Friday, August 31, 2012

Pencuri lembu yang 'dilembukan'

Dua lelaki yang dicekup ketika leka memasang perangkap menjerat lembu di kandang milik Kannan.
Dua lelaki yang dicekup ketika leka memasang perangkap menjerat lembu di kandang milik Kannan.
SEPANG – Perangkap sudah dipasang, dedak juga ditabur bagi menarik perhatian lembu masuk ke jerat mereka namun dua pencuri tidak sempat melarikan haiwan ternakan itu apabila mereka terlebih dahulu masuk dijerat pemilik ternakan itu, di Pulau Meranti Jaya, di sini lewat petang kelmarin.

Difahamkan, kedua-dua lelaki terbabit dikatakan menggunakan tali yang dipasang antara laluan kandang ke padang ragut untuk menjerat ternakan berkenaan.

Mereka dikatakan turut menggunakan alat suntikan pelali dan sumpit buatan sendiri diperbuat daripada batang paip PVC untuk menyuntik serta melemahkan lembu berkenaan dipercayai bagi memudahkan kerja mengangkutnya menggunakan lori.

Bagaimanapun, tindak-tanduk kedua-duanya yang diperhatikan pemilik ternakan itu dari jauh membawa padah apabila mereka berjaya dicekup.

Pemilik kandang, V Kannan, 43, berkata, tertekan apabila haiwan ternakannya pernah tiga kali dicuri sehingga mengakibatkan kerugian lebih RM70,000 sebelum ini, dia terpaksa membuat kawalan keselamatan bergilir-gilir bersama adik dan rakannya.

Jerat yang digunakan suspek untuk memerangkap lembu.
Jerat yang digunakan suspek untuk memerangkap lembu.
Katanya, kali terakhir 10 lembu miliknya hilang seminggu sebelum sambutan Hari Raya menyebabkan dia resah apabila kejadian mencuri ternakan berleluasa di kandangnya.

Kannan berkata, ketika membuat kawalan di kawasan kandang itu, petang kelmarin, dia terserempak dua lelaki dalam keadaan mencurigakan dengan seorangnya membawa tali manakala seorang lagi membawa guni berwarna putih.

Gerak-geri kedua-dua lelaki itu diperhatikan dari jauh dan Kannan terkejut melihat lelaki itu memasang tali, mengorek lubang dan menabur dedak dipercayai menarik lembu ke jerat mereka.

Dia yang bersembunyi di sebalik kawasan semak kemudian menghubungi beberapa rakan dan menceritakan kejadian berlaku.

“Kami kemudian memberkas lelaki itu dan bertanya apa yang dilakukan di kawasan kandang milik saya, mula-mula mereka tidak mahu mengaku mahu mencuri lembu.

“Namun apabila pemeriksaan dilakukan dan mendapati terdapat makanan lembu, alat suntikan dan juga tali mereka akhirnya mengaku pernah mencuri lima lembu saya sebelum ini,” katanya yang  turut menemui sebilah parang bersama lelaki terbabit.

Kannan berkata, sebelum ini tujuh lembu susu yang diternaknya di bawah jambatan Lebuhraya Elite pernah hilang namun pencurinya gagal dikesan.

Tidak sanggup berdepan kerugian lagi, Kannan berkata, dia memasang perangkap dengan mengawal kawasan kandangnya 24 jam sehari.

“Beberapa hari lalu, saya ada menemui tali biasanya digunakan untuk mengikat lembu di kawasan padang ragut dan percaya ada lagi lembu yang akan dicuri.

“Risikan yang dilakukan berhasil apabila berjaya mencekup si pencuri,” katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan di Balai Polis Putra Perdana, lewat malam kelmarin.

Kannan berkata, pihaknya menyerahkan kedua-dua lelaki bersama peralatan dan sebuah kereta Pajero yang dibawa lelaki itu kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...