Thursday, June 28, 2012

Sampel darah kera belaan diambil

SABRI (dua dari kanan) mengambil sampel darah seekor kera peliharaan sambil dibantu kakitangan Perhilitan Jeli di Kampung Bukit Ipoh, Jeli kelmarin.

JELI - Bagi memastikan kera peliharaan penduduk bebas daripada kuman parasit malaria berjangkit, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil sampel darah 50 ekor haiwan tersebut di Kampung Bukit Ipoh di sini kelmarin.

Operasi itu dijalankan bersama Jabatan Veterinar dan Kementerian Kesihatan.

Kuman parasit malaria yang dibawa oleh kera boleh menyebabkan kematian manusia.

Ia berlaku apabila nyamuk yang menggigit binatang pembawa kuman parasit kemudian hinggap dan menggigit manusia.

Ketua Perhilitan Daerah Jeli, Mohd. Ismail Awang berkata, sebelum ini, pihaknya telah diarahkan oleh Perhilitan Negeri Kelantan supaya melupuskan semua spesies kera liar yang berada di dalam hutan kerana dikesan membawa penyakit malaria.

"Jadi, operasi hari ini (semalam) pula adalah untuk memastikan tidak ada kera-kera peliharaan yang dijangkiti penyakit ini.

"Dalam operasi bersama ini, tugas Perhilitan ialah memegang kera-kera berkenaan supaya sampel darahnya boleh diambil oleh pegawai dari Kementerian Kesihatan sebelum diberikan kepada Jabatan Veterinar untuk menilai sampel darah tersebut," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui dalam operasi tersebut.

sumber-Kosmo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...