Wednesday, October 24, 2012

Kanak-kanak enam tahun melecur kena air panas

KUALA LUMPUR - “Tidak berapa lama selepas saya menjerit kegirangan kerana pasukan Kelantan berjaya menjaringkan gol pertama, saya terdengar jeritan anak dari dapur, saya fikir dia terkejut kerana saya menjerit, tetapi rupanya air panas tersimbah ke badannya,”.

kena air panas
Dari kiri: Fahmi, Wan Azhar dan Norrabayah melihat keadaan Wan Mohd Farhan yang kini menerima rawatan di PPUM kerana kesan lecur pada sebahagian besar badannya
Demikian kata Wan Azhar Wan Mahmood, 48, bapa kepada kanak-kanak berusia 6 tahun, Wan Mohd Farhan yang melecur hampir seluruh badan dari paras dada hingga kaki selepas terkena simbahan air panas pada malam Sabtu lalu ketika berlangsungnya perlawanan akhir Piala Malaysia.

Kanak-kanak tersebut dikatakan memasak sendiri air menggunakan cerek elektrik untuk memasak mi segera.

Azhar berkata, anak bongsunya itu tidak pernah berbuat demikian sebelum ini dan tidak menyangka anaknya nekad melakukannya sendiri.

Menurutnya, sebaik dia pergi ke dapur, lantai yang basah masih berasap sementara anaknya menggelupur t kesakitan.

“Ketika itu saya panik, tidak tahu apa yang perlu saya buat dan saya mengambil masa untuk bertindak cara terbaik untuk anak saya ketika itu.

“Saya ambil keputusan membuka pakaiannya, dan ketika itu kulitnya juga turut tertanggal dan menggulung. Kira-kira 40 minit juga saya ambil masa untuk sampai ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya ketika ditemui pada lawatan Setiausaha Politik, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, di PPUM, semalam.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar sepatutnya dijadualkan turut sama melawat namun terpaksa menangguhkan hasrat kerana persidangan di Parlimen.

Sementara itu, ibu kanak-kanak itu, E-Norrabayah Ibrahim, 42, berkata, anaknya perlu terus dirawat di situ dalam tempoh tiga minggu lagi.

Katanya, tiada sebarang pembedahan dibuat setakat ini bergantung pada perkembangan keadaan anaknya.

“Kesan lecur itu kini hanya dicuci dua kali sehari dan pihak hospital akan menyuntik pelali setiap kali mahu mencuci luka,” katanya yang menghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam, di sini.

Difahamkan, Pusat Khidmat Wakil Rakyat Lembah Pantai, sedang mengumpulkan dana bagi meringankan beban keluarga ini, memandangkan Azhar yang hanya berniaga kini tidak dapat memperoleh pendapatan berikutan perlu menjaga anaknya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun bank (RHB) 16416000013755 atau menghubungi Azhar ditalian 019-2900446.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...