Thursday, December 13, 2012

Sidang Parlimen Ukraine kecoh

KIEV - Beberapa aktivis pertubuhan Femen yang memperjuangkan hak-hak wanita mendedahkan payudara mereka dalam satu protes antirasuah di luar bangunan Parlimen di sini semalam.

Parlimen Ukraine
SESI sidang Parlimen berlangsung selepas kekecohan berlaku.
Bantahan itu diadakan ketika satu pergaduhan melibatkan beberapa wakil rakyat tercetus di Parlimen Ukraine.

Sesi Parlimen yang dikenali sebagai Verkhkovna Rada bermula agak kelam-kabut semalam selepas pilihan raya Parlimen diadakan pada 28 Oktober lalu.

Seramai empat wanita muda melompat pagar Parlimen dan menanggalkan pakaian untuk mengadakan protes di pekarangan bangunan itu.

Seorang jurugambar agensi berita AFP menyatakan, mereka cuma memakai seluar dalam berwarna hitam dalam protes tersebut.

Keempat-empat aktivis berkenaan kemudian ditahan oleh beberapa anggota pengawal keselamatan.

Sebelum itu, mereka menyatakan di laman akaun Facebook Femen bahawa tunjuk perasaan itu diadakan untuk membantah amalan rasuah dalam kalangan wakil rakyat.

Parlimen kali ini bersidang selepas parti politik pimpinan Presiden Viktor Yanukovych menang tipis pada pilihan raya dua bulan lalu.

Para pemerhati mengkritik proses pengundian pilihan raya itu termasuk tindakan pemerintah memenjarakan ketua pembangkang yang juga bekas Perdana Menteri, Yulia Tymoshenko.

Proses pengiraan undi yang berlangsung lebih seminggu turut dicemari pelbagai insiden seperti pergaduhan di pusat-pusat mengundi, penggunaan gas pemedih mata di sebuah kawasan pilihan raya dan tindakan polis pencegah rusuhan menyerbu pejabat suruhanjaya pilihan raya.

Selepas keputusan pilihan raya diumumkan, sebanyak lima daripada 450 kerusi Parlimen masih kosong ekoran dakwaan penipuan yang mendorong pegawai-pegawai pilihan raya mengadakan proses pengundian baharu di lima buah daerah yang dipertikai.

Semalam, para wakil rakyat daripada parti pimpinan Tymoshenko hadir di Parlimen dengan memakai pakaian berwarna hitam.

Bahagian hadapan baju itu tertera potret Tymoshenko.

Pergaduhan bermula apabila anggota-anggota Parlimen daripada pihak pembangkang menjerit kata-kata membenci rakan-rakan mereka yang membelot dengan menyertai parti pemerintah.

Mereka menyerang dua wakil rakyat yang menang atas tiket pembangkang tetapi dipercayai mahu menyertai parti pimpinan Yanukovych.

Insiden itu menyaksikan wakil rakyat iaitu Oleksandr Tabalov dan anak lelakinya, Andrei Tabalov ditolak keluar dari Dewan Parlimen dan dihalang daripada mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen.

Pihak pembangkang kemudian mendakwa tanpa majlis angkat sumpah tersebut, kedua-dua wakil rakyat itu tidak boleh melaksanakan tugas sebagai anggota Parlimen.

Setakat ini, status mereka masih tidak jelas.

Sidang Parlimen dijadualkan disambung semula lewat semalam bagi memilih seorang Speaker dan mengundi calon pilihan Presiden untuk jawatan Perdana Menteri Ukraine.

Yanukovych mencalonkan Perdana Menteri sedia ada yang juga sekutu rapatnya, Mykola Azarov untuk jawatan tersebut. 

sumber- Agensi

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...