Friday, July 20, 2012

Jam komputer ganti jadual selaman


KEMAJUAN teknologi telah membolehkan komputer diaplikasikan hampir di mana-mana sahaja dan reka bentuk tidak lagi terhad pada komputer peribadi dan riba.

Baik dalam kereta, di daratan, dalam kapal terbang ketika penerbangan bahkan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), aplikasi komputer sememangnya cukup penting.

Bagi penyelam skuba, komputer selam merupakan gajet yang diperlukan saat menyelam. Bagi mereka yang aktif menyelam scuba, komputer selam merupakan gajet wajib yang perlu dipakai setiap kali turun ke dasar laut.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah fungsi komputer selam berbentuk jam tangan itu? Alat tersebut mempunyai beberapa fungsi penting seperti paparan waktu, altitud, tempoh masa di dalam laut dan pemberitahuan tentang hentian keselamatan.

Sesetengah model turut menawarkan pilihan pemancar (transmitter) yang boleh memantau tekanan tangki skuba serta baki udara yang tinggal secara dinamik mengikut kadar penggunaan udara semasa menyelam.

Persoalannya, mengapa kesemua maklumat itu penting ketika aktiviti menyelam skuba?

Dua elemen terpenting dalam aktiviti tersebut ialah kedalaman dan tempoh masa menyelam.

WALAUPUN mahal, Dive Comp merupakan satu pelaburan yang berbaloi kepada penyelam skuba.
Ia penting bagi mengelakkan penyelam mengalami penyakit dekompresi

atau decompression sickness (DCS).

Gangguan DCS disifatkan sakit sendi, lesi kulit, kesukaran bernafas dan tanda-tanda neurologik dialami oleh juruterbang pada altitud yang tinggi atau mereka yang bernafas dengan udara termampat.

Justeru, ketika mengikuti kursus skuba, penyelam diajar tentang kepentingan memahami dan menggunakan jadual selaman sebagai rujukan.

Untuk keselamatan

Jadual selaman digunakan bagi menentukan tempoh penyelam boleh berada di dalam air pada kedalaman tertentu untuk selaman pertama dan selaman yang berikutnya.

Sebagai seorang penyelam skuba, penulis sendiri sukar memahami jadual tersebut kerana ia turut melibatkan pengiraan.

Malah, bagi mereka yang tidak memahi jadual berkenaan, pasti sukar untuk merancang aktiviti selaman mereka.

Di sinilah letaknya kepentingan komputer selam atau lebih popular dengan panggilan Dive Comp. Ia mengambil alih semua tugas pengiraan secara dinamik berdasarkan kedalaman dan tempoh penyelam berada pada satu-satu kedalaman.

Ia turut mengingatkan penyelam dengan mengeluarkan bunyi sebagai tanda hentian keselamatan atau Safety Stop.

Safety Stop perlu dilakukan pada kedalaman tertentu.

DIVE COMP dapat memberikan data seperti kedalaman dan waktu menyelam semula dengan mudah.
Sebaik sahaja sesi selaman selesai, Dive Comp akan memberitahu selang waktu permukaan (surface interval) yang diperlukan sebelum selaman berikutnya boleh dilakukan.

Kegagalan mematuhi aturan itu boleh mengakibatkan penyelam mengalami simptom penyakit dekompresi termasuk nitrogen narkosis yang akan menyebabkan penyelam berasa khayal dan mempunyai potensi untuk melakukan perkara-perkara yang membahayakan diri sendiri.

Satu lagi kegunaan komputer selam adalah sebagai sumber rujukan penyelam bagi mengisi butiran selaman ke dalam buku log mereka.

Para penyelam tidak perlu bimbang lagi kerana maklumat direkodkan secara elektronik dan mereka hanya perlu menyalin semula maklumat yang diperlukan berbanding kaedah tradisional iaitu wajib menghafal semua butiran.

Terdapat pelbagai jenama dan model yang ditawarkan di pasaran. Penyelam boleh memilih pelbagai jenama popular seperti Suunto, Oceanic, Tusa, Cressi dan Mares.

Sungguhpun harganya agak tinggi sebagai contoh jenama Suuto sekitar RM1,587 hingga RM2,222, tetapi ia satu pelaburan yang amat berharga kerana mungkin boleh menyelamatkan nyawa anda suatu hari nanti!

sumber- Kosmo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...