Izzuddin (tengah) bersama anggota JPAM Muar menunjukkan ular tedung selar sepanjang enam meter yang berjaya ditangkap. |
MUAR – “Saya sangka tali, tetapi berasa pelik apabila objek ini bergerak-gerak dan setelah diamati rupanya seekor ular tedung selar,” kata Mohd Ghani Mahat, 26. Mohd Ghani yang merupakan pemandu jentera pengorek Kobe, menjumpai ular tedung selar sepanjang enam meter itu ketika membersihkan sebuah parit untuk kerja-kerja pemasangan batu sangkar di Jalan Kangkar Senangar, Pagoh, dekat sini, kelmarin.
Menurutnya, dia menyedari kemunculan ular tersebut semasa mengangkat pengorek jentera itu untuk membuang lalang yang dibersihkan.
“Tiba-tiba saya nampak objek bergerak-gerak dan baru sedar terdapat seekor ular tedung selar terperangkap bersama lalang pada pengorek jentera ini. “Empat rakan lain yang menyaksikan kejadian turut terkejut, lalu mengarahkan saya supaya segera menurunkan pengorek dan tindih haiwan ini dengan pengorek bagi mengelaknya menjadi agresif,” katanya.
Katanya, mujur dia bertindak pantas, jika tidak, pasti reptilia tersebut boleh mengancam nyawa mereka. “Memang terkejut lihat reptilia ini kerana saiznya agak besar dan panjang, lebih-lebih lagi apabila ia cuba mengembangkan kepalanya,” katanya yang pertama kali melihat ular tedung selar bersaiz seperti itu sejak lebih setahun menjadi pemandu jentera pengorek.
Mohd Ghani berkata, salah seorang rakannya menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Muar untuk menangkap ular tersebut.
Sementara itu Ketua Operasi JPA Muar, Izzuddin Ali berkata, operasi menangkap ular tedung selar itu membabitkan lima anggotanya termasuk beliau sendiri.
“Kami terpaksa ambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap ular berkenaan yang berada di bawah pengorek. “Walaupun ular ditindih dengan pengorek, tapi kami tetap ambil langkah berjaga-jaga kerana reptilia ini sangat merbahaya,” katanya.
Izzuddin berkata, kami bersyukur operasi berjalan dengan selamat tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini dan ular itu akhirnya dapat ditangkap.
Katanya lagi, reptilia tersebut kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment