Thursday, August 30, 2012

Dua 'Syaitan' didakwa bunuh kanak-kanak 4 tahun

gambar pembunuh kejam
(Gambar kiri) Parimala menutup mukanya diiringi di Mahkamah Majistret di sini, semalam (Gambar kanan) Kupertasan turut hadir atas dakwaan membunuh anak teman wanitanya.
IPOH - Seorang wanita mengandung lapan bulan bersama teman lelakinya dihadapkan di Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak berusia empat tahun di Kampung Tawas di sini, antara 7 hingga 14 Ogos lalu.

Tertuduh, T Parimala, 33, dari Kampung Tawas dan S Kupertasan, 27, dari Lunas, Kedah mengangguk faham selepas pertuduhan dalam bahasa Tamil dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Majistret Shamsol Azwa Martadza menetapkan 1 November ini sebagai sebut semula kes selepas mendapat laporan bedah siasat mangsa.

Mengikut pertuduhan kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama melakukan bunuh sehingga menyebabkan kematian J Pavitra, 4, di rumah bernombor 152, Lorong Tawas 9, Kampung Tawas, Ipoh.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut antara jam 8 malam 7 Ogos sehingga jam 5.20 petang 14 Ogos 2012.

Sehubungan itu, mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

Terdahulu, Kupertasan memohon supaya mahkamah membenarkannya untuk pindah dari Penjara Taiping ke Penjara Alor Setar memandangkan keluarganya berada di Kedah.

Namun, permohonan itu ditolak Shamsol Azwa dan mengekalkan Kupertasan ditempatkan di penjara yang sama manakala Parimala ditempatkan di Penjara Tapah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya K Kavitha manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, Pavitra maut akibat pendarahan di kepala dipercayai didera teman lelaki ibunya di sebuah bilik sewa di Kampung Tawas.

Kanak-kanak perempuan tersebut didapati meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik 1Malaysia kira-kira jam 5 petang 13 Ogos lalu.

Mereka berdua kemudiannya ditahan pada 15 Ogos lalu dan direman selama dua minggu sebelum didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...