Wednesday, November 7, 2012

Pilihan raya AS bermula

WASHINGTON - Penduduk di Kampung Dixville Notch di negeri New Hampshire menjadi pengundi terawal dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) semalam.

Keputusan undian di kampung itu menunjukkan Presiden AS, Barack Obama daripada parti Demokrat memperoleh lima undi.

Pencabar Obama, Mitt Romney daripada parti Republikan juga memperoleh jumlah undi yang sama di kampung itu yang terletak kira-kira 30 kilometer dari sempadan Kanada.

Seramai sepuluh orang mengundi di kampung berkenaan.

pilihanraya Presiden Amerika
ROMNEY (kiri) dan isterinya mengundi di sebuah pusat pengundian di Belmont, Massachusetts semalam.
Ia merupakan keputusan seri yang diperoleh calon presiden AS dalam tempoh 50 tahun di kampung berkenaan.

Jumlah undi itu dibuka selepas pusat pengundian dibuka dan ditutup dalam tempoh 43 saat.

Pada pilihan raya kali ini, Obama bertanding bagi mengekalkan jawatannya buat kali kedua manakala Romney yang merupakan bekas gabenor Massachusetts bertanding buat kali pertama.

Pemenang pilihan raya itu perlu memperoleh 270 daripada 538 undi pemilih.

Undi pemilih itu diperoleh menerusi jumlah negeri yang dimenangi setiap calon presiden AS pada pilihan raya tersebut.

Sementara itu, di pekan Hart's Location, Daerah Carroll, New Hampshire, keputusan undian menunjukkan Obama memperoleh 23 undi manakala Romney mendapat sembilan undi.

Seorang calon presiden dari Libertarian, Gary Johnson memperoleh satu undi.

Tempoh lima minit dan 42 saat diperlukan untuk 32 orang membuat pengundian di pekan tersebut.

Keputusan pilihan raya itu dijangka diketahui dalam tempoh beberapa hari lagi.

Obama dilaporkan akan menunggu keputusan pilihan raya tersebut di rumahnya di Chicago, Illinois.

Pada pilihan raya 2008, Obama menewaskan Senator John McCain daripada parti Republikan.

Menurut laporan media, terdapat barisan panjang pengundi di serata AS.

Media tempatan menunjukkan para pengundi beratur panjang di negeri Florida dan Virginia.

Pengundi di pinggir Washington dilaporkan menunggu selama beberapa jam sebelum mereka dapat mengundi.

Situasi yang sama turut berlaku di Columbus, Ohio apabila pengundi dilaporkan menunggu lebih sejam untuk membuat pengundian. 

sumber- Agensi

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...