Wednesday, June 27, 2012

Bola api masuk rumah

Pagar batu rumah jiran mereka pecah akibat panahan petir sebelum menghasilkan ‘bola api’ yang dikatakan memasuki rumah Said.

MARANG – “Semasa isteri saya sedang memasak di dapur, hujan agak lebat di luar, tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat sebelum isteri menjerit ada sebiji ‘bola api’ sebesar bola tenis masuk ke dalam rumah dan meluncur laju menuju ke arah bilik mandi.


Demikian cerita Said Abdul Rahman, 68, yang terselamat selepas rumah didiami bersama isteri, Fatimah Mamat, 58, dan tiga anak mereka disambar petir ketika ditemui Sinar Harian di rumah
mereka di Tanjung Belor, Pengkalan Berangan di sini, semalam.


Menurutnya, susulan kejadian yang berlaku kira-kira jam 4 petang itu, dia dan isteri termasuk tiga anak yang berada di dalam rumah, panik apabila asap hitam memenuhi ruang tamu dan dapur rumah kesan selepas ‘bola api’ itu memasuki rumah mereka.

“Saya yang berada di dalam bilik ketika itu bergegas keluar dan melihat suis elektrikdalam rumah turut terbakar manakala kotaknya hancur, di samping bahagian atas mesin basuh pecah dan simen dalam bilik mandi pula berlubang kerana ‘bola api’ itu.


“Ini merupakan kejadian pertama rumah kami disambar petir sejak lebih 10 tahun tinggal di sini. Mujur saya, isteri dan anak-anak yang berada di dalam rumah serta rakan anak-anak yang
berteduh kerana hari hujan di luar rumah ini terselamat,” katanya.


Said berkata, kejadian itu turut menyebabkan pagar batu di rumah jirannya pecah dan anak-anaknya berpendapat penahan petir itu menuju ke arah pagar rumah jiran mereka itu terlebih dahulu sebelum ‘bola api’ itu terhasil dan masuk ke rumah mereka.

Menurutnya, dia sekeluarga masih mengalami kesan trauma dan bimbang akan keselamatan mereka jika kejadian hujan lebat dan ribut petir melanda semula di kawasan berkenaan sekali gus insiden sama berlaku lagi.

“Namun, kami bersyukur kerana perkara itu juga sudah mendapat perhatian pihak Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Berangan dan kerosakan berlaku di rumah ini termasuk fius terbakar dibaiki hari ini (semalam),” katanya.

sumber-Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...