RUMAH yang menjadi tempat persembunyian Osama di bandar Abbottabad, Pakistan. |
WASHINGTON - Ketua rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden sudah mati apabila pasukan komando Amerika Syarikat (AS), Navy SEAL menyerbu ke dalam bilik tidurnya di sebuah banglo di bandar Abbottabad, Pakistan.
Dakwaan kontroversi itu bercanggah dengan kenyataan rasmi White House tentang kematian Osama.
Pendedahan mengenainya dibuat oleh seorang bekas anggota komando SEAL yang terlibat dalam operasi rahsia membunuh ketua Al-Qaeda itu pada 2 Mei 2011.
Menurut akhbar MailOnline semalam, Osama juga tidak bersenjata apabila dia diserang pasukan elit SEAL.
Kisah misi membunuh ketua pengganas berkenaan didedahkan dalam buku biografi, No Easy Day: The Firsthand Account of the Mission That Killed Osama bin Laden.
Ditulis di bawah nama pena, Mark Owen buku tersebut yang dijadualkan berada dalam pasaran pada 11 September depan akan dijual seminggu lebih awal.
Penulis buku berkenaan merupakan antara enam komando SEAL yang melihat Osama mati pada tahun lalu.
Menurut salinan buku itu yang diperoleh akhbar Huffington Post, misi membunuh Obama jauh bercanggah dengan kenyataan White House.
Dalam bukunya, Owen memberitahu bahawa seorang anggota elit skuad berkenaan terserempak dengan Osama ketika dia cuba melarikan diri ke dalam bilik tidurnya.
Bilik itu terletak di tingkat tiga banglo berkenaan yang dihuni oleh Osama bersama sejumlah anggota keluarganya.
Beberapa anggota SEAL lain kemudian bergegas menaiki tangga untuk mengejar Osama.
"Kami kurang lima langkah untuk sampai ke tingkat atas apabila saya terdengar bunyi tembakan. Ketika itu, saya tidak dapat melihat sama ada tembakan itu mengenai sasaran," kata Owen.
Walaupun media AS melaporkan Osama bersenjata dan cuba melawan ketika dibunuh, askar itu berkata, ketua Al-Qaeda itu sebenarnya sudah tidak bernyawa apabila mereka berada di dalam bilik tidurnya.
Menurut Owen, ketika Obama terbaring, dia dan beberapa komando lain melepaskan beberapa das tembakan lagi ke dada lelaki itu.
Dalam bukunya, Osama dilaporkan memakai baju-T berwarna putih, seluar panjang bersama sehelai tunik.
Semasa mereka merakamkan gambar jenazah Osama, dua pucuk senjata turut di temui di bilik tidur berkenaan tetapi kedua-duanya tidak berpeluru.
"Dia (Osama) langsung tidak melakukan persediaan untuk mempertahankan diri. Lelaki ini langsung tiada niat mahu melawan walaupun selama beberapa dekad dia begitu gah mengarahkan pengikutnya supaya melakukan serangan berani mati," kata Owen.
"Sepanjang saya berkhidmat dalam tentera, kami telah kerap kali menyaksikan penipuan seperti ini," tambahnya.
Mengulas pendedahan memalukan itu, ketua Pusat Operasi Khas AS memberitahu, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang didapati mendedahkan maklumat sensitif ketenteraan.
Dalam pada itu, sebuah laman web rasmi Al-Qaeda pada Jumaat lalu menyiarkan gambar dan nama komando SEAL yang bertanggungjawab menulis buku tersebut.
Tindakan tersebut dilakukan selepas saluran berita AS, FoxNews.com mendedahkan identiti penulis sebagai Matt Bissonnette.
Anggota komando SEAL itu yang kini berusia 36 tahun bersara selepas operasi membunuh Osama.
sumber- Agensi
0 comments:
Post a Comment