Selamat Datang Ke blog-ketegaq.blogspot.com

Blog terbaik yang menyediakan pelbagai cerita dan artikel menarik dari seluruh dunia. Like kami di facebook tanda sokongan anda dan untuk mendapat update artikel terkini dari kami.

Isu Semasa

Artikel-artikel terkini mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Segalanya dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Pelik

Segala fakta dan artikel mengenai perkara-perkara yang pelik boleh diperolehi di sini. Semua artikel adalah berdasarkan sumber dan kesahihannya anda sendiri tentukan.

Herba Dan Botani

Artikel mengenai tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Alam Ghaib

Himpunan artikel mengenai alam ghaib yang sukar diperjelaskan dengan mata kasar. Admin mengalukan sumbangan artikel, gambar-gambar atau video untuk dikongsi bersama dalam blog ini.

Saturday, August 18, 2012

Program realiti tawar tiket ke Marikh

GAMBAR lakaran artis menunjukkan kapsul yang menjadi tempat penempatan angkasawan di Marikh pada April 2023.
GAMBAR lakaran artis menunjukkan kapsul yang menjadi tempat penempatan angkasawan di Marikh pada April 2023.
THE HAGUE, Belanda - Sebuah program realiti televisyen akan menghantar empat angkasawan ke planet Marikh pada April 2023.

Penghantaran itu tujuh tahun lebih awal daripada rancangan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat (AS).

Projek itu dikenali sebagai Mars One dan pencarian angkasawan tersebut akan bermula pada tahun depan.

Menurut jurutera mekanikal, Bas Lansdrop, 35, kos untuk melaksanakan misi itu ialah AS$6 bilion (RM18.79 bilion) dua kali lebih tinggi daripada kos kenderaan robotik Curiosity milik NASA.

Kehidupan angkasawan itu akan dirakamkan dan mereka tinggal dalam kapsul yang berasingan.

Kapsul, makanan dan kenderaan robotik akan dihantar antara 2016 dan 2022.

Berdasarkan rancangan Lansdrop, kumpulan pertama melibatkan empat angkasawan itu akan disertai oleh beberapa orang lagi sehingga terdapat satu koloni manusia seramai 20 orang sedekad kemudian di Marikh.

Eksperimen saintifik termasuk mencari petunjuk kehidupan akan turut dilakukan.

Planet itu mempunyai suhu - 55 darjah Celcius manakala ruang udaranya dipenuhi dengan karbon dioksida.

Menurut Landsdrop, bekalan oksigen akan diperoleh daripada air yang ditemui di bawah permukaan Marikh.

Ketika ini Curiosity berada di Marikh selepas mendarat pada 5 Ogos menerusi penerbangan sejauh 566 juta kilometer ke Marikh selepas dilancarkan dari Florida, AS pada 26 November tahun lalu. 

sumber- Agensi

Mata wang khas di bandar Britain

GAMBAR menunjukkan beberapa mata wang kertas Bristol Pound yang digunakan di Bristol. - AFP
GAMBAR menunjukkan beberapa mata wang kertas Bristol Pound yang digunakan di Bristol. - AFP
BRISTOL - Ketika masyarakat Britain mengalami tekanan ekonomi ekoran krisis mata wang euro, pihak pentadbiran bandar ini merancang untuk memperkenalkan mata wang sendiri yang dikenali sebagai pound Bristol.

Inisiatif itu bertujuan untuk mengelakkan hasil kekayaan tempatan daripada mengalir ke tangan pihak luar.

Mata wang tersebut yang hanya boleh digunakan di bandar barat daya England ini akan dilancarkan September depan.

Pengasas bersama pound Bristol, Ciaran Mundy berkata, pihaknya menerima sambutan yang amat menggalakkan apabila ratusan perniagaan di sini bersetuju untuk menggunakan mata wang berkenaan.

"Persepsi mengenai perbankan dan wang adalah ia satu sistem tanpa belas kasihan. Orang ramai akan menggunakan mata wang yang memberi manfaat kepada mereka," kata Mundy.

Menurutnya, wang kertas pound Bristol mempamerkan simbol kemegahan tempatan termasuk imej penulis kurun ke-19, Hannah More dan pesawat supersonik Concorde.

Sebahagian pesawat berkenaan dibina di bandar ini.

Jelas Mundy, pemilik perniagaan boleh membayar cukai tempatan dengan menggunakan pound Bristol manakala 17,000 kakitangan majlis perbandaran di sini boleh memilih untuk menerima sebahagian gaji mereka dengan menggunakan mata wang itu. 

sumber- AFP

Empat rentung kelab malam terbakar

SALAH seorang pelancong Perancis yang cedera.
SALAH seorang pelancong Perancis yang cedera.
BANGKOK - Sebuah kelab malam yang popular dalam kalangan pelancong di Thailand terbakar awal semalam dengan menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang mati manakala 20 orang lagi cedera, kata beberapa pegawai.

Beberapa pekerja hospital dan warga asing merupakan antara mangsa dalam kebakaran kelab malam itu, Tiger di Phuket.

Pasukan penyelamat mengeluarkan mayat-mayat mangsa yang rentung dari dalam timbunan kelab malam tersebut selepas api berjaya dipadamkan.

"Empat orang disahkan mati. Kami percaya mereka merupakan pelancong asing tetapi ia masih belum dapat dipastikan," kata Timbalan Gabenor Phuket, Chamroen Tipayapongtada menerusi telefon.

SEORANG lelaki melintasi kelab malam Tiger selepas kebakaran dipadamkan.
SEORANG lelaki melintasi kelab malam Tiger selepas kebakaran dipadamkan.
"Kebakaran berlaku selepas sebuah transformer di kelab malam berkenaan dipanah kilat dengan api merebak ke seluruh premis itu," tambahnya.

Beberapa petugas hospital di resort tepi pantai Patong memberitahu, mereka yang cedera termasuk warga tempatan dan pelancong asing.

"Kami menerima lebih 20 orang yang cedera dalam kebakaran di pub Tiger. Kebanyakan mereka mengalami sesak nafas," kata seorang pekerja hospital itu.

"Dua lagi berada dalam keadaan kritikal akibat tubuh mereka yang teruk melecur," tambahnya.

Menurut petugas berkenaan, mayat empat orang yang terkorban rentung sehingga sukar untuk pihak berkuasa mengecam identiti mangsa.

sumber- AFP

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...