Saturday, August 11, 2012

'Mak, ular patuk saya'

the snake
gambar hiasan

TEMERLOH: “Saya sungguh tidak sangka apabila anak mengatakan dia dipatuk ular itu kerana saya sangka dia bergurau berikutan sebelum ini banyak bercakap perkara bukan-bukan seperti telinga digigit biawak dan binatang menjalar termasuk cacing adalah ular,” kata Seri Junaida Husin, 37, ibu kepada mangsa patukan ular tedung selar, Ahmad Danny Fitri Zainor Hisham, 4.

Seri Junaida berkata, ketika kejadian dia sedang berehat dalam rumah manakala Ahmad Danny bermain seorang diri di luar rumah mereka di Felda Jengka 3, Maran pada jam lebih kurang 11 pagi, Isnin lalu. Katanya, selepas itu Ahmad Danny masuk ke dalam rumah dan memberitahu dia dipatuk ular di kaki namun saya tidak mengendahkannya kerana dia bersikap selamba tanpa menunjukkan rasa sakit.

“Namun, saya mengesyaki sesuatu apabila Abang Chik (Ahmad Danny) muntah-muntah dan wajahnya pucat serta tidak bermaya beberapa minit selepas itu.

“Saya terus memeriksa kakinya dan mendapati terdapat dua kesan gigitan ular di jari tengah kaki kirinya,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), di sini, kelmarin.

Menurutnya, selepas itu dia meminta dua anaknya yang lain mencari ular terbabit dan mereka menemui seekor ular dipercayai anak tedung selar sepanjang kira-kira 1.5 meter sedang berlingkar di bawah pokok.

Selepas itu, Seri Junaida menghubungi suaminya Zainor Hisham Ahmad , 34, yang bertugas sebagai pembantu perkhidmatan pembersihan di Hospital Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, sebelum Ahmad Danny dikejarkan ke hospital terbabit sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hoshas pada Isnin lalu.

“Keadaan Abang Chik sudah agak stabil dan kini kembali ceria walaupun bengkak pada kakinya belum berkurangan.

“Lebam kehitaman pada kaki sudah hilang namun doktor masih mahu memantau keadaannya kerana kakinya terpaksa dibedah jika ada nanah pada bahagian itu,” katanya. 

sumber- HMetro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...