan dalam bahasa Tamil dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Majistret Shamsol Azwa Martadza menetapkan 1 November ini sebagai sebut semula kes selepas mendapat laporan bedah siasat mangsa.

Mengikut pertuduhan kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama melakukan bunuh sehingga menyebabkan kematian J Pavitra, 4, di rumah bernombor 152, Lorong Tawas 9, Kampung Tawas, Ipoh.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut antara jam 8 malam 7 Ogos sehingga jam 5.20 petang 14 Ogos 2012.

Sehubungan itu, mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

Terdahulu, Kupertasan memohon supaya mahkamah membenarkannya untuk pindah dari Penjara Taiping ke Penjara Alor Setar memandangkan keluarganya berada di Kedah.

Namun, permohonan itu ditolak Shamsol Azwa dan mengekalkan Kupertasan ditempatkan di penjara yang sama manakala Parimala ditempatkan di Penjara Tapah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya K Kavitha manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, Pavitra maut akibat pendarahan di kepala dipercayai didera teman lelaki ibunya di sebuah bilik sewa di Kampung Tawas.

Kanak-kanak perempuan tersebut didapati meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik 1Malaysia kira-kira jam 5 petang 13 Ogos lalu.

Mereka berdua kemudiannya ditahan pada 15 Ogos lalu dan direman selama dua minggu sebelum didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

sumber- Sinar

Bayi dalam beg pakaian

Bayi dalam beg pakaian
Mohd Asrad Mohamad, 22, menunjukkan lokasi dan keadaan beg pakaian itu diletakkan sebelum bapanya menyedari terdapat seorang bayi perempuan cukup sifat berada di dalamnya.
KUALA TERENGGANU- Seorang peniaga surat khabar terperanjat besar apabila menemui seorang bayi perempuan di dalam sebuah beg pakaian berwarna biru yang ditinggalkan di depan kedainya di Jalan Sultan Omar, di sini, awal pagi semalam.

Mohamad Ibrahim, 56, dari Jalan Panji Alam, di sini, menemui bayi yang dipercayai sudah beberapa hari dilahirkan dalam beg pakaian semasa dia hendak membuka kedainya bersama seorang pekerja kira-kira jam enam pagi, semalam.

Menurutnya, pada awalnya dia menyangka beg pakaian yang diletakkan di hadapan pintu masuk kedainya itu, milik pelanggan yang tertinggal sebelum mengarahkan pekerjanya yang dikenal sebagai Lan, 28, mengalihkan beg berkenaan.

“Saya memang tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangkakan hanya beg pakaian biasa, milik pelanggan yang tertinggal, jadi saya menyuruh Lan letakkan beg itu di atas kerusi tempat menunggu bas yang hanya terletak bersebelahan kedai.

“Bagaimanapun, tidak sampai 15 minit, semasa sedang sibuk mengemas surat khabar untuk dijual, tiba-tiba kami terdengar suara tangisan bayi yang agak kuat menyebabkan kami tergamam seketika,” katanya ketika ditemui di kedainya, semalam.

Katanya, mereka berdua bergegas ke tempat itu dan terus membuka beg pakaian tersebut.

"Kami sangat terkejut  apabila ternampak seorang bayi perempuan yang dibaluti dengan tuala biru hanya hanya dipakaikan kain lampin di dalam beg itu.

“Saya kemudian meminta tolong seorang pelanggan yang secara kebetulan datang ke kedai untuk membeli surat khabar agar memaklumkan kepada pihak polis,” katanya.

Bapa kepada lima anak itu berkata, itu merupakan pengalaman pertama sepanjang 30 tahun dia berniaga surat khabar di situ, bagaimanapun bersyukur kerana bayi malang itu berjaya diselamatkan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, bayi perempuan yang cukup sifat itu dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, untuk mendapatkan rawatan susulan.

“Bayi itu kini ditahan di wad kanak-kanak dan dilaporkan dalam keadaan sihat. Bagaimanapun, sehingga kini, identiti bayi itu masih belum dikenal pasti tetapi kami percaya bayi itu mungkin sudah beberapa hari dilahirkan berdasarkan tali pusatnya sudah tercabut,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan individu bertanggungjawab ke atas bayi itu dan kerjasama daripada orang awam yang mengetahui atau ternampak kejadian berkenaan amat diperlukan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Kata Manoharan, kes berkenaan kini akan disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana buang bayi yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

sumber- Sinar

Empat permohonan suami pertikai jantina Sri Wani ditolak

Sri Wani Choo Abdullah
Sri Wani Choo Abdullah
KUALA LUMPUR - Usahawan Produk Kecantikan, yang menjadi perhatian media selepas jantinaya dipertikai suami, Sri Wani Choo Abdullah bersyukur dan gembira selepas Mahkamah Tinggi Syariah membatalkan kesemua empat permohonan yang difailkan suaminya, Professor Dr Baharom Sanugi di sini, semalam.

Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan membatalkan empat permohonan bekas Dekan sebuah Instutusi Pengajian Tinggi Awam itu termasuk permohonan faraq nikah (dipisahkan perkahwinan) dan perintah mahkamah agar Sri Wani menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selepas meragui jantina sebenar wanita terbabit.

Mahkamah turut menolak permohonan komital (pemenjaraan) dan perintah menegah Sri Wani daripada mengeluarkan kenyataan kepada pihak media yang difailkan oleh Bahrom sebelum ini.

Berikutan itu, mahkamah mengarahkan Baharom untuk membayar kos kepada plaintif sebnyak RM3,000 bagi setiap kes yang difailkan kerana telah membuang masa dan kos plaintif, yang perlu diselesaikan dalam tempoh satu bulan dari kes itu dibacakan.

Abdul Walid berkata, keputusan tersebut dibuat selepas meneliti afidavit permohonan yang difailkan Sri Wani yang memohon untuk menggantung semua prosiding mahkamah kerana Baharom bukan seorang permastautin tetap dalam Wilayah Persekutuan.

“Responden telah gagal memberikan bantahan dan menyerahkan affidavit kepada mahkamah walaupun mahkamah telah memberikan tempoh yang mencukupi kepada pihak responden,” katanya.

Abdul Walid berkata, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes yang difailkan pemohon, sekali gus membatalkan keempat-empat permohonan Baharom.

Hakim turut menolak apabila peguam Baharom cuba membantah keputusan berkenaan, dan meminta mereka membuat rayuan dalam tempoh 14 hari sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan itu sambil menyifatkan pihak responden tidak serius dalam kes berkenaan.

Sementara itu, Baharom yang diwakili peguam Muhammad Hafiz Ab Rashid terdahulu memberitahu mahkamah, alamat yang digunakan anak guamnya di Taman Datuk Senu sememangnya bukan bukan rumah miliknya, sebaliknya Baharom hanya menyewa salah sebuah bilik di rumah itu.

Pada 6 Julai lalu, Sri Wani memfailkan permohonan di Mahkamah tersebut untuk menggantung prosiding perbicaraan dan soal balas permohonan komital bekas Dekan Profesor Dr Baharom Sanugi terhadap isterinya, Sri Wani Choo Abdullah sehingga mendapat keputusan sama ada kuasa mahkamah mendengar kes pasangan itu atau sebaliknya.

Isu bidang kuasa mahkamah ditimbulkan Sri Wani pada prosiding sebelum ini kerana dia mendakwa suaminya menipu alamat penyampaian di Kuala Lumpur dalam semua dokumen kes itu, sedangkan alamat sebenar adalah di Batu Caves.

Baharom Sanugi, 61, mengesyaki Sri Wani  lelaki, telah memfailkan permohonan membatalkan perkahwinan  selepas setahun mengahwini isteri ketiganya itu,  seorang pengusaha produk kecantikan, yang memeluk Islam pada 2001.

Pasangan tersebut bernikah pada 19 Ogos 2009 di Songkhla, Thailand dan mendapatkan sijil nikah di Kedah.

Sementara itu, Sri Wani, yang ditemani peguam Boestamam Ahmad, ketika ditemui media menyatakan kesyukuran kepada ALLAH SWT dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepadanya selama ini.

“Segala hinaan selama ini saya telan, walapun sangat pahit untuk saya lalui. Alhamdulillah hari ini saya bebas kerana ALLAH masih sayangkan saya.

Selama ini saya terpaksa menutup mulut dapada memberi sebarang kenyataan kepada pihak media, kerana saya dalam injunksi mahkamah, hari ini saya bebas. Hanya Allah balas jasa baik semua,”katanya.

Turut hadir peguam Sri Wani, Ahmad Izuddin Fakhrullah dan wakil Sukaguam, Nur Hafidzah Mohd. Yusuff.

sumber- Sinar

Romantik gambar perkahwinan atas gunung batu

Romantik gambar perkahwinan atas gunung batu
PASANGAN pengantin, Bob Ewing dan Antonie Hodge merakamkan gambar perkahwinan mereka di puncak gunung batu Seneca Rocks di Virginia Barat.
CHARLESTON - Sejauh manakah anda sanggup lakukan untuk mengabadikan ikatan perkahwinan anda?

Di Amerika Syarikat (AS), sepasang pengantin baharu, Bob Ewing dan isterinya, Antonie Hodge bertindak mendaki sebuah gunung batu setinggi 275 meter dengan lengkap berpakaian pengantin.

Mereka berbuat demikian untuk merakam gambar perkahwinan yang unik dan luar biasa.

Walaupun berdepan kesukaran, usaha pasangan itu berbaloi apabila gambar perkahwinan mereka ditonton lebih 500,000 kali di internet.

Gambar perkahwinan yang dirakam itu menunjukkan lokasinya adalah di puncak Gunung Seneca di negeri Virginia Barat.

Idea untuk mendaki gunung yang curam dan sempit itu datang daripada pengantin perempuan ekoran ibunya, Evangeline Hodge merupakan seorang pendaki gunung.

Turut sama melakukan pendakian termasuklah ibu pengantin perempuan dan rakan-rakan mereka yang juga merupakan pendaki amatur.

"Saya perlu membuktikan kepada diri sendiri bahawa saya mampu mendaki gunung batu ini," kata Hodge.

Mereka melakukan pendakian tersebut baru-baru ini dengan bantuan tali dan abah-abah. 

sumber- Agensi

Misteri video Hantu Bebola Api sedang terbang

hantu bebola api

Antara hantu yang paling ditakuti di Thailand ialah Phi Krasue. Hantu ini sebenarnya terkenal di seluruh nusantara termasuk Malaysia dan Indonesia. Masyarakat melayu pula menggelarkannya sebagai hantu botol, penanggal atau balan-balan. Ramai saksi mengatakan ternampak hantu ini seakan-akan bola api ketika ia sedang terbang. Video yang didakwa Phi Krasue ini ditangkap oleh seorang pelajar wanita di Thailand. Ianya turut menjadi topik hangat di kaca televisyen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...