Okunoshima merupakan pulau kecil yang terletak di wilayah Hiroshima, Jepun. Istimewanya, pulau ini dipenuhi arnab dan seakan syurga bagi haiwan tersebut. Ianya turut menarik minat ribuan pencinta haiwan datang ke pulau ini saban tahun. Pengunjung yang datang dapat bersantai sambil memberi makan kepada haiwan comel ini.
Di sebalik keindahan pulau tersebut, terdapat sejarah hitam yang pernah berlaku. Pada awal abad ke-20, pulau ini merupakan markas tentera untuk memproses gas. Lebih 6,000 tan dari 5 jenis gas beracun yang berbeza dihasilkan kira-kira dari tahun 1929 hinggalah 1945. Misi tersebut merupakan rahsia besar sehinggakan pulau tersebut tiada dalam peta dan pekerja di sini bersumpah tidak akan mendedahkan rahsia tersebut.
Hari ini, kita masih dapat melihat kesan tinggalan kilang-kilang tersebut di pulau Okunoshima. Namun bagaimana pula pulau tersebut boleh dipenuhi sebilangan besar arnab-arnab? Berdasarkan satu sumber, arnab-arnab ini dibawa ketika perang dunia ke-2 untuk proses ujikaji terhadap kesan tindak balas gas beracun. Apabila perang tamat, para pekerja melepaskan arnab-arnab tersebut ke dalam hutan. Sumber lain pula mengatakan sekumpulan kanak-kanak telah mengadakan rombongan di Okunoshima pada tahun 1971 dan meninggalkan 8 ekor arnab. Populasi arnab-arnab tersebut mula bertambah sehingga memenuhi pulau yang besarnya sekitar 2.5 kilometer persegi ini.
Arnab di pulau Okunoshima adalah liar tetapi mereka biasa dengan kehadiran manusia. Adakalanya mereka melakukan sedikit tarikan seperti melompat-lompat untuk meminta makanan dari pengunjung. Lobak, kubis, dan makanan arnab ada dijual di hotel yang terletak dalam pulau tersebut dengan harga sekitar $1 untuk semangkuk. Memburu arnab disini adalah perkara yang diharamkan, termasuklah membawa kucing atau anjing.
Gas beracun di pulau Okunoshima masih mempunyai kesan sampingan. Pada tahun 2006, sumber air di Pulau ini ditemui mengandungi arsenik. Pada tahun 2005, Kementerian Alam Sekitar Jepun melaporkan paras arsenik dalam atmosferanya adalah 49 kali ganda lebih berbanding piawaian alam sekitar. 6,000 pekerja yang pernah bekerja di sini sekitar tahun 1929 hingga 1945, kebanyakannya jatuh sakit. Ada juga cerita yang mengatakan berlakunya kemalangan disini sehingga ada diantaranya yang mengalami kecacatan teruk.
Kini, pulau ini telah diisytiharkan selamat untuk pelancong, namun berdasarkan Masayuki Yamauchi, seorang sukarelawan yang mengiringi pelancong ke tinggalan kilang Okunoshima, terdapat 11 lokasi yang menjadi tempat untuk para pekerja menanam gas selepas perang tamat. Lokasi tersebut ditutup untuk semua. Ramai individu dan organisasi yang menyuarakan pulau ini masih belum selamat untuk manusia. Pelancong disarankan untuk berjalan secara berkumpulan sebagai langkah keselamatan.
Alahaaaaiiiii....
ReplyDeleteComelnya Pulau ni..... =D
Rasa nak pegi je....