ORANG utan jantan ini cedera selepas terjatuh ke atas tanah yang mempunyai unggun api. |
PONTIANAK - Beberapa penduduk kampung yang cuba mengusir seekor orang utan keluar daripada sebatang pohon rambutan telah membakar haiwan tersebut secara tidak sengaja.
Menurut akhbar MailOnline kelmarin, orang utan jantan itu bersarang di atas pokok berkenaan setelah habitat asal haiwan berkenaan diganggu oleh manusia.
Insiden itu berlaku di kampung Lower Wajok, Kalimantan Barat.
Bimbang rambutan mereka akan habis dimakan, beberapa penduduk kampung cuba mengusir orang utan itu dengan membuat unggun api di pangkal pokok tersebut.
Api itu dipadamkan kemudian tetapi orang utan berkenaan jatuh ke tanah dan cedera.
"Selama 60 tahun saya tinggal di kampung ini, ini kali pertama peristiwa seperti ini berlaku," kata seorang penduduk kampung berusia 60 tahun, Ali Zakaria.
Mengulas kejadian pada Ahad lalu, Ketua Pusat Sumber Konservasi Alam Semulajadi (BKSDAS) di Kalimantan Barat, Niken wuri Handayani berkata, beberapa petugas agensinya dipanggil untuk merawat tetamu tidak diundang itu.
"Orang utan ini diberikan rawatan dan akan sembuh beberapa hari lagi sebelum dibebaskan semula ke rimba," kata Niken.
"Orang utan bukan spesies haiwan peliharaan," tambahnya
Menurut pegawai berkenaan, penduduk kampung telah dididik untuk tidak mencederakan orang utan dan menghubungi mereka jika haiwan itu menceroboh kampung.
Ujarnya, BKSDAS bertanggungjawab memantau sekitar 4,500 hingga 5,000 ekor orang utan yang hidup di Kalimantan Barat.
sumber- Agensi
0 comments:
Post a Comment