Wednesday, June 27, 2012

Wanita melecur dibakar teman lelaki meninggal

KUALA LUMPUR: Wanita yang dibakar teman lelakinya hingga menyebabkan 90 peratus tubuhnya melecur disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) jam 12.50 tengah hari semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Sebelum ini, siasatan polis mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Bagaimanapun, kematian mangsa menyebabkan kes itu ditukar kepada Seksyen 302.

“Berdasarkan siasatan awal polis, suspek yang juga teman lelaki mangsa mempunyai niat dan sengaja bertindak demikian (membakar) dan ia bukannya berlaku disebabkan kecuaian,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang wanita berusia 23 tahun yang dikatakan tinggal bersama teman lelakinya cedera parah dan melecur akibat dibakar lelaki berusia 35 tahun itu selepas menyimbah petrol di ruang tamu rumah flat mereka di Taman Segar, Cheras.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa ditemui cedera bersama lelaki terbabit di dalam rumah itu. Mangsa melecur teruk hampir 90 peratus manakala teman lelakinya hanya melecur sedikit namun tidak sedarkan diri.

Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara pasangan itu sebelum lelaki terbabit menyimbah cecair dipercayai petrol ke tubuh kekasihnya dan membakar wanita itu hingga menyebabkan sebahagian rumah turut terbakar.

Sumber-Harian Metro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...