Monday, September 3, 2012

Dua kaki pancing terkejut jumpa mayat reput

game pancing percuma
Mayat reput yang dijumpai oleh dua kaki pancing di sebuah stor belakang kedai tayar di Ampang Waterfront, semalam.
AMPANG - Dua sekawan yang menjadikan hobi memancing sebagai aktiviti riadah, terkejut apabila menemui mayat lelaki yang sudah reput di dalam stor di belakang sebuah kedai tayar di Ampang Waterfront, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Mohd Faril Ikram, 31, dan Edy Sazali dalam perjalanan untuk memancing ikan di sungai berhampiran, sebelum terhidu bau busuk dari dalam stor berkenaan.

Saksi, Mohd Faril berkata, dia terus mencari punca bau tersebut sebelum menemui mayat lelaki dewasa yang sudah reput dalam keadaan terlentang serta terkangkang.

“Berdasarkan keadaan mayat yang hanya berseluar dalam itu, mangsa dipercayai mati kira-kira sebulan lalu,” katanya yang pernah bekerja sementara di Hospital Kuala Lumpur sebagai pengurusan mandi jenazah.

Seorang lagi saksi yang enggan dikenali berkata, dia mendapati seorang lelaki yang bekerja sebagai pengumpul barang kitar semula di sekitar kawasan itu menjadikan stor berkenaan sebagai tempat tidur.

“Saya tidak nampak lelaki berkenaan sejak sebulan lalu, namun saya tidak pasti sama ada mayat yang dijumpai itu adalah lelaki terbabit,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazri Nawawi mengesahkan kejadian yang berlaku dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui, sekali gus menyukarkan polis mengenal pasti identiti sebenar mangsa,” katanya.

Menurutnya, mayat itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...