Saturday, August 11, 2012

Beruang dizalimi untuk hempedunya

Moon Bear in China

Satu persatu 13 ekor beruang hitam Asia yang sakit dan trauma kerana disumbat ke dalam sangkar kecil ditolak keluar dari trak. Kini, penderaan yang amat menyiksakan haiwan malang itu sudah berakhir.

Beruang-beruang itu dibawa ke pusat menyelamat di barat daya China. Kesemuanya menderita luka-luka yang menanah, selain penyakit-penyakit akibat kulit melecet setelah pundinya dipotong untuk diambil hempedu yang digunakan dalam perubatan di China.

Namun, binatang-binatang itu masih bertuah. Dianggarkan sebanyak 7,000 hingga 10,000 beruang jenis Moon Bear semakin pupus di seluruh China. Ia dipanggil dengan nama itu kerana calitan berwarna putih di dadanya.

Senario sekarang menyaksikan Moon Bear menjadi mangsa perdagangan kejam. Di sebalik kejayaan para aktivis membendung masalah itu, rasa hormat terhadap kebajikan haiwan masih rendah dengan permintaan hempedu sentiasa ada di negara China.

"Anda melihat haiwan ini dengan perasaan takut, sambil tertanya-tanya bagaimana ia boleh terus hidup selama ini," kata Jill Robinson seorang warganegara British yang mengetuai Pusat Menyelamat Moon Bear, sambil menghulurkan buah-buahan kepada seekor beruang dengan berhati-hati.

Ketika kemujaraban hempedu beruang masih meninggalkan tanda tanya, ia tetap popular di China dan negara-negara Asia lain bagi kegunaan mengubati demam, penyakit hati dan masalah mata.

Cara mendapatkan hempedu ini menimbulkan kemarahan dalam kalangan aktivis kebajikan haiwan seluruh dunia. Beruang-beruang itu dikurung sepanjang hidupnya di dalam kurungan kecil yang hanya cukup untuk memuatkannya.

Moon Bear in China

Sementara hempedu yang dihasilkan oleh pundinya diambil menggunakan tiub khas yang disumbat dengan kejam dan dibiarkan terbuka sepanjang masa.

Haiwan-haiwan itu, biasanya tiba di pusat tersebut dengan kukunya dipotong dan giginya dipatahkan oleh pemiliknya. Malah, ia turut mengalami pelbagai masalah kerana jangkitan dan dikurung terlalu lama.

Yayasan Haiwan-haiwan Asia (Animals Asia Foundation, AAF) di Hong Kong yang dikendalikan oleh Robinson telah menandatangani perjanjian dengan pihak berkuasa Sichuan pada tahun 1999 untuk menyelamatkan 500 ekor beruang di wilayah tersebut.

Yayasan yang mengendalikan pusat menyelamat itu membayar pemilik-pemilik beruang mengikut 'harga pasaran' dan Robinson enggan memberitahu jumlahnya.

Sebagai balasan, para pemilik perlu menyerahkan lesen pengambilan hempedu. Di bawah perjanjian, keputusan sama ada menutup kawasan kurungan beruang itu terserah kepada pihak berkuasa China.

Sebanyak 13 ekor beruang yang diselamatkan pada bulan lalu menambah jumlah keseluruhan beruang di pusat itu kepada 260 ekor, sekali gus melepasi separuh daripada sasarannya.

Walaupun seekor beruang terpaksa dibunuh kerana sudah tidak dapat diselamatkan, namun kejayaan lain itu boleh diraikan. Ia turut menyaksikan satu realiti yang menyedihkan.

"Ia menjadi satu proses yang cukup perlahan, berbanding apa yang kami harapkan," akui Robinson.

Kerja-kerja penghasilan hempedu bermula pada tahun 1980-an. Ia digalakkan secara rasmi sebagai alternatif kepada masalah pemburuan haiwan liar, tetapi tiada undang-undang memantaunya.

Permintaan terhadap hempedu dan kehilangan habitat menyebabkan bilangan beruang berkurangan kepada 16,000 ekor.

Menurut pihak Dana untuk Alam Sekitar Seluruh Dunia (Worldwide Fund for Nature), beruang kini dianggap sebagai spesies terancam oleh Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Sekitar (International Union for Conservation of Nature).

Biarpun penghasilan hempedu dihalalkan di China, eksport produk dan rawatan yang diperbuat daripada hempedu beruang diharamkan di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa berkaitan Spesies Terancam yang turut ditandatangani oleh China.

Moon Bear in China
DIANGGARKAN sebanyak 7,000 hingga 10,000 beruang jenis Moon Bear semakin pupus di seluruh China.
Namun, ramai percaya bahawa wujudnya perdagangan eksport haram, selain farmasi dan kedai-kedai di seluruh China menjual produk hempedu beruang secara terbuka.

Kempen-kempen para aktivis banyak membantu menutup ratusan pusat kurungan beruang di China. Tetapi kerajaan menganggarkan jumlah beruang-beruang yang dikurung masih banyak.

Menurut Robinson, bukti-bukti meragukan yang menunjukkan peningkatan jumlah tangkapan di pusat kurungan perlu dipersalahkan.

Kerajaan China sebelum ini menekankan usaha yang disifatkan sebagai kaedah kurang menyakitkan untuk mengeluarkan hempedu. Namun, Robinson menyatakan tiada sebarang cara lebih baik berbanding penggunaan tiub sejak dahulu lagi.

Pengarah Asia, Dana Antarabangsa untuk Kebajikan Haiwan, Grace Ge Gabriel memberitahu walaupun kurungan ditutup, para pemilik sering memindahkan lesen mereka atau beroperasi secara haram.

Organisasinya tidak menyelamatkan mana-mana beruang di pusat yang terletak di wilayah Guangdong bertahun-tahun lamanya. Gabriel sebaliknya menyifatkan usaha itu sebagai tiada kesudahannya.

Sebaliknya, organisasi itu berusaha melobi undang-undang antikekejaman. China memiliki undang-undang melindungi haiwan liar yang dilihat secara meluas sebagai tidak cekap. Malah, negara itu tidak mempunyai sebarang undang-undang perlindungan haiwan liar.

"Itulah punca masalah terjadinya situasi ini di China. Haiwan hanya dilihat sebagai sumber untuk dieksploitasi," ujarnya.

Robinson bagaimanapun tetap bersemangat di sebalik apa yang disifatkannya sebagai kesedaran terhadap kebajikan haiwan yang perlahan di China. Buktinya, pusat yang diuruskannya di Sichuan terus menerima beruang-beruang teraniaya.

Mereka bertemu dengan beruang yang mengalami pelbagai jenis kecacatan, termasuk Franzi yang dikurung selama 25 tahun di dalam sangkar kecil. Sangkar itu membuatkan beruang berbaring bagi memudahkan hempedunya diekstrak.

Kepalanya kini terlalu besar jika dibandingkan dengan tubuhnya akibat pertumbuhan fizikal yang terbantut.

"Ia dalam keadaan yang teruk," kata Robinson sambil menghulurkan kismis kepada Franzi.

Franzi sudah berubah. Dia yang sebelum ini antisosial sudah mula bermain dan menerima teman lelakinya, Rupert yang mengalami masalah kerosakan otak.

sumber- AFP

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...