Thursday, July 26, 2012

Mesin cetak untuk peniaga kecil

KERJA pejabat seperti mencetak, mengimbas, menyalin dokumen dan menghantar faks kini lebih cekap dengan model terbaharu daripada Samsung.
MESIN pencetak, Samsung SCX-3400 Series Multifunction Laser disasarkan kepada pengguna yang mahu mencetak dengan pantas selain pengusaha bisnes kecil-kecilan. Reka bentuknya dicipta supaya menjimatkan ruang termasuk dulang kertas kecil dan permukaan kawalan yang boleh dilipat bergantung kedudukan pencetak.

Sama seperti semua jenama mesin pencetak yang berada di pasaran, pencetak keluaran Samsung itu juga mempunyai pelbagai fungsi seperti mencetak, mengimbas, menyalin dan faks.

Pengurus Kategori Pencetak dan Barangan Konsumer Samsung, Ku Wei Jian memberitahu, pencetak SCX-3400 mempunyai fungsi WiFi yang membolehkan imej dalam telefon dicetak tanpa wayar secara terus.

WiFi terbahagi kepada dua jenis iaitu WiFi Setting dan WiFi Direct. Peranti yang mempunyai aplikasi Samsung MobilePrint boleh disambung terus dengan hanya menekan butang Wifi Direct pada pencetak.

Selain itu, imej-imej yang diimbas menggunakan pencetak Samsung boleh disimpan dalam telefon bagi membolehkan imbasan-imbasan dokumen tersebut dikongsi dalam laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Masalah remeh membuat fotokopi kad pengenalan atau lesen yang memerlukan kedua-dua permukaan kad dicetak juga dimudahkan dengan butang ID Copy.

Caranya mudah iaitu dengan menekan butang dan hanya perlu mengikuti langkah-langkah yang dipaparkan.

Dikuasakan dengan upaya pemproses 433 megahertz dengan memori berkapasiti 128 megabait, SCX-3400 boleh mencetak sehingga 20 muka surat bersaiz A4 seminit.

sumber- Kosmo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...