Friday, October 26, 2012

Ugut potong telinga guru

KUALA TERENGGANU: Tiga beradik layak digelar samseng kini diburu polis selepas mencederakan seorang guru akibat tidak berpuas hati mangsa menampar anak seorang daripada mereka di Masjid Kayu Ulul Albab, Seberang Jertih, Besut.

suspek dikehendaki polis
DICARI...Manoharan (tengah) menunjukkan gambar enam suspek termasuk tiga beradik yang dicari untuk membantu siasatan polis.
Dalam kejadian pada 24 Ogos lalu, guru berusia 42 tahun itu dipukul tiga beradik terbabit dikenali sebagai Azizan Awang, 34, Afizol, 39, dan Anuar, 47, selepas berang mangsa menampar kanak-kanak berkenaan yang dikatakan membuat bising ketika di masjid.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas kanak-kanak itu tidak mengendahkan teguran guru terbabit beberapa kali.

sebelum kejadian guru itu menegur anak suspek kerana bising dalam masjid namun tidak diendahkan kanak-kanak terbabit.

Menurutnya, mangsa kemudian menampar kanak-kanak itu yang memaklumkan bapanya menyebabkan guru berkenaan dipukul tiga beradik itu.

“Akibatnya, mangsa cedera dan dirawat di Hospital Besut sebelum membuat laporan polis. Bagaimanapun perasaan tidak puas hati suspek tidak berakhir di situ apabila mereka melawat mangsa di hospital dan mengugut memotong telinganya jika mangsa enggan menarik semula laporan polis yang dibuat.

“Bimbang kejadian tidak diingini, mangsa yang ketakutan menarik semula laporan itu, tetapi mengubah fikiran dan membuat semula laporan di Balai Polis Jertih, Besut pada 4 Oktober lalu.

“Usaha memburu tiga beradik itu sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan (KK) kerana sengaja menyebabkan cedera parah dan Seksyen 506 KK sama kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, semalam.

Sementara itu, katanya, polis memburu tiga lelaki lain dipercayai terbabit beberapa kes jenayah kekerasan hingga menyebabkan kecederaan di daerah Besut sejak Julai lalu.

Katanya, Che Wan Sharmizie Che Mat, 31, dipercayai menetak seorang guru sekolah rendah dengan parang panjang hingga cedera parah di badan, kaki dan tangan, Selasa lalu.

“Dua suspek lain ialah Mohd Amir Che Ya, 24, yang disiasat mengikut Seksyen 148 KK kerana memiliki senjata bahaya dalam rusuhan hingga mencederakan seorang lelaki pada 1 Oktober lalu dan Zamri Husin, 30, atau dikenali sebagai Awie bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 KK.

“Kami memandang serius beberapa siri jenayah kekerasan di Terengganu terutama Besut dan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memburu suspek.

bagi memastikan mereka yang bersalah dikenakan tindakan sewajarnya.

“Keluarga atau rakan diingatkan tidak cuba melindungi suspek dan memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan mereka,” katanya.

Mereka mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di talian 09-6956222 atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, 09-6246222.

sumber- HMetro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...